SHAH ALAM - Penyebaran berita palsu yang mengelirukan terutamanya di media sosial oleh tentera siber atau lebih dikenali sebagai ‘cybertrooper’ dijangka semakin meningkat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pensyarah Kanan Politik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, situasi tersebut sememangnya diramalkan kerana ia merupakan sebahagian daripada fenomena politik yang berlaku bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat antarabangsa.
"Secara asasnya, ‘cybertropoper’ ini sebenarnya tidak ada masalah kerana ia berperanan sebagai alat propaganda setiap parti politik untuk berkempen dan menyampaikan maklumat dan sebagainya.
Mohd Azizuddin berkata, penggunaan ‘cybertrooper’ untuk penyebaran maklumat sudah bermula sejak platform internet diperkenalkan pada penghujung tahun 1990-an dan ia mula tumbuh dalam arena politik negara ketika gerakan reformasi pada tahun 1998.
Katanya, impak dibawa ‘cybertrooper’ itu bagaimanapun semakin meningkat selari dengan kenaikan tahap penembusan capaian internet rakyat Malaysia yang ketika ini sudah melebihi 80 peratus.
"Kalau aktiviti ‘cybertrooper’ ini yang membuat penyebaran maklumat salah dibiarkan tanpa kawalan, ia sememangnya menjejaskan bukan sahaja demokrasi tapi berpotensi mewujudkan anarki dalam Malaysia kerana kecelaruan dan ketidakteraturan dalam sistem demokrasi di negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi impak penyebaran maklumat yang salah di sosial media di dalam negara tidak akan seteruk seperti yang pernah berlaku di beberapa negara Timur Tengah sehingga menyebabkan berlakunya gerakan ‘Arab Spring’.
Katanya, negara juga mempunyai beberapa perundangan membendung aktiviti penyebaran maklumat palsu dan berunsur subversif antaranya melalui Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 di samping kawalan dilakukan pentadbir syarikat media sosial.
Namun begitu, Mohd Azizudin berkata, perkara tersebut dilihat masih tidak mencukupi untuk mengawal sepenuhnya penyebaran berita palsu oleh 'cybertrooper' itu kerana ia perlu turut membabitkan kerjasama daripada pengguna dan institusi media arus perdana.
"Rakyat Malaysia kena bijak untuk menilai sumber berita. Kalau berita itu datang daripada sumber yang diragui atau akaun sosial media palsu, saya rasa kita tidak perlu percaya.
"Media arus perdana juga harus berperanan untuk membetulkan salah maklumat yang beredar di platform dalam talian,” jelas beliau.
Pada masa sama, beliau berkata, negara juga boleh mempertimbangkan untuk mewujudkan satu platform pengesahan maklumat atau ‘fact checking’ seperti mana dilakukan di negara Barat untuk membantu masyarakat merujuk mengesahkan berita diterima.
Klik di sini untuk terus membaca