SHAH ALAM - Kebanyakan golongan muda khususnya yang berusia lingkungan 18 hingga 21 tahun tidak mengetahui nama mereka telah didaftarkan secara automatik sebagai pengundi sekali gus boleh menyebabkan mereka gagal menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Kesimpulan itu dibuat beberapa parti politik selepas mengadakan pelbagai program termasuk aktiviti turun padang bersama rakyat sebelum ini.
Menurut Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, perkara tersebut sepatutnya dihebahkan memandangkan ia bakal memberi impak pada masa hadapan negara.
"Rata-rata saya lihat tiada pemberitahuan yang diberikan kepada mereka sama ada melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat.
"Ini merupakan satu mekanisme wajib yang sepatutnya dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya SPR bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mendapatkan data-data pengundi berkenaan menerusi syarikat-syarikat telekomunikasi supaya maklumat tentang status pengundian mereka dapat disampaikan.
"Sekiranya SPR tidak melakukan hebahan atau melakukan ikhtiar lain bagi menyampaikan maklumat ini kepada generasi muda ini, saya kira mereka telah gagal,” ujar Ahli parlimen Lembah Pantai itu.
Pandangan sama turut dikongsikan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dengan menyatakan masih ramai dalam kalangan golongan berkenaan yang tidak mengetahui perkara tersebut.
Beliau berkata, situasi ini ketara belaku ketika Pilihan Raya Negeri Johor pada 12 Mac lalu.
"Kini kami di peringkat Pemuda UMNO menggerakkan 13,240 cawangan untuk memastikan anak muda ini dikenal pasti dan didekati supaya mereka tahu tentang status pengundian mereka,” ujar beliau.
Naib Presiden Muda, Zaidel Baharuddin pula berkata, semua pihak tidak kira parti politik mesti memainkan peranan dalam menyebarkan maklumat berkenaan memandangkan PRU15 semakin hampir.
"Ïnsya-ALLAH kami akan gerakkan jentera kami seluruh Parlimen untuk menyebarkan informasi ini, kami juga akan berusaha bekerjasama dengan media seperti Sinar Harian dalam mengeluarkan kenyataan tentang perkara tersebut.
"Kami juga akan mengeluarkan video-video pendek mengenainya di laman media sosial,” katanya.
Zaidel berharap generasi muda tidak mensia-siakan peluang ini demi masa hadapan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 22 Januari tahun ini memaklumkan bahawa lebih empat juta pengundi berusia 18 tahun telah didaftarkan sebagai pemilih secara automatik setakat 16 Januari.
Ia dibuat susulan pindaan mengenainya diwartakan pada 1 Disember, 2021.
Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diwartakan sebagai P.U.(B) 615/2021 dan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Klik di sini untuk terus membaca