PETALING JAYA - Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah memperhebatkan usaha mengerakkan kempen penerangannya menerusi media sosial.
Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil berkata, penerangan tertumpu kepada kejayaan agenda rakyat yang berjaya direncanakan di negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan (PH).
Menurutnya, usaha penerangan turut dilakukan berkenaan pembaharuan yang berjaya dilaksanakan PH dalam tempoh 22 bulan mentadbir negara.
"Negeri yang memperhebatkan kempen menerusi media sosial termasuklah Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir melancarkan Aplikasi ADIL 2.0 di Ibu Pejabat PKR di sini pada Khamis.
Jelasnya, pihaknya telah mengarahkan jentera penerangan negeri untuk memastikan kempen menerusi semua platform rasmi dan tidak rasmi berjalan.
"Contoh di Negeri Sembilan PH mentadbir, kita berjaya membina enam buah masjid daripada dana negeri dan keadaan itu tidak berlaku ketika Datuk Seri Mohamed Hassan menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai aplikasi yang dilancarkan, Fahmi berkata aplikasi berkenaan memberi ruang kepada orang ramai membuat aduan tentang masalah setempat seluruh negara termasuk isu salah guna kuasa dan rasuah.
Sementara itu, jentera Penerangan Pas memilih untuk melaksanakan kempen secara berakhlak di media sosial, sesuai dengan imej dan perjuangan parti itu.
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin meminta semua jentera parti itu untuk lebih berhati-hati dalam sebarang hantaran yang dilakukan.
"Dalam apa jua keadaan, jentera penerangan Pas perlu berakhlak, berhati-hati dan jangan memfitnah kerana politik yang kita nak bawa adalah politik sihat.
"Politik ini juga untuk anak muda. Kita kena ajar semua anak muda yang politik itu sihat. Kerosakan politik adalah disebabkan oleh mereka yang berkepentingan,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Pas, Jalan Raja Laut, di sini pada Khamis.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu turut menyentuh perkara sama dan meminta seluruh pimpinan dan ahli Pas diingatkan agar menjaga adab termasuk tidak menimbulkan kebencian dan fitnah terhadap lawan politik.
Ini termasuklah dalam segala hantaran mahupun artikel di media sosial.
Kempen digital antara strategi GTA hadapi PRU15 Sementara itu, berkempen secara digital merupakan antara strategi Parti Gerakan Tanah Air (GTA) untuk menarik sokongan pengundi seiring perkembangan teknologi masa kini.
Ketua Wanitanya, Che Asmah Ibrahim berkata, justeru jentera parti sudah memulakan kempen di platform media sosial menerusi beberapa aplikasi popular pengguna.
"Kempen memang sedang berlangsung, kita sudah laksanakan dan bila dapat maklum balas nanti, kita akan menambah baik dari semasa ke semasa.
"Kita kena sampaikan mesej kepada rakyat tentang matlamat GTA menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) khususnya untuk menumbangkan musuh selain melihat kepada kemaslahatan.
"Kita tidak berhenti mengatur strategi dari sekarang dan usaha-usaha (berkempen) tersebut sedang dan masih berterusan,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam pada itu Che Asmah berkata, penggunaan media sosial sebagai platform berkempen dilihat berkesan namun perlu diperluas agar semua golongan masyarakat dapat menerima seterusnya menilai maklumat yang disampaikan.
"Rakyat Malaysia sudah tidak boleh tolak ansur lagi dengan keadaan politik semasa dan strategi kempen di media sosial akan dipergiat walaupun belum ada tarikh (PRU15).
"Strategi lain untuk berhadapan musuh juga sedang dibincangkan dan dirangka bagi memastikan tujuan kita pada pilihan raya nanti berkesan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca