SHAH ALAM - Pemimpin dan parti politik ketika ini dilihat agresif berkempen dalam media sosial kerana mahu meningkatkan populariti mereka menjelang hari pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penganalisis Politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, mereka bertindak demikian walaupun tarikh penamaan calon dan pembuangan undi belum ditetapkan kerana mahu memenangi hati pengundi seramai mungkin terutama pengundi muda.
Katanya, ia kerana jumlah pengundi muda meningkat lebih tujuh juta dalam PRU15 nanti membabitkan pengundi yang berumur 18 tahun dan ke atas serta pengundi kali pertama yang didaftarkan secara automatik.
"Jadi disebabkan pemimpin dan parti politik itu sedar mereka harus mendekati kesemua kelompok pengundi, alam maya menjadi menjadi platform paling mudah buat mereka kerana informasi dapat disampaikan dengan cepat.
"Sebab itu mereka telah mula agresif berkempen menggunakan media sosial apatah lagi tidak ada sebarang peraturan yang melarang mereka berkempen awal,” katanya.
Sivamurugan menjelaskan, tempoh kempen yang ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanyalah sesuatu yang bersifat formal dan ia tidak bermaksud kempen tidak boleh dimulakan sebelum itu.
"Tidak ada pihak, parti atau pemimpin yang hanya mengguna pakai tempoh masa kempen secara formal sahaja kerana mereka dari awal lagi menggunakan pelbagai kaedah dan pendekatan khususnya menerusi media sosial untuk menampakkan keupayaan dimiliki mereka serta membuktikan mereka masih relevan dalam kancah politik tanah air,” ujarnya.
Sivamurugan berkata, pemimpin atau parti politik yang berkempen di media sosial ketika ini juga tidak menamakan diri mereka sebagai calon dan menyatakan akan bertanding di mana-mana kawasan sekali gus ia tidak menyalahi peraturan.
Tegasnya, oleh itu tempoh kempen 14 hari sebelum hari pengundian ditetapkan, ia sekadar masa yang diberikan kepada parti atau calon untuk mendekati kumpulan sasar di kawasan yang mereka sah bertanding.
Beliau percaya seiring dengan perang kempen yang semakin hangat di media sosial itu akan turut berlaku pembunuhan karakter serta menimbulkan kebencian dan keraguan kepada pemimpin tertentu.
"Politik adalah permainan persepsi jadi dalam kempen ini boleh dilihat sejauh mana pemimpin atau parti politik itu berjaya mempengaruhi emosi pengundi dan sebab itu akan berlaku pembunuhan karakter.
"Walaupun maklumat yang dikongsikan dalam kempen barangkali sesuatu yang belum pasti, tapi ia tetap disebarkan untuk memenangi hati pengundi,” katanya.
Oleh itu, Sivamurugan berkata, dalam kerancakan berkempen, pemimpin dan parti politik juga perlu bijak menangani perang saraf itu daripada pihak lawan serta perlu menangkis segera serangan bertubi-tubi yang dilemparkan.
"Pengundi pula bersifat rasional, praktikal, tidak emosional dan bijak menilai informasi yang sampai kepada mereka,” ujarnya lagi.
Kempen tumpu sebar tawaran kepada rakyat Sementara itu, Ketua Penerangan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mengakui pihaknya sudah menerima arahan daripada barisan pimpinan untuk mempergiatkan prakempen meskipun tarikh PRU15 belum ditetapkan.
Beliau juga bersetuju bahawa media sosial menjadi platform penting untuk menyebarkan maklumat parti kepada semua pengundi.
"Memang sudah mula lama, cuma dalam masa terdekat kita akan perluaskan lagi seperti yang pernah dilakukan di beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
"Dalam konteks media sosial, arahan itu sudah ada. Kita bertindak agresif untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat, bukan sekadar menyerang parti politik atau kempen mereka, tetapi lebih fokus kepada tawaran Perikatan Nasional (PN).
"Itu adalah agenda utama supaya rakyat tahu dan faham apakah matlamat dan juga misi PN untuk membangunkan masyarakat jika menang PRU15 nanti,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam pada itu Mohd Ashraf Mustaqim turut berkongsi perancangan Armada Bersatu yang sedang mengatur pelbagai program untuk disiarkan di media sosial, antaranya mengadakan program temu bual bersama pemimpin parti berkenaan.
"Dalam masa terdekat, kita akan menampilkan calon dan tokoh-tokoh pemimpin yang ada supaya masyarakat lebih mengenali mereka. Itu juga antara strategi yang akan ditampilkan.
"Selain itu akan diketengahkan juga dalam sesi temu bual itu nanti mengenai sejauh mana peranan ahli akar umbi untuk membantu penyebaran informasi kepada masyarakat, sebab kita tahu cabaran dalam dunia teknologi maklumat masa kini khususnya melibatkan algoritma dalam internet.
"Kita tahu keadaan sangat kompleks kerana kalau seseorang itu bukan lazim dalam dunia politik dan memilih carian cerita hiburan, mungkin algoritma internet tidak sampai kepada dia, maka penyampaian tidak sampai,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca