SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kecuali mantan Presiden UMNO itu mendapat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding dan mempertahankan kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kecuali mantan Presiden UMNO itu mendapat pengampunan diraja dalam masa terdekat walaupun peluang berkenaan tipis.

Pakar Perlembagaan, Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, bekas Pengerusi BN itu tidak layak bertanding atau menjadi calon sama ada dalam PRU15, pilihan raya negeri atau pilihan raya kecil berdasarkan Perkara 48, Perlembagaan Persekutuan.

"Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan menetapkan sekatan bagi seorang yang dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau dihukum denda tidak kurang daripada RM2,000 untuk dinamakan sebagai calon, dipilih atau dilantik sebagai ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kecuali dia sudah mendapat pengampunan bebas.

"Malah, rayuan pengampunan yang sedang dibuat oleh Najib hanya membolehkan beliau menghabiskan tempoh penggal Parlimen yang lepas sebagai Ahli Parlimen Pekan, dan tempoh tersebut telah tamat dengan pembubaran Parlimen (Isnin lalu),” katanya kepada wartawan Sinar Premium.

Pensyarah Fakulti Pengurusan Industri, Universiti Malaysia Pahang itu berkata demikian ketika menjawab persoalan sama ada Najib yang kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta dibenarkan menjadi calon BN pada PRU15 nanti.

Persoalan itu berbangkit selepas peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah meminta kes semakan kehakiman bekas Perdana Menteri itu dipercepatkan kerana ia mungkin memberi kesan secara langsung kepada peluang Najib bertanding pada PRU15.

Wan Ahmad Fauzi, Rais Yatim

Pengampunan Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, isu pengampunan Najib sepatutnya tidak wajar diperdebatkan kerana keputusannya terletak pada Lembaga Pengampunan dan Najib masih perlu menghadapi banyak lagi pertuduhan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di mahkamah.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim pula berkata, Najib tidak layak lagi bertanding untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pekan berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan kerana beliau kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Penjara Kajang.

Apatah lagi, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu, Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga menghalang mana-mana individu didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara kerana melakukan jenayah atau muflis atau kehilangan minda daripada menjadi calon pilihan raya.

Malah, Rais yang juga Speaker Dewan Rakyat berkata, mengikut Akta Penjara, Najib turut tidak dibenarkan keluar daripada tahanan pemenjaraan kecuali atas sebab tertentu seperti masalah kesihatan.

"Itu sudah jelas bahawa Najib sudah kehilangan kelayakan untuk menjadi calon dan bertanding dalam PRU selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara dan denda diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Tiada alternatif lain.

"Kedudukan Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan juga tergugur secara automatik selepas Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat berkuat kuasa Isnin lalu,” jelas beliau.

Bukan mudah Dalam pada itu, Rais berpandangan peluang Najib untuk bertanding dalam PRU15 sukar direalisasikan kerana bukan mudah Lembaga Pengampunan Diraja mahu memberikan pengampunan kepada mana-mana tahanan jenayah.

Malah katanya, Yang di-Pertuan Agong tidak boleh membuat keputusan memberikan pengampunan secara bersendirian, sebaliknya Seri Paduka perlu memenuhi kehendak Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan dan mengikut nasihat Peguam Negara dan mesti dihadiri oleh Perdana Menteri.

"Saya rasa peluang Najib bertanding PRU15 ini amat tipis kerana proses mendapatkan pengampunan diraja memakan masa lama.

"Justeru tidak mungkin Yang di-Pertuan Agong akan memberikan pengampunan begitu sahaja.

"Kalau ikut kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (Presiden PKR) dulu pun, beliau meringkuk dalam penjara bertahun-tahun, sebelum mendapat pengampunan diraja,” kata beliau.

Klik di sini untuk terus membaca