SHAH ALAM - Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) mungkin menyedari implikasi menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri dikuasai mereka susulan kemungkinan fenomena kelesuan kaum Cina keluar mengundi pada PRN Sarawak,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) mungkin menyedari implikasi menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di tiga negeri dikuasai mereka susulan kemungkinan fenomena kelesuan kaum Cina keluar mengundi pada PRN Sarawak, Melaka dan Johor sebelum ini berulang.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berpandangan, tidak hairan sekiranya kerajaan negeri Pulau Pinang mengambil pendekatan berbeza dengan turut sama membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seiring pembubaran Parlimen, dalam masa terdekat.

Jelas beliau, keputusan kerajaan DAP Pulau Pinang itu sebenarnya berpotensi berlaku berasaskan unjuran corak pengundi masyarakat Cina yang sama rendah seperti PRN Sarawak dan Johor, atau lebih berkurangan sebagaimana PRK Sungai Kandis serta PRK Balakong yang mencatatkan 43 peratus kadar purata mengundi.

Tegasnya, tiga PRN sebelum ini memperlihat peratusan kaum Cina mengundi lebih rendah sekitar 40 dan 45 peratus daripada nilai peratusan purata keluar mengundi dicatatkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

"Selain faktor pandemik, komuniti Cina kecewa dengan prestasi 22 bulan pentadbiran kerajaan PH yang tidak membawa reformasi institusi di samping perkembangan politik pembangkang yang menunjukkan perpecahan.

"Perpecahan dalam kalangan pembangkang memberi indikator kepada pengundi bahawa kuasa undi mereka akan menurun dan sukar memberi kesan dalam soal pembentukan kerajaan dan pelaksanaan dasar parti pemerintah.

"Kebanyakan mereka juga bekerja di luar negara dan sukar untuk kembali mengundi dua kali dalam tempoh enam bulan," ujarnya kepada Sinar Premium.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan dalam tempoh 60 hari.

Naib Presiden UMNO itu menggesa kerajaan negeri membubarkan DUN masing-masing serentak pembubaran Parlimen.

Bagaimanapun, DUN di Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor tidak perlu dibubarkan.

Pada 5 Oktober lalu, kerajaan PH di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang mengumumkan tidak membubarkan DUN seiring pembubaran Parlimen kerana bimbang ancaman banjir hujung tahun ini.

Pendirian itu disusuli kerajaan negeri Pas di Kedah, Kelantan dan Terengganu yang mahu fokus dahulu usaha kebajikan rakyat termasuk persiapan menghadapi banjir.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mendedahkan mesyuarat Majlis Presiden PH pada petang Rabu dijangka membincangkan cadangan agar DUN Pulau Pinang dibubarkan dalam tempoh terdekat bagi membolehkan PRN negeri itu diadakan serentak dengan PRU15.

Anis Anwar berkata, PH terutama DAP pastinya mengambil kira kemungkinan kerusi DUN mereka semakin sukar dipertahankan sebagaimana kejadian PRN Sarawak, Johor dan Melaka, jika terus menangguhkan pembubaran DUN tahun ini.

Klik di sini untuk terus membaca