TUMPAT - Dua beradik yang menjalankan perusahaan membuat kuih akok di sini, kusut memikirkan kesukaran mendapatkan bekalan selain kenaikan kos bahan mentah.
Menurut Syatini Yatim, 32, yang menjalankan perniagaan milik keluarga bersama kakaknya Syatila, 38, bukan sahaja sukar mendapatkan telur sebagai bahan asas pembuatan kuih akok, malah terpaksa berebut sabut kelapa dengan kilang-kilang perabot untuk dijadikan bahan bakar.
"Dulu kami dapat hasilkan lebih banyak kuih akok untuk dijual dengan menggunakan bekalan sehingga 500 biji telur sehari, namun kini amat payah untuk mendapatkan sepapan telur sekalipun,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di gerai Akok Semat Jal di sini, baru-baru ini.
Syatini berkata, keadaan kekurangan bekalan telur itu berlarutan sejak empat bulan kebelakangan ini menyebabkan ada waktu-waktunya dia terpaksa tidak berniaga kerana tidak dapat bekalan telur yang mencukupi untuk membuat kuih akok.
"Perniagaan ini sudah diusahakan sejak 24 tahun lalu dan tahun ini adalah tempoh paling perit pernah dilalui dengan masalah bertimpa-timpa. Sabut kelapa pun mujur sudah dapat pembekal tetap, kalau tidak kena bersaing pula dengan kilang perabot.
"Ditambah pula dengan kenaikan kos modal kerana peningkatan harga telur dan gandum yang tidak lagi bersubsidi menyebabkan kami turut menaikkan harga kuih akok kepada RM2 untuk tiga biji berbanding RM2 empat biji sebelum bulan puasa lalu,” ujarnya.
Tambah Syatini, jika masalah itu berlarutan, peniaga kecil sepertinya pasti sukar untuk meneruskan perniagaan dan hilang punca pendapatan.
"Setakat ini, kami masih mampu bertahan walaupun banyak rungutan diterima daripada pelanggan yang mempersoalkan kenaikan harga kuih akok berbanding sebelum ini.
"Keadaan perniagaan peniaga-peniaga kecil sekarang ini sudah tidak rancak seperti dahulu. Untung pun sedikit sahaja sekitar 30 peratus daripada kos modal,” luahnya.
HARGA BAHAN MENTAH SEMAKIN MAHAL
Sementara itu, harga bahan mentah yang tidak terkawal ketika ini memberi tekanan kepada usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Seorang usahawan produk sejuk beku, Hamidah Sulaiman, 48, mengakui senario itu amat membebankan bukan sahaja buat dirinya tetapi turut dialami usahawan PKS lain.
Menurutnya, harga bahan-bahan mentah seperti minyak, tepung dan telur yang tidak menentu menyebabkan kos keseluruhan meningkat, sekali gus menjejaskan operasi.
"Harga bahan mentah ketika ini memang tidak menentu dan semakin mahal. Bila harga produk kami terpaksa dinaikkan, orang pula dah kurang membeli. Ini dilema yang terpaksa kami hadapi,” katanya.
Tambah Hamidah, kuasa membeli orang ramai semakin berkurang menyebabkan banyak produk tidak terjual dan ia memberi tekanan kepada pengusaha.
Jelasnya, pengusaha PKS sudah tidak mampu untuk bertahan lagi ketika ini, malah terdapat pengusaha yang terpaksa menutup perniagaan kerana keadaan ekonomi kurang memberangsangkan.
TIADA PILIHAN LAIN SELAIN NAIKKAN HARGA
Dalam pada itu, Kenaikan harga barangan dan kos bahan mentah antara cabaran yang terpaksa dilalui pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutama dalam keadaan ekonomi tidak menentu.
Pengusaha Aneka Kerepek dan Biskut As-Syifa, Yusalimah Mohd Yunos, 45, mengakui harga barang seperti minyak masak naik terlalu tinggi selain kesukaran mendapatkan bekalan bahan mentah itu di pasaran.
Yusalimah yang mengusahakan perniagaan bersama keluarganya sejak lapan tahun lalu berkata, peniaga tiada pilihan melainkan terpaksa menaikkan harga jualan.
"Apabila harga naik, kuasa beli semakin berkurangan dan kami biasanya bergantung harap kepada hujung minggu untuk pelanggan singgah ke pusat jualan,” katanya.
Menurutnya, selain kenaikan harga barang, pengusaha PKS juga berdepan kos membayar gaji pekerja yang semakin meningkat.
"Saya sendiri ada enam pekerja yang perlu dibayar upah dan mereka juga diberi kenaikan gaji selepas beberapa tahun bekerja,” jelasnya.
Katanya, kenaikan harga produk makanan seperti kerepek jejari bilis seberat 500 gram misalnya, dijual pada harga RM10 pada masa lalu berbanding RM13 pada masa sekarang.
"Semua produk kerepek mengalami kenaikan harga termasuk juga biskut dan ini tidak dapat dielakkan.
"Kenaikan harga kelapa juga memberi kesan sejak sebulan lalu apabila naik daripada RM1.20 sebiji kepada RM1.60 sebiji,” menurut Yusalimah.
Berikutan itu, katanya, masalah dihadapi itu perlu dipandang serius oleh kerajaan bagi memastikan PKS ini dapat dikembangkan, sekali gus meningkatkan ekonomi penduduk.
Ujarnya, rata-rata pengusaha PKS terpaksa menggunakan modal sendiri untuk membeli kelengkapan dan mesin pemprosesan makanan.
"Saya berharap kerajaan dapat membantu PKS berdaftar dengan menyediakan peralatan atau mesin secara percuma bagi meringankan beban mereka yang bergiat aktif dalam
Klik di sini untuk terus membaca