SHAH ALAM - Propaganda dan kempen negatif yang digerakkan oleh kelompok 'cybertroopers' melalui media sosial boleh menyebabkan pengundi menjadi keliru dengan agenda yang disampaikan oleh parti-parti politik pada masa kini.
Pakar Keselamatan Siber, Fong Choong Fook berkata, perkara tersebut perlu diberi perhatian oleh rakyat supaya jangan terlalu mudah percaya dengan sebarang berita yang dikongsikan dalam platform media sosial.
Ujar beliau, seiring dengan perkembangan teknologi masa kini, pengguna media sosial mudah terdedah dengan perkongsian maklumat dan video palsu yang disampaikan oleh pihak-pihak tertentu.
"Dalam kempen pilihan raya, parti-parti politik akan lakukan apa saja untuk mendapatkan undi.
"Masalahnya sekarang apabila parti-parti politik menyiarkan berita atau tuduhan palsu kepada pihak lain, kita perlu ada undang-undang yang boleh mengatasi masalah tersebut,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Dalam pada itu, Penganalisis Politik dan Media Sosial UiTM Shah Alam, Profesor Madya Dr Sara Chinnasamy berkata, penularan propaganda dan kempen negatif yang semakin berleluasa di media sosial dijangka memberi impak terhadap rakyat terutamanya dari segi kebolehpercayaan mereka terhadap platform tersebut.
"Itulah kemungkinan yang akan berlaku di mana rakyat mungkin tidak akan mempercayai lagi sebarang keluaran maklumat di dalam platform-platform media sosial ini.
"Jadi ia akan memberi satu kesan iaitu bukan sahaja kekeliruan tetapi pada masa yang sama, kemungkinan besar akan berlaku kebencian terhadap politik negara kita.
"Ia juga boleh mengakibatkan pengundi atas pagar ini semakin meningkat kerana mereka mungkin akan mengambil keputusan untuk tidak mengundi mana-mana pihak di dalam pilihan raya nanti,” jelasnya.
Tambah Sara, peranan 'cybertroopers' dalam pilihan raya juga penting dalam menyebarkan agenda parti-parti politik melalui platform media sosial.
"Jadi kita berada dalam satu senario di mana penghantaran maklumat-maklumat ini adalah melalui media sosial kerana jumlah penggunaan telefon pintar di negara ini hampir mencecah kepada 98 peratus di negara kita,” ujarnya.
Bagaimanapun, Sara berkata, peranan ‘cybertroopers’ dalam menyebarkan propaganda negatif dilihat semakin tidak relevan pada masa kini kerana rakyat sekarang sudah mempunyai banyak pilihan saluran untuk mendapatkan informasi yang benar serta tepat.
Klik di sini untuk terus membaca