EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) sebelum ini berjaya dalam misinya meneroka Marikh selepas sebuah kapal angkasa tanpa juruterbang dikenali sebagai Hope miliknya memasuki orbit planet tersebut pada 9 Februari 2021 setelah menempuh penerbangan... Klik di sini untuk terus membaca

EMIRIAH Arab Bersatu (UAE) sebelum ini berjaya dalam misinya meneroka Marikh selepas sebuah kapal angkasa tanpa juruterbang dikenali sebagai Hope miliknya memasuki orbit planet tersebut pada 9 Februari 2021 setelah menempuh penerbangan sejauh 493 juta kilometer selama lebih enam bulan.

Kapal angkasa kecil itu digunakan untuk melakukan pemerhatian bagi mengukur tahap oksigen dan karbon monoksida dalam termosfera Marikh dan ia merupakan pencapaian terbesar bagi UAE selepas agensi angkasa lepas di negara tersebut ditubuhkan pada tahun 2014.

Pencapaikan itu mencatatkan sejarah kerana UAE satu-satunya negara Islam yang meneroka Marikh kerana Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Soviet yang telah dibubarkan dan kini dikenali sebagai Rusia, India, Agensi Angkasa Lepas Eropah dan China juga pernah melancarkan misi ke planet tersebut.

Bagaimanapun, pada kali ini, UAE kemungkinan akan menjadi negara Islam dan Arab yang pertama menghantar sebuah kenderaan penjelajah ke bulan pada bulan depan dikenali dengan nama Rashid untuk melakukan misi penyelidikan sains.

Kenderaan itu akan mengkaji tentang sifat tanah, petrografi dan geologi serta pergerakan debu di bulan manakal pusat kawalan misi di Dubai, UAE itu juga menjangkakan bakal menerima beribu-ribu imej yang dihantar olehnya.

Pelancaran misi ke bulan itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Pusat Angkasa Lepas Mohammed bin Rashid (MBRSC), Salem Al Marri kepada Gulf News pada Rabu lalu bahawa ia akan dilancarkan antara 9 hingga 15 November depan.

Pelancaran ke bulan itu dijadualkan akan berlangsung di Kompleks Pelancaran Angkasa Lepas 40, Cape Canaveral di Floria, AS walaupun Taufan Ian melanda negeri tersebut baru-baru ini sehingga mengakibatkan lebih 100 orang terbunuh.

Kenderaan penjelajah itu dijangka menggunakan sebuah kapal angkasa pendaratan buatan syarikat dari Jepun bagi membolehkannya mendarat di bulan setelah dilancarkan dari kompleks pelancaran tersebut dengan menggunakan roket Falcon 9 milik syarikat SpaceX yang mana pengasasnya ialah bilionair paling kaya di dunia, Elon Musk.

Kejayaan UAE itu mendapat perhatian Sheikh Hamdan Bin Mohammed Bin Rashid Al Maktoum iaitu Putera Mahkota Dubai merangkap Pengerusi Majlis Eksekutif Dubai kerana beliau telah membuat ciapan di Twitter untuk mengucapkan tahniah kepada pasukan yang membangunkan kenderaan penjelajah tersebut.

Sebelum dihantar ke bulan pada bulan depan, kenderaan penjelajah seberat 10 kilogram (kg) dan berukuran kira-kira 50 sentimeter (sm) panjang dan lebar serta 70sm tinggi itu telah melakukan semua ujian yang diperlukan dan ia disahkan sendiri oleh pihak MBRSC.

Penerbangan ke bulan itu akan mengambil masa selama tiga bulan dan ia dijangka tiba pada awal tahun depan dan sejak permulaan tahun ini, kenderaan tersebut telah menyelesaikan pemasangan dan set pertama ujian fungsi penuh model penerbangan di makmal MBRSC.

UAE akan menjadi negara Islam pertama di dunia menghantar misi ke bulan. - Foto AFP

Fasa ujian itu adalah termasuk penilaian terhadap semua kefungsian peralatan dan perisian dalam semua kemungkinan senario di permukaan bulan dan ia juga melibatkan ujian getaran berat model di makmal yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Kenderaan penjelajah itu juga menjalani ujian di Toulouse, Perancis termasuk di makmal Pusat Kajian Angkasa lepas Kebangsaan (CNES) yang mana ia akan dipanaskan dan disejukkan untuk mensimulasikan tekanan dan suhu perjalanannya melalui angkasa lepas dan di permukaan bulan.

Ujian alam sekitar termasuk getaran yang ketat dan pemeriksaan kejutan model penerbangan di kemudahan Airbus turut dilakukan ke atas kenderaan penjelajah tersebut di mana ia akan digoncangkan pada meja getaran yang mensimulasikan persekitaran semasa pelancarannya di atas roket Falcon 9.

Kempen ujian berakhir dilakukan di Jerman dengan fasa terakhir pemeriksaan penjajaran instrumen seperti sistem pengimejan dan ujian kefungsian akhir sistem bersepadu.

Dibina oleh sebuah pasukan daripada warga UAE yang inovatif di dalam makmal tercanggih MBRSC yang berpangkalan di negara berkenaan, kenderaan penjelajah tersebut dilengkapi dengan teknologi terkini dan reka bentuk yang dirancang untuk membolehkan semua kerja penyelidikan saintifik berjaya dilakukan.

Matlamat kenderaan penjelajah itu adalah untuk mendaratkanya di kawah Atlas di tapak Mare Frigoris di bulan.

Pasukan yang mencipta kenderaan tersebut juga berharap ia dapat bertahan pada suhu menjunam hingga -183°Celsius di bulan.

Misi ke bulan adalah sebahagian daripada strategi UAE yang lebih luas untuk menjadi pemain utama dalam bidang penerokaan angkasa lepas dan jika misi itu berjaya, negara tersebut dan Jepun akan menyertai AS, Rusia dan China sebagai negara yang telah meletakkan kapal angkasa masing-masing di permukaan bulan. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca