TARIKH pilihan raya umum (PRU) di Malaysia merupakan tarikh yang sentiasa menjadi teka-teki. Hal ini kerana tarikh PRU ditentukan oleh pembubaran Parlimen yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan... Klik di sini untuk terus membaca

TARIKH pilihan raya umum (PRU) di Malaysia merupakan tarikh yang sentiasa menjadi teka-teki.

Hal ini kerana tarikh PRU ditentukan oleh pembubaran Parlimen yang diisytiharkan oleh Perdana Menteri setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Malaysia merupakan antara negara di dunia yang pembubaran ditentukan oleh kuasa eksekutif.

Keadaan ini menjadi satu ketidaktentuan apabila tarikh yang sepenting ini tidak dapat di tentukan secara khusus seperti sebahagian negara dunia yang kadang-kadang memberikan sedikit banyak kesan kepada polisi, perancangan dan pengurusan kerajaan serta politik di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini telah mengumumkan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu, sekali gus menamatkan suasana dan perubahan unik berlaku dalam proses demokrasi dan politik negara sejak PRU14.

Setelah berlaku pelbagai polemik melingkari Perdana Menteri untuk menentukan tarikh pembubaran parlimen sejak awal tahun 2022, kini timbul persoalan tarikh-tarikh penting berkait dengan PRU yang bakal ditentukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Saya percaya strategi memendekkan tempoh berkempen PRU adalah disebabkan BN cuba mengelakkan pengaruh pembangkang yang sedang memuncak dalam kalangan rakyat..." - Khairul Arifin.

Menyingkap sejarah penentuan tarikh penting PRU, setelah Malaysia mencapai kemerdekaan selepas 31 Ogos 1957, pilihan raya pertama pasca kemerdekaan adalah pada tahun 1959 di mana tarikh sulung hari bersejarah itu diumumkan pada 27 Jun 1959.

Menariknya, PRU yang diadakan sepanjang tahun 1959 sehingga tahun 1969 diadakan dalam suasana kempen PRU paling lama dalam sejarah demokrasi Malaysia apabila SPR menetapkan tempoh berkempen sehingga 35 hari.

Namun, selepas itu berlaku perubahan dalam tempoh berkempen apabila SPR kebiasaannya menetap jumlah hari berkempen adalah sekitar dua hingga tiga minggu.

"Saya fikir tempoh berkempen PRU paling singkat dalam sejarah adalah pada tahun 1999 dan tahun 2004 (PRU10 dan PRU11) apabila SPR menetapkan jumlah hari berkempen sebanyak lapan ke sembilan hari sahaja.

"Meskipun pelbagai alasan diberikan kerajaan ketika itu, saya percaya strategi memendekkan tempoh berkempen PRU adalah disebabkan BN cuba mengelakkan pengaruh pembangkang yang sedang memuncak dalam kalangan rakyat susulan diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir kepada Sinar Premium.

KHAIRUL ARIFFIN

Hakikatnya kadar peratusan keluar mengundi tinggi mencerminkan partisipasi tinggi rakyat dalam membentuk usaha pengukuhan keabsahan sesuatu kerajaan bakal dibentuk.

Oleh demikian, bagi menyemarakkan proses demokrasi negara, pemilihan tarikh PRU atau tarikh membuang undi pada hari bersesuaian amat penting.

Hal ini juga akan membolehkan partisipasi besar rakyat Malaysia dalam dan luar negara untuk keluar mengundi dalam suasana selesa, tenteram dan penuh perkhidmatan sokongan untuk mengundi.

"Berdasarkan fakta dan survei, majoriti rakyat lebih selesa jika pilihan raya diadakan di hujung minggu (Sabtu atau Ahad) berbanding dengan tengah minggu atau hari bekerja.

"Sejak tahun 1969, jika PRU diadakan pada hujung minggu, peratusan turun mengundi adalah melebihi 75 peratus. Paling tinggi peratusan turun mengundi tertinggi ialah pada PRU13, tahun 2013 iaitu seramai 85 peratus yang mana ketika itu PRU diadakan pada hari Ahad.

"Titah Yang di-Pertuan Agong juga mengesyorkan PRU diadakan awal sebelum peralihan angin monsun bagi mengelakkan ancaman besar bencana banjir sebagaimana diramalkan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia).

"Susulan pengumuman itu dan keperluan mengelak bencana banjir, secara relatifnya tarikh bersesuaian adalah antara 1 hingga 12 November 2022," ujar Khairul Ariffin.

Khairul Ariffin turut berpandangan sudah tiba masanya kerajaan Malaysia dan SPR memperhalusi kaedah penentuan tarikh pelaksanaan PRU bagi memastikan partisipasi rakyat dapat diwujudkan secara menyeluruh, sekali gus membawa kepada kadar peratusan keluar mengundi tinggi.

Kajian IDE menunjukkan senarai tarikh pelaksanaan 14 PRU yang diadakan sebelum ini serta jumlah peratusan keluar mengundi bagi setiap PRU.

Pandangan beliau itu berasas pada saat banyak negara luar seperti Indonesia dan Amerika Syarikat (AS) yang telah menetapkan tarikh pilihan raya lebih awal dan memudahkan semua agensi kerajaan dan rakyat bersiap sedia ke arah itu.

Dengan PRU15 pada tahun ini akan ditandai dengan penglibatan generasi Z berusia 18 tahun ke atas yang baru kali pertama keluar mengundi, sudah tentu pemilihan tarikh bersesuaian akan membantu menyemarakkan proses demokrasi negara.

"Difahamkan juga dari pelbagai sumber bahawa ramai graduan universiti bakal melangsungkan konvokesyen atau majlis graduasi universiti sekitar 5 hingga 10 November 2022.

"Impak tarikh mengundi dan tempoh mengundi turut mempengaruhi peratusan turun mengundi yang paling tinggi pada PRU 2013 dan 2018 antara 85 peratus dan 82 peratus.

"Justeru, urusan pemilihan tarikh PRU bersesuaian adalah tanggungjawab SPR yang tidak wajar dipengaruhi oleh kerajaan mentadbir," tegas beliau lagi.

Klik di sini untuk terus membaca