KETIKA negara berdepan dengan pandemik Covid-19, banyak sektor yang terjejas teruk dari sudut ekonomi termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga ada terpaksa gulung tikar. Walaupun kini negara telah memasuki fasa peralihan ke... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA negara berdepan dengan pandemik Covid-19, banyak sektor yang terjejas teruk dari sudut ekonomi termasuklah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga ada terpaksa gulung tikar.

Walaupun kini negara telah memasuki fasa peralihan ke endemik dengan pelbagai sektor ekonomi dan sempadan negara telah dibuka, ramai pemilik PKS masih bergelut untuk menstabilkan perniagaan masing-masing.

Ada dalam kalangan mereka berdepan masalah untuk membuat pusingan modal, harga bahan mentah meningkat, tenaga kerja kurang dan sukar memasarkan produk.

Ikuti laporan Sinar Harian berhubung situasi semasa yang dihadapi oleh sektor PKS ketika ini.

Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini masih dibelenggu dengan dua masalah utama iaitu bayaran semula pinjaman bank dan kekurangan tenaga kerja yang berlarutan sejak pandemik Covid-19.

Pakar ekonomi, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak tiga kali baru-baru ini merumitkan bebanan hutang golongan peniaga berkenaan.

"Dengan peningkatan OPR, ia melambatkan pembayaran balik bulanan (pengusaha PKS). Ia bermakna mereka tidak cukup kecairan tunai.

Tambahnya, masalah kedua dihadapi oleh pengusaha PKS adalah dari segi pekerja seperti kekurangan dan peningkatan gaji pekerja.

"Gaji minimum pekerja pun meningkat RM1,500. Mungkin menyukarkan mereka untuk menggaji pekerja. Bila pekerja kurang, aktiviti perniagaan mereka juga kurang,” katanya.

Shazali turut memberi cadangan bagi membantu industri PKS semasa fasa peralihan ke endemik.

Antara cadangan yang dikemukakan adalah pengusaha PKS membuat penstrukturan semula kewangan mereka.

"Jika membuat penstrukturan semula kewangan bagi membolehkan adanya kecairan tunai, ia akan menjana semula perniagaan.

Mereka bayar hutang tetapi tidak banyak.

"Selain itu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga tidak patut naikkan OPR. BNM kena fikirkan peniaga PKS. Perlu fikir masalah mereka yang belum selesai lagi,” tegasnya.

Selain itu, kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga seharusnya mempercepatkan kemasukan pekerja-pekerja asing di negara ini.

"Kalau kita perlukan pekerja, kita perlu permudahkan (pengambilan). Ini sekejap ada (pengambilan), sekejap digantung. Kita tidak jelas mengenai status itu,” ujarnya.

HARGA TEPUNG BUAT ROTI NAIK TIGA KALI

Sementara itu, kenaikan harga bahan mentah secara mendadak hingga mencecah 30 peratus menjadi salah satu beban yang terpaksa ditanggung oleh seorang pengusaha roti paung di Kemaman, Mukhatar A Rahman, 59.

Mukhatar yang mengusahakan roti paung di bawah jenama Roti Lembut Gebu sejak dua tahun lalu berkata, harga bahan utama pembuatan roti iaitu tepung berprotein tinggi naik sebanyak tiga kali bermula Julai tahun lalu.

"Begitu juga dengan bahan lain seperti telur, marjerin dan inti. Bekas roti seperti aluminium foil dan bekas plastik pakai buang turut berdepan kenaikan harga sehingga 35 peratus,” katanya.

Menurutnya, bekalan bahan-bahan tersebut juga sukar diperoleh, sekali gus menjejaskan pengeluaran roti paung yang ditempah pelanggan.

"Saya berharap masalah peningkatan harga bahan mentah dan kekurangan bekalan ini dapat diatasi segera supaya kami tidak terus dibebani dengan kos tambahan tidak menentu.

"Setakat ini saya masih mengekalkan harga sama. Mahu naikkan harga, kasihan pula kepada pelanggan,” katanya yang menawarkan roti paung berinti kelapa, kacang, kaya, coklat dan roti kosong.

SUKAR DAPATKAN TUKANG JAHIT TEMPATAN MAHIR DALAM INDUSTRI TEKSTIL

Dalam pada itu, kekurangan tenaga mahir dalam industri tekstil menjadi masalah utama kepada tukang jahit di seluruh Malaysia termasuklah pengasas Awie Manik.

Tukang jahit, Noraini Yaacob, 45, berkata, tenaga mahir dalam bidang tekstil ataupun lebih khusus, tukang jahit mahir adalah unsur penting bagi memastikan kelangsungan penawaran produk industri fesyen.

Bagaimanapun, Noraini yang memiliki premis di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini memberitahu, dia berdepan kesukaran untuk mendapatkan tukang jahit tempatan yang berkemahiran.

Noraini melihat pakaian dijual di premisnya di Taman Bersatu, Kuala Kedah.

"Masalah ini bukan hanya dialami kami di Awie Manik tetapi juga kepada semua tukang jahit di seluruh Malaysia.

"Ia disebabkan sebilangan pelajar berkelulusan bidang jahitan ‘terjun’ ke bidang lain selepas menamatkan pelajaran masing-masing,” katanya.

Noraini memberitahu, ada lulusan bidang tekstil yang memiliki kemahiran dalam industri berkenaan mengubah haluan kerjaya mereka disebabkan faktor gaji.

"Selepas menamatkan pengajian, mereka yang baru mula bekerja mahukan gaji RM1,500 seperti ditetapkan kerajaan.

"Namun, ada perusahaan tidak boleh memberikan gaji sebanyak itu memandangkan kadar upah dibayar berdasarkan kuantiti pakaian yang disiapkan,” ujarnya.

Noraini menjelaskan, untuk mendapatkan gaji RM1,500, seseorang tukang jahit perlu menyiapkan kira-kira empat pasang baju setiap hari, namun pelajar yang baru menamatkan pengajian biasanya mampu menyiapkan sehelai pakaian sahaja.

Tambahnya, sesetengah lepasan jurusan fesyen dan jahitan yang menjadi pekerja baharu di sesebuah syarikat tidak mahu menunggu hingga mampu menjahit dengan cekap dan pantas, lalu terus melarikan diri memasuki bidang lain.

Disebabkan itu, kata Noraini, ada syarikat tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa beralih kepada tukang jahit warga asing seperti Bangladesh dan Pakistan.

Klik di sini untuk terus membaca