SHAH ALAM - Sebarang penyebaran maklumat palsu yang disiarkan melalui platform media sosial sehingga menimbulkan fitnah dan kekecohan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948. Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, memang ada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sebarang penyebaran maklumat palsu yang disiarkan melalui platform media sosial sehingga menimbulkan fitnah dan kekecohan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan 1948.

Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, memang ada peruntukan jelas bagi individu yang melakukan kesalahan jenayah fitnah di mana mereka juga boleh didakwa di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan.

Mereka yang didapati bersalah buat kali pertama di bawah Akta Hasutan 1948 boleh didenda maksimum RM5,000 atau tidak lebih dari tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi kesalahan memfitnah orang lain di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

"Tetapi jika ada orang buat laporan polis mengatakan itu fakta palsu, maka polis kena siasat dan dalam akta polis ini, mereka tidak perlu tunggu orang buat laporan sebab mereka sendiri boleh buat (laporan) dan siasat.

"Jadi polis boleh serta-merta tahu perkara itu betul atau tidak, ambil tindakan dan cari pelakunya,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Ulas Akberdin, peranan polis amat penting dalam menangani masalah berkenaan terutamanya apabila penyebaran maklumat tersebut boleh mencetuskan provokasi dan perbalahan antara kaum.

"Kalau maklumat itu tidak betul, boleh timbulkan keresahan dan ketegangan, maka kita perlu bertindak.

"Terutamanya kalau ada unsur-unsur menghasut serta fitnah kepada mana-mana pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak penguat kuasa perlu cepat mengambil tindakan berhubung perkara ini bagi memberi pengajaran kepada orang lain supaya mengambil serius mengenai hal tersebut.

"Kalau polis tidak mengambil tindakan cepat, orang lain akan ambil undang-undang di tangan mereka, dan itu hanya memburukkan lagi keadaan.

"Pelaksanaan itu kena efektif dan serta-merta, kalau tidak perkara itu akan terus berlaku kerana tidak ada tindakan,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca