JUBA - Kira-kira 1.4 juta kanak-kanak bawah umur lima tahun mengalami kekurangan nutrisi atau malnutrisi di Sudan Selatan. Badan amal Britain, Save the Children dalam satu kenyataan pada Jumaat menyebut, banjir besar dan konflik antara kaum... Klik di sini untuk terus membaca

JUBA - Kira-kira 1.4 juta kanak-kanak bawah umur lima tahun mengalami kekurangan nutrisi atau malnutrisi di Sudan Selatan.

Badan amal Britain, Save the Children dalam satu kenyataan pada Jumaat menyebut, banjir besar dan konflik antara kaum menambahkan lagi penderitaan kanak-kanak tersebut.

Tambah organisasi tersebut, negara termuda di dunia itu yang mempunyai sebahagian besar penduduk luar bandar, mengalami krisis kelaparan terburuk sejak merdeka daripada Sudan pada 2011.

"Bencana banjir ini telah memusnahkan rumah dan tanaman. Malah, kes malaria dan gigitan ular juga meningkat dengan kanak-kanak dan wanita sangat terjejas,” menurut kenyataan itu.

Banjir ditambah dengan kitaran ganas konflik antara etnik yang sering membawa maut menyebabkan ribuan penduduk hilang tempat tinggal, kata badan amal itu sambil menggesa masyarakat antarabangsa agar tidak ‘meremehkan Sudan Selatan atau mengalihkan pembiayaan kepada krisis lain’.

Kanak-kanak mengambil bekalan air bersih di sebuah kem pelarian di Juba.

Menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA), kira-kira 909,000 orang terjejas akibat banjir di sembilan daripada 10 negeri.

Sudan Selatan, seperti kebanyakan negara di sub-Sahara Afrika, menderita akibat perang di Ukraine yang menyebabkan harga makanan dan bahan api global melonjak.

Nilai mata wang tempatan juga merosot hampir 40 peratus tahun ini, kata Save the Children.

Program Makanan Sedunia PBB memberi amaran pada Mac bahawa lebih 70 peratus daripada 11 juta penduduk Sudan Selatan akan menghadapi kebuluran melampau pada tahun ini kerana bencana alam dan keganasan.

Save the Children menyeru pemimpin yang merancang untuk menghadiri sidang kemuncak iklim COP27 di Mesir, November ini agar meningkatkan pembiayaan bagi membantu komuniti dan kanak-kanak yang terjejas membina daya tahan terhadap bencana dan iklim.

"Generasi pertama kanak-kanak Sudan Selatan sedang membesar sekarang dan kita tidak boleh mengecewakan mereka dengan membenarkan Sudan Selatan menjadi krisis yang dilupakan,” kata Pengarah Save the Children Sudan Selatan, Jib Rabiltossaporn.

Walaupun mempunyai rizab minyak yang besar, Sudan Selatan masih menjadi antara negara termiskin di dunia.

Ia mengalami krisis sejak meraih kemerdekaan dan menghabiskan hampir separuh daripada hayatnya sebagai negara yang berperang. – AFP

Klik di sini untuk terus membaca