MENJELANG Pilihan Raya Umum (PRU15) yang pasti diadakan dalam tahun ini, 'perang' parti-parti politik untuk meraih kepercayaan 20 juta pengundi berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah bermula.
Hingga setakat Parlimen dibubarkan 10 Oktober lalu, terdapat enam koalisi rasmi dijangka akan bersaing sengit bagi merebut 222 kerusi Parlimen dan 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri termasuk DUN Bugaya, Sabah.
Enam koalisi berkenaan adalah UMNO-BN, Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) Plus (Ikatan Demokratik Muda) dan Gerakan Tanah Air (GTA) di semenanjung manakala Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bakal tertumpu di Sabah dan Sarawak.
Selain enam blok utama parti berkenaan, terdapat juga parti-parti serpihan seperti Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Warisan (Warisan) dan parti-parti lokal di Sabah dan Sarawak yang cuba memberikan saingan kepada parti lebih dominan.
Berdasarkan unjuran ramai pemerhati politik tempatan, situasi politik negara yang menyaksikan Malaysia mengalami perubahan kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun selepas PRU14, berkemungkinan akan berulang selepas PRU15.
Meskipun pengenalan Akta Anti Lompat Parti sudah diwartakan Parlimen, ramai percaya tiada parti yang mampu mendapat sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan secara bersendirian pada PRU kali ini.
Sehubungan itu, perlumbaan parti-parti atau koalisi politik bagi mewujudkan jajaran politik baharu yang lebih jitu dan ampuh bagi mendepani PRU15, kini semakin sengit dan mendebarkan.
Sebagai contoh, walaupun Pas sudah menjadi rakan koalisi rasmi PN bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), parti itu masih cuba menjalinkan kerjasama dengan UMNO-BN melalui koalisi Muafakat Nasional (MN) atas alasan penyatuan ummah.
Begitu juga dengan perkembangan terkini PH yang akhirnya memuktamadkan penerimaan Muda pada Rabu, walaupun cadangan itu pada awalnya ditentang Parti Keadilan Rakyat (PKR) susulan peristiwa pertindihan kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu.
Terkini, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang mengepalai GTA pula menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan mana-mana parti menentang UMNO-BN pada PRU15 dengan cadangan itu disambut Pengerusi Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis.
Bagi UMNO-BN pula, timbul tanda tanya sama ada parti itu bersedia menerima kehadiran PBM yang majoritinya terdiri bekas wakil rakyat Bersatu dan PKR, untuk menjadi salah satu rakan kongsi politik mereka kelak.
Hakikatnya, kesungguhan parti-parti politik sedia ada cuba mewujudkan konfigurasi politik baharu pada 'waktu kecederaan' membuktikan mereka tidak yakin untuk bergerak bersendirian terutama parti-parti pembangkang.
Hal ini kerana mereka menyedari kegagalan blok pembangkang membentuk satu gabungan kerjasama utuh, sebenarnya memberi kelebihan besar kepada UMNO-BN.
"Mereka sekarang cuba mencari kawan supaya blok pembangkang termasuk PN dapat bergabung untuk menentang UMNO-BN pada PRU15.
"Selain itu, peluang parti politik kecil untuk menyertai koalisi politik lebih besar pastinya memberi kelebihan kepada mereka untuk mengembangkan kawasan jajahan kerusi pilihan raya, sekali gus mengukuhkan tuntutan kerusi tradisi pada PRU mendatang," kata Pengarah Akademik Huayan Centre for Malaysian Chinese Studies, Dr Chang Yun Fah kepada Sinar Premium.
Mengulas unjuran gabungan parti politik baharu paling realistik untuk menjadi realiti, koalisi UMNO-Pas menerusi MN mungkin dilihat berpeluang besar menjadi kenyataan disusuli dengan gabungan PN-GTA.
Pandangan itu berasaskan teori gabungan kerjasama UMNO dan Pas pastinya memanfaatkan kedua-dua parti berkenaan kerana undi gabungan MN mampu mendominasi lebih 120 kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu.
"Namun dengan Pas bermain tarik tali untuk kekal bersama PN, kerjasama politik itu agak sukar dimuktamadkan. Bahkan kegagalan dua parti itu memeterai kerjasama politik sebenarnya menjadikan persaingan PRU15 lebih terbuka.
"Begitu juga gabungan GTA-PN yang dilihat tidak begitu membantu PN. Bagaimanapun situasi berbeza berlaku kepada PH apabila menerima kehadiran Muda.
"Berdasarkan kajian saya, impak sokongan pengundi belia dan Undi18 terhadap Muda adalah sangat jelas sehingga mencapai 10 hingga 20 peratus terutama dalam kalangan pengundi Cina. Jadi kerjasama PH-Muda memang beri nilai tambah," tegas Yun Fah.
Sementara itu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose percaya UMNO-BN kini mempunyai kelebihan untuk menjadi parti tunjang yang bakal memenangi kerusi Parlimen terbanyak pada PRU15.
Bagaimanapun, angka unjuran kerusi Parlimen bakal dimenangi UMNO-BN dijangkakan sekitar 79 hingga 82 kerusi, mungkin tidak mencukupi bagi koalisi itu membentuk kerajaan Pusat secara bersendirian.
"Jadi secara logiknya UMNO-BN pastinya memerlukan kerjasama politik daripada koalisi politik kecil termasuk Pas, GTA, GPS dan GRS bagi membolehkan sebuah kerajaan stabil dapat ditubuhkan.
"Agak sukar untuk UMNO-BN bekerjasama dengan PH dan Bersatu selepas PRU15 kerana kedua-dua koalisi itu menuntut pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri, sedangkan Pas dan parti kecil lain tiada masalah menjadi parti sokongan," ujar Raduan.
Selain unjuran kerusi Parlimen membabitkan UMNO-BN, Raduan turut menjangkakan bilangan kerusi Parlimen bakal dimenangi PH-Muda juga akan merudum kepada 70 kerusi berbanding 90 kerusi yang dimiliki koalisi itu ketika ini.
"Selain itu, saya jangkakan GPS mampu meraih sehingga 24 daripada 31 kerusi Parlimen di Sarawak, manakala GRS dengan kerjasama UMNO Sabah bakal memenangi 15 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah.
"Saya turut percaya kehadiran keseluruhan 6.5 juta pengundi baharu termasuk 1.6 juta pengundi Undi18 yang didaftarkan secara automatik pada PRU15, tidak akan membantu mengubah polarisasi trend pengundian pada kali ini kerana partisipasi mereka mungkin tidak memberangsangkan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca