BERBANDING suasana ketika awal tahun ini, rata-rata semangat rakyat untuk keluar mengundi kelihatan positif. Dalam trend bertambah baik.
Jika minda yang suram telah membayangi tiga pilihan raya negeri (PRN), persekitaran sebaliknya mula terbina sejak beberapa bulan lalu.
Antara faktor utama membawa kepada harapan baharu ini termasuklah penggubalan undang-undang antilompat parti meskipun pelaksanaannya belum menyeluruh.
Penguatkuasaan hanya melibatkan ahli-ahli Parlimen, bukannya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Masih belum ada DUN yang meluluskan undang-undang itu.
Langkah itu, antara kelainan signifikan yang bakal mewarnai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), telah menyuntik semangat baharu untuk rakyat kembali ke gelanggang PRU dengan aktif sebagaimana disaksikan 9 Mei 2018.
Perasaan sedih dan kecewa yang menyusul mula hilang dari radar kebanyakan individu yang sebelum ini memutuskan tidak akan keluar mengundi semasa PRU15.
PRN Johor dan Melaka adalah contoh klasik. Ramai berpendirian mandat mereka sudah tidak dihargai. Ramai menganggap ini bukan kerajaan mereka. Pelbagai tafsiran dilontarkan.
Sebenarnya kita telah menyaksikan banyak perkara yang tidak diduga berlaku sejak pasca-PRU14. Sesungguhnya kesemua itu secara tidak langsung menjejaskan minat ramai orang untuk memilih kerajaan baharu.
Semasa PRN Johor, meskipun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ada menyediakan kemudahan undi pos bagi mereka yang bekerja di luar negara, tetapi sambutan amat dingin.
Pun begitu suasana sudah mula berubah. Hari ini ramai menanti tarikh hari mengundi susulan pembubaran Parlimen. Bagi kes DUN, keadaan masih belum jelas. Kita perlu tunggu sementara SPR akan mengadakan mesyuarat khas 20 Oktober ini.
Pada penghujung Februari 2020 kerajaan pimpinan PH tumbang. PH merupakan gabungan kedua yang pertama menerajui kerajaan pusat, menggantikan BN, dan hanya bertahan 22 bulan.
Pakatan itu dilabel sebagai kerajaan gagal ketika itu. Susulan Langkah Sheraton PH digantikan oleh kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri kelapan. Muhyiddin merupakan sebahagian daripada kerajaan PH.
Kerajaan Presiden Bersatu itu dikenali sebagai kerajaan Perikatan Nasional (PN), gabungan yang dilancarkan pada Ogos 2020, enam bulan selepas membentuk kerajaan persekutuan.
Terma dan istilah ‘kerajaan gagal’ berterusan walaupun dua kerajaan yang baharu dan perdana menteri mereka diberikan mandat untuk mentadbir.
Di dalam kedua-dua kerajaan itu majoriti anggota pentadbiran sama, cuma nama kerajaan berubah. Muhyiddin pula digantikan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ketua kerajaan.
Jika dakwaan itu dianalisis dengan mendalam nampaknya kesemua tiga kerajaan lepas telah gagal. Gagal, gagal dan gagal. Siapa yang betul? Dan, siapa yang salah?
Semalam, dalam kenyataan segera, Muhyiddin menyifatkan Ismail Sabri tidak seharusnya menyalahkan pihak lain atas pembubaran Parlimen.
Beliau merujuk kenyataan Ismail Sabri bahawa tindakan 12 menteri kabinet PN yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong agar PRU15 dilakukan hanya setelah musim banjir telah membawa kepada pembubaran Parlimen.
Menyifatkan kenyataan Ismail Sabri itu sebagai tidak bertanggungjawab, Muhyiddin menegaskan, tindakan mereka hanya untuk menjaga kebajikan rakyat, memandangkan tiada perbincangan mendalam di peringkat kabinet berkenaan pembubaran Parlimen.
"Saya fikir dia tidak boleh menyalahkan siapa yang bertanggungjawab.”
Selepas 52 bulan PRU14, istilah ‘kerajaan gagal’ terus ‘mewarnai’ arena politik negara. Bagaimanapun ia tidak membawa kelebihan ke arah kestabilan. Keharmonian politik terus tercalar. Ketidaktentuan berterusan. Ketidakstabilan politik yang disasarkan tidak menjadi.
Jika itu keadaannya, parti mana yang seharusnya mencanang kejayaan dan rekod pencapaian kerajaan semasa. Kredit harus diberikan kepada siapa? BN, PN, Gabungan Parti Sarawak, Gabungan Rakyat Sabah atau parti-parti komponen lain yang menganggotai kerajaan.
Ataupun kepada PH yang memeterai memorandum kerjasama dengan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri kesembilan. Sebab mereka juga mendakwa kestabilan sementara juga disumbangkan oleh gabungan mereka.
Kini ada lebih 21 juta pengundi berdaftar. Peningkatan mendadak berbanding PRU 2018. Mampukah angka besar ini akan membawa kepada pembentukan kepada kerajaan yang tidak gagal selepas PRU15?
Rakyat bijak dan lebih arif.
* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.
Klik di sini untuk terus membaca