PALUAN gendang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah bergema apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan keputusan pembubaran Parlimen pada Isnin selepas diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Keputusan itu juga menamatkan teka-teki tarikh pelaksanaan PRU15 yang menjadi semakin panas setelah kerajaan campuran BN dan Perikatan Nasional (PN) membentangkan usul Bajet 2023 pada Jumaat lalu.
Susulan pembubaran Parlimen ke-14 itu, Ismail Sabri turut mengesyorkan ketua kerajaan negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing bagi membolehkan pilihan raya diadakan serentak.
Justeru, tumpuan rakyat kini terarah kepada enam negeri ditadbir Pakatan Harapan (PH) dan Pas, sama ada kerajaan negeri berkenaan mengekalkan keputusan menangguhkan pembubaran DUN agar seiring dengan pembubaran Parlimen atau sebaliknya.
Hal ini kerana DUN enam negeri berkenaan iaitu Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang (PH) serta Kedah, Terengganu dan Kelantan (Pas) dijangka tidak akan dibubarkan seiringan pembubaran Parlimen kerana bimbang ancaman banjir dijangka melanda negara pada hujung tahun ini.
Bagi sebilangan penganalisis politik tempatan, keputusan enam negeri ditadbir PH dan Pas itu sudah boleh dijangka memandangkan mereka cuba menggunakan alasan banjir untuk membidas dan mengkritik keghairahan BN mengadakan PRU15 tahun ini.
Dengan momentum UMNO-BN bagi mendepani PRU15 semakin meningkat susulan blok pembangkang gagal bersatu termasuk PN, adalah logik untuk mengunjurkan PH dan Pas sebenarnya mengetahui mereka sukar mengulangi prestasi baik masing-masing sewaktu PRU14 pada saat ini.
"Dengan cara PH dan Pas menangguhkan PRN di negeri ditadbir mereka, ia merupakan strategi 'langkah selamat' untuk meraih peluang kedua mempertahankan negeri-negeri berkenaan sekiranya mereka gagal mencapai prestasi baik pada PRU15,” kata Pengarah Pengajian Asia, Universiti Tasmania Australia, Profesor Dr James Chin kepada Sinar Premium.
Secara dasarnya, ramai pihak melihat langkah pengasingan pelaksanaan PRN dan PRU memberi implikasi negatif kepada kewangan negara susulan kos mengadakan pilihan raya berasingan akan lebih besar dan mahal.
Bagaimanapun, dari satu sudut positif, amalan pengasingan pilihan raya peringkat Pusat dan negeri itu mungkin membawa ke arah positif dan berpotensi menjadi solusi politik terbaik bagi mewujudkan kerajaan negeri dan Pusat yang berintegriti, amanah serta bertanggungjawab.
Hal ini kerana rakyat berpeluang mengamalkan kaedah pemecahan undi bagi memilih sebuah kerajaan terbaik di peringkat negeri dan Pusat.
"Jika PRN dan PRU diadakan serentak, kebiasaannya pengundi sukar melaksanakan pilihan undi parti politik berbeza di peringkat Pusat dan negeri.
"Sifat naluri manusiawi dalam diri pengundi kebiasaannya akan memilih parti atau koalisi sama di peringkat Pusat dan negeri.
Sedangkan PRU kebiasaannya akan didominasi oleh isu-isu di peringkat kerajaan Pusat dengan isu-isu rakyat di negeri akan tenggelam.
"Senario itu mungkin merugikan rakyat kerana mereka akan sukar melihat kesungguhan parti-parti politik bertanding memperjuangkan isu negeri.
"Sejujurnya, saya melihat pengasingan PRN dan PRU akan mewujudkan suasana kempen pilihan raya kondusif dan akauntabiliti.
Langkah itu juga memastikan kuasa kerajaan Pusat bakal diimbangi kuasa kerajaan negeri sekiranya tampuk kepimpinan dua peringkat itu dipegang dua parti berbeza,” kata James Chin lagi.
Implikasi negatif
Bagaimanapun, pandangan berbeza dikemukakan Timbalan Ketua Kluster Politik Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Jayum Jawan yang melihat cadangan pengasingan PRN dan PRU akan memberi implikasi negatif kepada kestabilan politik negara.
Hal ini kerana beliau melihat langkah itu akan menjejaskan mood pengundi untuk membuat pemilihan parti.
"Kita ambil contoh PRN Melaka dan Johor di mana berlaku kadar peratusan keluar mengundi yang rendah disebabkan rakyat berpendapat sebarang pelaksanaan PRN berasingan adalah menyusahkan mereka susulan perlu mengundi dua kali.
"Adakah kita mahu menyaksikan senario sama berulang sekiranya enam negeri dipimpin PH dan Pas bertegas hendak adakan PRN berasingan selepas PRU15?
"Jika berlaku begitu, sanggupkah parti kalah menerima hakikat bahawa kerajaan negeri berkenaan mungkin menerima mandat rakyat walaupun sokongan diterima bukan majoriti?” ujar Jayum.
Di sebalik persoalan itu, Jayum menaruh keyakinan kerajaan PH dan Pas di enam negeri masih mempunyai kelebihan berbanding parti-parti lawan sekiranya PRN diadakan berasingan dengan PRU15.
Klik di sini untuk terus membaca