SHAH ALAM - Anak mantan Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail menegaskan beliau memilih untuk bertanding menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk dalam Pilihan Raya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Anak mantan Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail menegaskan beliau memilih untuk bertanding menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini kerana beberapa sebab.

Antara sebab paling utama kerana beliau berpandangan ‘kepimpinan bersih harus bermula di sana.’ Beliau menyedari bahawa menentang seorang presiden parti yang besar dengan jentera yang hebat bukan mudah, ‘tetapi seseorang harus melakukannya.

’"Kita harus menghantar mesej kepada rakyat bahawa masa depan negara bergantung pada imej yang bersih dalam kalangan pemimpinnya,” ujar beliau ketika dihubungi Sinar Harian.

Tawfik yang juga pengasas Gerak Independent pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor di bawah tiket Barisan Nasional (BN) pada tahun 80-an yang kini dikenali sebagai Parlimen Simpang Renggam.

Beliau merupakan anak sulung bekas Timbalan Perdana Menteri kedua, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Toh Puan Norashikin Mohd Seth.

Menurut Tawfik, beliau menawarkan diri dengan tema ‘Rakyat Lawan Rasuah’.

Beliau berharap pilihan raya kali ini akan membuktikan bahawa rakyat menolak rasuah dan pemimpin yang rasuah atau dianggap mengamalkan rasuah dan salah laku.

"Keadaan rasuah sudah sampai ke peringkat kronik,” ujar beliau.

Tawfik mahu rakyat memilih pemimpin yang bukan sahaja bersih tetapi kelihatan bersih.

Menurut Tawfik, sebagai seorang Melayu, beliau dan keluarganya turut memainkan peranan tertentu dalam mencorakkan sejarah negara ini.

"Kedua-dua datuk saya di sebelah ibu dan ayah, serta ayah dan pakcik saya mengorbankan diri mereka demi maruah serta kehormatan, bukan sahaja bangsa Melayu tetapi juga rakyat Malaysia yang setia.

"Saya tidak boleh lagi melihat korupsi dan adab bangsa saya yang telah dirobek dilayan seperti suatu perkara yang normal dalam kehidupan.

AHMAD ZAHID

"Dan Zahid sebagai pemimpin parti politik terbesar orang Melayu malangnya tidak boleh menjadi jurucakap kepada orang Melayu secara keseluruhannya dengan sikapnya yang tidak apa itu,” tegas Tawfik.

Sehingga kini, katanya, tidak ada mana-mana pemimpin Melayu yang bersedia menentang Zahid secara bersemuka atas nama prinsip.

"Arwah pakcik saya, Sulaiman Abdul Rahman menentang Datuk Onn Jaafar dan menang. Begitu juga dengan datuk saya, Datuk Seth pernah tidak bersetuju dengan Almarhum Sultan Ibrahim Johor atas nama prinsip.

"Begitu juga dengan seorang lagi datuk saya iaitu Datuk Abdul Rahman yang memimpin ‘Orang Tujuh Muar’ suatu ketika dahulu.

"Kini giliran saya pula untuk melakukan apa yang sepatutnya agar anak-anak dan generasi saya seterusnya dapat mempelajari sesuatu daripada semua ini sepertimana saya mengikut jejak langkah ayah dan datuk-datuk saya,” ujarnya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca