BAITUL MAQDIS - Penduduk Palestin pada Rabu melancarkan mogok yang jarang berlaku di Baitulmaqdis Timur setelah rejim Zionis melancarkan ‘operasi’ yang dianggap melampau kerana menyasarkan sebuah kem pelarian tanpa alasan kukuh sejak beberapa hari lalu.
Tindakan nekad mereka menyaksikan penutupan kebanyakan operasi perniagaan di kota lama itu dan di sepanjang laluan komersial utama di bahagian timur yang biasanya sesak dengan pengunjung.
Ketika ini, laluan masuk ke kem pelarian Shuafat tersebut yang menjadi sasaran ‘operasi’ menjejaki suspek serangan yang meragut nyawa seorang anggota tentera Israel turut ditutup.
Seorang penduduk Palestin, Nawal Jodeh, 50, memaklumkan anak perempuannya yang tinggal di kem pelarian itu bersama keluarganya kini ‘terkepung’.
"Dia sahkan situasi agak teruk di sana. Saya terdengar bunyi tembakan dan kanister gas pemedih mata ketika bercakap dengannya melalui panggilan telefon,” ujarnya.
Agensi bantuan antarabangsa juga mengesahkan keadaan semakin tegang setelah pertempuran ganas tercetus di lokasi tersebut.
"Tindakan kekerasan secara berlebihan dan penubuhan pos pemeriksaan tambahan memaksa sekolah dan pusat kesihatan di kem berkenaan menutup operasi,” kata jurucakap Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Kazem Abu Khalaf.
Sementara itu, ahli Parlimen Arab, Ahmad Tibi yang mengadakan lawatan ke kem itu menyifatkan operasi itu sebenarnya satu bentuk ‘hukuman kolektif’ kepada penduduk Palestin.
"Penduduk yang sakit tidak dibenarkan keluar dari kem tersebut untuk mendapatkan rawatan, beberapa kakitangan perubatan juga dihalang daripada memasuki kawasan itu,” jelasnya.
Rejim Zionis menjadikan alasan untuk memperhebatkan ‘operasi’ itu setelah seorang lagi tentera mereka maut ditembak berhampiran Nablus di utara Tebing Barat pada Selasa.
Di bawah sekatan terbaharu, ia telah menyekat kesemua laluan menuju ke bandar itu yang dijangka memburukkan lagi situasi di wilayah tersebut yang semakin meruncing akibat tindakan kekerasan tentera Israel.
Sejak akhir-akhir ini, tentera Israel semakin memperluaskan operasi di Tebing Barat terutamanya di bandar Jenin dan Nablus yang didakwa menjadi markas kumpulan pejuang Palestin.
Sehingga kini, lebih 150 penduduk Palestin terbunuh termasuk 51 di Genting Gaza ketika perang terbaharu bersama Israel tercetus pada Ogos lalu. - AFP
Klik di sini untuk terus membaca