MAT Taici memang dah lama perhatikan kisah 'cinta' Pas-UMNO ni. Banyak sangat tarik tali, sekejap mahu sekejap tidak, sekejap nak putus, sekejap nak sambung.
Walaupun beberapa kali dah masing-masing cakap putus hubungan dan saling memburukkan 'pasangan', biasalah macam pasangan bercinta yang lain. Tapi lepas beberapa minggu kedua-dua parti berbaik balik.
Malah, boleh duduk semeja bersembang dan makan bersama. Terakhir katanya kedua-dua parti bertemu lebih 'lapan mata' pada Rabu (12 Oktober).
Mungkin pertemuan itu usaha terakhir untuk UMNO memujuk Pas kembali bersama dalam Muafakat Nasional.
Namun, nampaknya walaupun selepas makan bersama pelbagai lauk pauk masakan kampung bersam-sama, Pas tidak tergoda untuk meninggalkan 'kekasihnya' ketika ini untuk kembali kepada 'kekasih lamanya', UMNO.
Pas atau parti yang popular dengan logo parti bulan itu pada Khamis akhirnya memutuskan untuk setia bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN).
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan itu dibuat selepas Pas memuktamadkan kerusi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 dengan gabungan PN.
Tidak sampai beberapa jam selepas Pas membuat keputusan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi segera membalas dengan memaklumkan UMNO/BN bergerak solo tanpa gabungan dengan blok lain.
"Dengan keputusan ini, UMNO bersama BN akan terus bergerak solo dengan mengekalkan imej parti yang sentiasa berpaksikan kesederhanaan dan mampu menawarkan kestabilan," kata Zahid yang memaklumkan tidak terkejut dengan keputusan Pas.
Pagi tadi, menerusi kuliah mingguannya di Marang, Hadi memaklumkan punca Pas tidak mahu kembali kepada UMNO/BN sebab tidak dapat menerima UMNO yang 'keruh'.
Keruh yang dimaksudkan Hadi ialah ada pemimpin UMNO yang masih terpalit dengan kes rasuah.
"Kita (Pas) tak bersama dengan BN kerana ada keruh.... keruhnya masih ada penerima rasuah. Lepas tu rakus pula nak perintah lagi. (Padahal) kita baru tolong bantu jatuhkan PH (Pakatan Harapan),” kata Hadi.
Tapi Mat Taici tahu berdasarkan hubungan 'cinta' UMNO-Pas yang penuh pasang surut sejak berpuluh tahun, tidak mustahil lepas PRU15 kalau tiada yang dapat majoriti, ada potensi hubungan mereka terjalin kembali.
Bak kata orang tua-tua, pasangan kekasih ni biasalah benci-benci, tapi rindu.
Klik di sini untuk terus membaca