PADA 27 September lalu, iaitu di sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York, saya telah mengambil bahagian dalam Sesi Keempat, Siri Diskusi Agenda Bersama Warga Dunia (Our Common Agenda), anjuran... Klik di sini untuk terus membaca

PADA 27 September lalu, iaitu di sela-sela Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77 di New York, saya telah mengambil bahagian dalam Sesi Keempat, Siri Diskusi Agenda Bersama Warga Dunia (Our Common Agenda), anjuran Komuniti Bahai Antarabangsa, Demokrasi Tanpa Sempadan, CIVICUS dan Gabungan PBB Yang Diperlukan.

Ia dihadiri 30 duta serta pemimpin organisasi dan masyarakat sivil antarabangsa.

Penglibatan saya di sini adalah lanjutan daripada penglibatan dalam beberapa diskusi tentang gerakan ini, iaitu sejak sambutan ulang tahun Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-75 dahulu.

Gerakan ini berputik daripada kesedaran bahawa PBB tidak lagi berperanan seperti yang sepatutnya. Lalu lahirlah gagasan Agenda Bersama Warga Dunia, sehingga terluncur Laporan Setiausaha Agung PBB tentangnya pada 10 September 2021.

Laporan ini memfokus kerjasama global untuk 25 tahun akan datang. Ia menekankan amalan multilateralisme yang inklusif, berjaringan dan berkesan bagi menangani cabaran-cabaran utama kemanusiaan dengan lebih baik.

Antara asasnya ialah partisipasi pelbagai suara yang melewati suara rasmi negara-negara anggota PBB iaitu melibatkan, antaranya ahli parlimen, pihak berkuasa subnasional/tempatan, penyelidik, pakar, pergerakan akar umbi dan masyarakat sivil.

Pokoknya ialah persoalan: adakah aturan-aturan PBB yang wujud hari ini berkesan? Adakah ia boleh diperbaiki? Atau, ia memerlukan transformasi? Dalam intervensi, saya menyatakan yang PBB hari ini tidak mampu menangani dua kluster cabaran utama dunia, iaitu tabiat dan perlakuan kuasa-kuasa besar dan tiga perkembangan semasa, iaitu krisis iklim buatan manusia, kepesatan teknologi yang bermanfaat tetapi turut membawa kesan negatif dan arkitektur antarabangsa yang tidak adil.

Saya mengulangi pendirian Malaysia bahawa PBB perlu direformasi. Seterusnya, saya menyokong penubuhan Perhimpunan Parlimen PBB (UNPA).

Ia tercetus daripada rasa tidak puas hati orang awam dan wakil-wakil rakyat yang terputus hubungan dan peranannya dengan platform-platform antara-kerajaan dan institusi-institusi antarabangsa, yang menyebabkan kedua-dua fora tersebut dipersoal keabsahannya dan mengakibatkannya kurang berkesan.

Matlamat UNPA ialah mengurangkan defisit demokrasi global dengan cara melibatkan rakyat dan memberinya suara, iaitu melalui ahli-ahli Parlimennya, ke dalam proses membuat keputusan global.

UNPA dicadangkan dianggotai ahli-ahli Parlimen negara-negara anggota. Formula keanggotaannya sedang dibincangkan. Kuasanya harus bermula sebagai badan konsultasi dan beransur-ansur memiliki kuasa yang complement UNGA. Ia juga complement peranan Kesatuan Antara-Parliment (IPU).

Oleh kerana penubuhan UNPA memakan masa, maka saya menyatakan bahawa warga dunia tidak boleh menunggu. Kita perlu memulakan ‘pilot’nya, iaitu dengan perhimpunan masyarakat sivil dan ahli-ahli Parlimen bersempena Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2023 dan Sidang Kemuncak Masa Depan 2024.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca