MALAYSIA mengharungi kecelaruan politik yang luar biasa dalam sejarah sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum 2018 yang lalu.
Belum pernah berlaku dalam sejarah, negara bertukar Perdana Menteri dan barisan kabinet dirombak sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun!
Dalam tempoh singkat ini juga menyaksikan beberapa negeri melaksanakan pilihan raya negeri akibat ketidakstabilan kerajaan sedia ada. Malaysia telah ketinggalan dalam pelbagai aspek berbanding negara-negara jiran.
Di kala negara seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam rancak membina semula sektor ekonomi yang terjejas akibat Covid-19, Malaysia pula masih bergelut dengan perebutan kuasa dan percaturan politik yang tiada kesudahan.
Episod duka pasca PRU14 ini haruslah dihentikan dan rakyat perlu lebih matang menggunakan kuasa yang mereka ada untuk memilih pemimpin yang betul untuk menerajui negara dalam pilihan raya umum yang akan datang.
Untuk membina semula negara, lebih-lebih lagi dalam mengharungi cabaran VUCA (Volatility, Uncertainty, Complexity dan Ambiguity), kita memerlukan pemimpin yang memiliki sifat amanah, profesional dan inovatif.
Amanah merangkumi sifat jujur, bertanggungjawab dan berintegriti.
Seseorang pemimpin, walau apa juga anutan agama mereka, sekiranya memiliki sifat amanah, pasti mereka akan menggalas tanggungjawab dengan jujur dan penuh integriti.
Mereka tidak mudah disogok dengan habuan pangkat dan kemewahan, malah sifat amanah akan menjadi benteng kesetiaan mereka kepada mandat rakyat.
Dengan sifat amanah, seseorang pemimpin akan bertindak berpandukan peraturan dan hukum, tidak culas dan cuai serta berorientasikan kesejahteraan umat.
Bersifat amanah ertinya menolak rasuah dan salah guna kuasa. Ini sudah pasti menguntungkan rakyat dan negara. Dengan hutang negara di tahap yang tinggi serta sumber negara yang tidak menentu, Malaysia tidak mampu lagi berhadapan dengan penyelewengan hasil dan ketirisan sumber negara angkara pemimpin yang tidak amanah.
Pemimpin yang profesional pula mampu melaksanakan tugas mereka dengan berkesan dan cemerlang.
Dengan memiliki ilmu, kemahiran, akhlak serta budaya kerja positif, mereka akan sentiasa berdaya maju dan memiliki kecenderungan untuk melaksanakan tanggungjawab dengan cekap dan sempurna.
Profesionalisme akan mengikat seseorang pemimpin itu dengan sifat adil dan matang. Mereka akan berkhidmat dan menabur bakti merentas sempadan kepartian, kaum atau agama.
Apabila hak rakyat dijaga rapi, sudah pasti kesejahteraan akan dapat dinikmati.
Untuk menjadi sebuah negara maju dan berdaya saing tinggi, negara perlu dipimpin oleh golongan yang profesional dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan.
Perkembangan dunia VUCA di era pandemik ini memerlukan pemimpin yang inovatif. Untuk jadi inovatif, seseorang itu harus menguasai ICT dan mesra teknologi terkini.
Pemimpin perlu sentiasa kreatif dalam melaksanakan tugas dan menyelesaikan masalah rakyat.
Tanpa kreativiti dan inovasi kita akan ketinggalan dan tidak akan mampu bersaing dalam dunia digital tanpa sempadan. Pemimpin dengan cara kerja lama dan rentak kerja lapuk perlu disisihkan.
Inovasi meningkatkan tahap kecekapan dan efisien sesuatu tindakan.
Perkhidmatan yang cekap dan pantas hasil dari pemimpin yang inovatif sudah pasti akan memberi manfaat yang signifikan terhadap pembangunan negara.
Dengan adanya budaya inovatif, kejayaan sesuatu perancangan itu akan dapat dinikmati dengan lebih pantas.
Sudah tiba masa, negara dipimpin oleh sekumpulan pemimpin dinamik yang memiliki sifat amanah, profesional dan inovatif. Parti-parti politik perlu lebih bertanggungjawab dengan berani meletakkan calon-calon yang ada wibawa bukan sekadar populariti mahupun legasi silam.
Malaysia negara demokrasi, peluang terbaik untuk membentuk sebuah kerajaan yang berwibawa hanyalah melalui saluran pilihan raya. Rakyat perlu lebih teliti dalam memilih calon yang mewakili mereka.
Kita tidak mampu lagi mengulangi kecelaruan politik pasca PRU14 yang telah terlalu banyak merugikan negara dan menyekat kemajuan rakyat.
* Shafry Salim ialah Timbalan Pengarah Pusat Kepimpinan dan Kompetensi Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Klik di sini untuk terus membaca