DI sebalik kehebatan Instagram dan TikTok, Facebook masih ada penggemar tegar di negara ini. Sekalipun TikTok dinobatkan sebagai aplikasi paling popular di seluruh dunia sepanjang 2021 dan 2022 dengan jumlah 656 juta pengguna, namun... Klik di sini untuk terus membaca

DI sebalik kehebatan Instagram dan TikTok, Facebook masih ada penggemar tegar di negara ini. Sekalipun TikTok dinobatkan sebagai aplikasi paling popular di seluruh dunia sepanjang 2021 dan 2022 dengan jumlah 656 juta pengguna, namun Facebook tetap jadi pilihan utama rakyat Malaysia.

Masih ramai yang ghairah ‘bercerita’ tentang kehidupan seharian dalam Facebook. Kadangkala ada memuat turun gambar-gambar peribadi yang dianggap ‘syok sendiri’ atau boleh ditafsir sebagai ‘meninggi diri’.

Tidak kurang ada yang berani memuat turun gambar tiket berlepas setiap kali melancong ke luar negara.

Kenapa itu berlaku? Nah, inilah peluang untuk scammer yang kejam dan tidak berperikemanusiaan meraih data peribadi dengan begitu mudah.

Senario ini nampak remeh namun ia sering kali berlaku meskipun rakyat Malaysia telah berulang kali diberi amaran agar tidak mudah untuk berkongsi data peribadi kerana ia boleh disalahgunakan oleh scammer.

Penulis menganggap senario ini sebagai sikap jelik yang mengundang masalah dengan sengaja. Apatah lagi apabila wartawan The Wall Street Journal (WSJ), Joseph De Avila dalam tulisannya pada 7 Oktober 2022 mendedahkan Facebook telah memberi amaran kepada penggunanya tentang 400 ‘aplikasi berniat jahat’ atau malicious apps yang mampu mencuri nama atau username dan kata laluan atau password untuk sesuatu akaun tertentu.

Facebook kemudian mengingatkan pengguna Apple dan Google tentang aplikasi ‘niat jahat’ ini.

Sebagai langkah berjaga-jaga Facebook menyarankan agar pengguna kerap sentiasa menukar kata laluan, selain mengaktifkan pengesahan dua langkah (two step verification).

Menyedari kesan buruk yang bakal membelenggu penggunanya, Apple mengesahkan ia berjaya ‘membunuh’ 45 aplikasi ‘berniat jahat’ daripada ‘App Store’ yang telah dikenal pasti oleh Meta Platforms Inc (syarikat induk Facebook).

Dalam tempoh yang sama, wartawan tersohor, Andrew Griffin mengesahkan beratus-ratus aplikasi ‘berniat jahat’ ini sedang mencuri akaun Facebook.

Penulis difahamkan syarikat induk Facebook, Meta Platorms dari semasa ke semasa telah memberi amaran kepada pelanggan Facebook tentang permasalahan ini.

Penulis difahamkan taktik aplikasi ‘berniat jahat’ biasanya dengan cara bersembunyi dalam aplikasi iPhone dan Adroid yang kelihatannya seperti menawarkan perkhidmatan penting kepada orang ramai.

Kadangkala ia menyamar sebagai photo editor yang menawarkan penapisan sempurna seperti penggunaan lampu suluh demi menghasilkan gambar terbaik.

Sebenarnya, penjenayah siber dan scammer sentiasa berselindung di sebalik aplikasi popular untuk menipu dan mencuri akaun serta maklumat penting pengguna Facebook atau aplikasi popular yang lain.

Kebiasaannya selepas memuat turun aplikasi palsu, pengguna akan diminta untuk log masuk dengan menggunakan akaun Facebook. Di sinilah, nama pengguna dan kata laluan akan diserang untuk pelbagai tujuan yang membawa kepada kerugian wang ringgit.

Sehingga kini, Amazon melaporkan Facebook mempunyai 416 juta pengguna. Dengan jumlah menghampiri setengah bilion akaun, penjenayah siber dan scammer pasti bermaharajela sekiranya pengguna tidak bijak menggunakan platform media sosial tersebut.

Amazon turut menyebut permintaan aplikasi mudah alih kian berkembang pesat sehingga suku ketiga 2022.

Sehingga suku pertama 2022, 37 bilion aplikasi digunakan dan ia meningkat kepada lebih 41 bilion pada suku kedua 2022. Pengguna peranti Android pelbagai jenis berjumlah 28 bilion dan 8 bilion Apple iOS.

Dengan jumlah sebesar itu, pengguna Facebook yang melayari pelbagai aplikasi menerusi telefon bimbit umpama ikan yang mudah ditangguk oleh penjenayah siber dan scammer pada kolam kecil! Berdasarkan maklumat terkini, penulis percaya aplikasi Photo Editor paling berisiko dengan peratusan 42.6 peratus diikuti Business Utility (15.4%), Phone Utility (14.1%), Gave dan Virtual Private Network (VPN) masing-masing 11.7% dan Lifestyle (4.4%).

Justeru, bagi menyukarkan penjenayah siber dan scammer mudah memperdayakan pengguna, penulis mencadangkan agar kata laluan dan pengesahan dua langkah sentiasa ditukar.

Hubungi pihak berkuasa sekiranya percaya ada aktiviti mencurigakan melibatkan akaun Facebook mereka.

Kesimpulannya, penulis berharap pengguna mengurangkan sifat membangga diri termasuk menyiarkan pelbagai data peribadi dalam akaun Facebook, untuk mengelak diperdaya penjenayah siber dan scammer.

* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC)

Klik di sini untuk terus membaca