PADA Khamis lalu, Rusia memberi amaran bahawa Perang Dunia Ketiga akan berlaku jika Ukraine dibenarkan untuk menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas ia membuat permohonan dan meminta kemasukannya dilakukan dengan... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Khamis lalu, Rusia memberi amaran bahawa Perang Dunia Ketiga akan berlaku jika Ukraine dibenarkan untuk menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas ia membuat permohonan dan meminta kemasukannya dilakukan dengan segera baru-baru ini.

Permohonan itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin secara rasmi mengisytiharkan empat wilayah di Ukraine yang melibatan keluasan sehingga 18 peratus di negara tersebut pada 30 September lalu menjadi milik Moscow.

Penduduk di empat wilayah itu, Kherson, Zaporizhzhia Luhansk dan Donetsk memilih untuk menyertai Rusia selepas referendum dilaksanakan pada hujung bulan lalu tetapi tindakan Moscow memperluaskan kekuasaan tersebut mendapat kutukan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

Bagaimanpun, amaran keras Perang Dunia Ketiga itu dibuat oleh Alexander Venediktov yang merupakan Timbalan Setiausaha Majlis Keselamatan Rusia apabila menyatakan bahawa Ukraine akan mencetuskan Perang Dunia Ketiga jika permohonannya menjadi ahli NATO diterima oleh ahli-ahlinya.

Amaran itu dibuat sehari selepas seorang pegawai kanan NATO berkata bahawa serangan nuklear Rusia hampir pasti akan mencetuskan tindak balas fizikal daripada sekutu-sekutu Ukraine manakala Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin berkata AS, komitmed untuk mempertahankan setiap inci wilayah NATO.

Amcaman yang dibuat oleh Venediktov itu juga dibuat selepas Presiden Rusia, Vladimir Putin menyatakan pada 21 September lalu yang memberi amaran kepada Barat bahawa beliau tidak menipu apabila berkata kesediaannya untuk menggunakan apa jua senjata untuk mempertahankan wilayah Rusia.

Menurutnya, Barat terlibat dalam pemerasan nuklear dan Moscow mempunyai banyak senjata untuk membalasnya, kata Putin sekali gus menyebabkan media-media Eropah dan Amerika Syarikat (AS) mentafsirkan bahawa Rusia mengancam mahu menggunakan senjata nuklear.

Rusia dan AS setakat ini adalah kuasa nuklear yang terbesar dengan mengawal kira-kira 90 peratus daripada kepala peledak nuklear dunia.

NATO akan membuat keputusan sama ada Ukraine menjadi anggotanya. - Foto AFP

ANCAMAN

Bagaimanapun, Venediktov menegaskan hanya Barat yang membuat ancaman bahawa Rusia akan menggunakan senjata nuklear dan menegaskan Rusia tidak pernah menyuarakan ancaman untuk menggunakan mana-mana senjata pemusnah besar-besaran.

Namun, ancaman Venediktov itu adalah sebagai peringatan kepada NATO kerana anggota-anggotanya diketahui enggan membenarkan Rusia memveto keanggotaan mana-mana permohonan keahlian baharu dan tiada negara ketiga yang boleh bersuara dalam perbincangan sedemikian.

Dasar pintu terbuka NATO adalah berdasarkan kepada Artikel 10 perjanjian penubuhannya, menurut laman web pakatan ketenteraan itu di laman webnya.

"Sebarang keputusan untuk menjemput sesebuah negara menyertai Palatan (NATO) diambil oleh Majlis Atlantik Utara atas dasar konsensus di kalangan semua sekutu. Tiada negara ketiga bersuara dalam perbincangan sedemikian." kata artikel berkenaan.

Justeru, keahlian penuh NATO untuk Ukraine adalah masih jauh kerana ia memerlukan kesemua 30 anggotanya memberikan persetujuan masing-masing dan pertikaian wilayah yang berterusan menjadi penghalang bagi sesebuah negara untuk menyertai pakatan.

Ukraine pertama kali dikaitkan dengan NATO pada tahun 2002 melalui Pelan Tindakan NATO-Ukraine dan pada April 2005, negara yang dilanda perang sejak Februari lalu itu menyertai program dialog dengan pakatan tersebut.

Pada tahun 2008 ia menyerahkan surat rasmi untuk menjadi anggota Pelan Tindakan Keahlian NATO.

Dalam tahun yang sama, Setiausaha Agung NATO ketika itu, Jaap de Hoop Scheffer mengisytiharkan dalam sidang akhbar bahawa Ukraine, bersama Georgia suatu hari nanti akan menyertai NATO tetapi kedua-duanya tidak akan menjadi anggota Pelan Tindakan Keahlian.

Putin sebelum ini menyenaraikan rungutannya dengan NATO dan menggelarkan keahlian Ukraine dalam NATO jika berlaku adalah sebagai ancaman langsung kepada negaranya.

Ukraine sebelum ini bergabung membentuk Kesatuan Soviet sebelum mengisytiharkan bebas daripada kesatuan komunis itu pada tahun 1991.

Justeru, ia mempunyai sejarahnya tersendiri yang cenderung untuk menjadi ahli NATO tetapi Rusia menolak hasrat Ukraine itu atas faktor-faktor keselamatannya.

Sehubungan itu, NATO yang turut dianggotai AS perlu mengambil kira ancaman Moscow bahawa Perang Dunia Ketiga bakal berlaku jika pakatan tersebut menerima permohonannya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca