HAK mengundi dalam proses pemilihan politik dianggap sebagai elemen asas kepada sistem demokrasi tetapi jika dibandingkan secara mikro, bukan semua proses pemilihan mencerminkan nilai atau proses demokrasi yang tulen.
Contoh, demokrasi di negara-negara komunis dan negara diperintah rejim tentera membawa pemahaman serta pelaksanaan proses pemilihan yang unik.
Di sesetengah negara yang diperintah rejim komunis, proses memilih pemimpin masih wujud tetapi ia bukan satu hak melibatkan semua warganegara dan skop pilihan amat terhad kerana undian biasanya dibuat berdasarkan senarai calon telah direstui atau disusun oleh parti pemerintah. Kalau di Malaysia, kita panggil pilih ikut ‘cai’.
Di negara bawah pemerintahan rejim tentera pula, hak untuk memilih pemimpin bagaikan memilih antara hidup atau mati.
Walaupun pengundi ada minat dan cita rasa masing-masing tetapi mereka juga sedar dengan realiti bahawa sekiranya mengundi calon di luar daripada ‘cai’ rejim pemerintah, tengah malam nanti manusia tidak dikenali akan datang mengetuk pintu rumah.
Demokrasi di negara-negara Barat pula lazimnya mencerminkan satu pola kebebasan politik yang agak besar skalanya. Di Amerika Syarikat (AS) misalnya, proses pilihan raya mereka di peringkat pusat, negeri dan tempatan tidak dikenakan sekatan ideologi atau agenda perjuangan.
Para pengundi boleh memilih calon yang berkempen atas platform Ketuanan Orang Putih atau White Supremacy, atau agenda Hargai Nyawa Kulit Hitam (Black Live Matters) boleh pilih calon berdarah Asia atau Latino, beragama Kristian, Islam, Yahudi atau pemikiran bebas tanpa agama, atau calon yang mengamalkan cara hidup homoseksual.
Mereka juga boleh memilih calon yang sudah mati. Pada November 2020, dalam satu pilihan raya peringkat negeri di North Dakota, calon yang mewakili Parti Republikan, bekas pelumba kereta David Andahl atau lebih tepatnya, mendiang David Andahl telah memenangi kerusi di peringkat kongres daerah, sebulan selepas mendiang meninggal dunia pada usia 55 tahun akibat jangkitan Covid-19.
Walaupun kemenangan tersebut menimbulkan perdebatan mengenai keabsahan representasi kerana mendiang pastinya tidak dapat melaksanakan amanatnya sebagai wakil rakyat, namun kemenangan mendiang secara rasminya adalah sah.
Itu bermakna, pengundi lebih rela memilih calon yang mati berbanding calon-calon lain yang hidup.
Adakah itu pendekatan demokrasi paling ideal? Lain padang lain belalang tetapi sekiranya dinilai daripada aspek hak memilih dalam konteks demokrasi, peristiwa mendiang Andahl pastinya satu contoh agak ekstrim bagi mengisi masa lapang cendekiawan sains politik bersembang di kedai kopi.
Walaupun proses demokrasi diwarnai pelbagai modifikasi mengikut sistem dan budaya negara berbeza tetapi hakikinya proses pemilihan perlu berlaku bagi memberi satu legitimasi kepada pemimpin untuk memerintah, biar betapa songsangnya proses pemilihan itu distrukturkan dan diurus.
Ada negara yang mempunyai ‘cai’ panjang, ada negara ‘cai’ membawa satu nama sahaja, ada negara yang tak ada ‘cai’ tetapi ada katak di bawah setiap tempurung.
Ada juga katak yang melompat dari satu tempurung ke tempurung yang lain setiap kali hujan turun.
Natijahnya, pada musim pilihan raya, kita semua raja sehari, bukan bermaksud hari mengundi nanti kita pakat kahwin atau kahwin satu lagi tetapi kita adalah raja pada hari mengundi kerana undi kita akan mencorakkan masa depan negara.
Maka, jadilah raja sehari yang bijaksana, jangan tersalah pilih raja lawak atau mat sakau. Selamat mengundi.
*Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro
Klik di sini untuk terus membaca