SHAH ALAM - Pengusaha-pengusaha kantin yang terlibat dengan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid sekolah akan berusaha memenuhi menu dan spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Ini selepas Menteri Kewangan,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengusaha-pengusaha kantin yang terlibat dengan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid sekolah akan berusaha memenuhi menu dan spesifikasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ini selepas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang membentangkan Bajet 2023 baru-baru ini mengumumkan kenaikan kadar untuk makanan program RMT berkuat kuasa bulan ini membabitkan peruntukan RM777 juta.

Kerajaan akan menaikkan kadar makanan bermasak RMT daripada RM2.50 kepada RM3.50 untuk Semenanjung dan RM3 kepada RM4 bagi Sabah, Sarawak dan Labuan.

Kenaikan ini amat dinantikan kira-kira 7,300 pengusaha kantin sekolah rendah yang terlibat dengan RMT dan dijangka memberi manfaat kepada lebih 800,000 penerima RMT.

Presiden Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM), Khairuddin Hamzah berkata, seiring dengan kenaikan itu, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ada memberi ingatan kepada pengusaha kantin supaya mengikut menu dan spesifikasi tersebut.

Bagaimanapun katanya, isu di sini bukanlah mereka perlu menambah menu tetapi perlu mengikut apa yang disarankan KPM.

"Selama ini, ada pengusaha kantin yang terpaksa mengurangkan kuantiti hidangan. Contohnya, nasi yang perlu disediakan adalah 80 gram tetapi ada pengusaha kantin yang meletakkan separuh daripada itu, dengan alasan harganya tidak mencukupi. Menu ayam pula, daripada 50 gram, ada yang terpaksa mengurangkan kepada 30 gram,” katanya.

Menurutnya, meskipun kerajaan telah menaikkan kadar sebanyak RM1 seorang, pengusaha kantin boleh mengembalikan saiz dan spefikasi makanan yang ditetapkan tetapi tidak boleh menambah menu kerana masih berdepan kos bahan mentah, pengurusan, bekas makanan dan gaji tukang masak yang tinggi.

"Kalau kita lihat, buah yang diminta itu sesetengah menu termasuk sebiji epal. Harga epal sebiji di pasar raya borong ialah 80 sen ke RM1.20. Itu sahaja sudah hampir separuh daripada bajet RM2.50,” katanya kepada Sinar Ahad.

Khairuddin berkata, harga RM3.50 sebenarnya masih lagi di bawah harga pasaran kerana kos bagi setiap menu dianggarkan berharga RM4.

"Jadi, kalau ada sesetengah pihak mendesak kita menambah menu, ia sangat kurang relevan sebab selama ini dengan harga RM2.50 pun, ada ramai pembekal yang menarik diri.

"Selama ini, kalau sekolah itu ramai murid dan penerima bilangan RMT tak ramai, biasanya pengusaha kantin tutup mata sahaja. Hasil jualan tunai daripada murid-murid biasa itu akan diserap untuk tampung kos RMT.

"Tapi bagi sekolah yang muridnya tak ramai tetapi penerima RMT ramai dan sekolah-sekolah luar bandar yang boleh dikatakan 100 peratus murid di sekolah itu penerima RMT, biasanya pengusaha kantin menghadapi masalah.

"Kalau kita lihat sekarang ini, sekolah-sekolah kategori ini masih lagi bermasalah walaupun harganya dinaikkan ke RM3.50 kerana ia masih lagi di bawah harga pasaran. Tapi bagi sekolah-sekolah di bandar, ia sangat menggembirakan kerana sangat mengurangkan beban,” ujar beliau.

Tambah Khairuddin, bermula pada awal tahun ini juga, KPM telah mengeluarkan menu air coklat yang sepatutnya disediakan bersama makanan RMT kerana kenaikan kos melampau menyebabkan ramai pengusaha kantin menarik diri.

Klik di sini untuk terus membaca