SHAH ALAM - Selepas Pakatan Harapan mengesahkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), tumpuan kini tertumpu kepada DUN Perak. Ramai yang masih menanti dengan debar, adakah Perak akan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Selepas Pakatan Harapan mengesahkan Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), tumpuan kini tertumpu kepada DUN Perak.

Ramai yang masih menanti dengan debar, adakah Perak akan mengikut jejak dua lagi negeri ditadbir kerajaan BN iaitu Pahang dan Perlis untuk membubarkan DUN.

Setakat ini, walaupun Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sudah dua kali menghadap Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Saarani dan kerajaan negeri.

Difahamkan, Sultan Nazrin belum membuat keputusan mengenai pembubaran DUN kerana perlu mengambil kira pelbagai faktor termasuk bencana banjir yang sering melanda beberapa kawasan di Perak setiap kali musim tengkujuh.

Keadaan itu, menyebabkan Perak menjadi satu-satunya negeri ditadbir oleh BN yang belum mendapat perkenan Sultannya untuk membubarkan DUN selepas Perlis dan Pahang sudah berbuat demikian pada Khamis dan Jumaat lalu.

Sultan Nazrin sudah dua kali menerima menghadap Saarani pada minggu ini.

Kerajaan negeri Perlis dan Pahang membuat keputusan membubarkan DUN masing-masing pada Khamis dan Jumaat susulan tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa mulai 10 Oktober lalu.

Dalam pada itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu, mengesahkan bahawa Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (MPPH) memutuskan untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan bagi membolehkan PRN diadakan serentak dengan PRU15 kerana mahu memberi tumpuan kepada masalah banjir.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, tidak menolak kemungkinan bahawa DUN Pulau Pinang akan dibubarkan dalam masa terdekat jika Majlis Presiden PH bersetuju supaya PRN diadakan serentak dengan PRU15.

Bagaimanapun, Mesyuarat Majlis Presiden PH pada Sabtu, tidak memberi 'lampu hijau' kepada Pulau Pinang untuk mengadakan pilihan raya bersama-sama dengan PRU15.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang lebih awal menegaskan bahawa parti itu tidak akan membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah yang kini dikuasai mereka kerana tidak bersetuju PRU15 diadakan semasa musim tengkujuh.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor pula menegaskan, DUN Sabah tidak akan dibubarkan berikutan pembubaran Parlimen kerana kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)- BN yang dipimpinnya masih mempunyai jangka hanyat selama tiga tahun lagi bagi mencukupkan tempoh satu penggal pemerintahan.

Berikutan itu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada Sabtu mengesahkan BN dan GRS akan mengagihkan sama rata iaitu 50-50 kerusi Parlimen Sabah bagi menghadapi PRU15 nanti.

Jika semua keputusan di atas kekal dan PRU15 diadakan dalam masa terdekat maka, kita akan menyaksi persaingan sengit antara parti politik terutama tiga gabungan utama iaitu BN, PN dan PH bagi merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara dan 57 kerusi DUN di Pahang dan Perlis.

Klik di sini untuk terus membaca