[WAWANCARA] Pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyebabkan kesemua parti kini mula bersiap sedia dari segi strategi, pembahagian kerusi dan calon untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Tidak terkecuali Pakatan Harapan (PH) yang mengumumkan bersetuju membentuk kerjasama politik dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan kerjasama dengan Muda ini mempunyai syarat yang tertentu seperti menyokong calon Perdana Menteri dari PH dan dasar-dasar gabungan itu. Ikuti wawancara eksklusif wartawan Sinar Ahad, Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid bersama Nik Nazmi yang mengulas mengenai perkara tersebut.
SINAR AHAD: Pada PRU14, YB menawan kubu kuat BN dengan majoriti 14,372 undi iaitu satu angka yang boleh dianggap selesa. Adakah YB akan mempertahankan kerusi ini pada PRU15 dan apa tawaran kepada pengundi?
NIK NAZMI: Betul, dalam pilihan raya lepas majoriti saya lebih 14,000 tetapi kita juga maklum ia pilihan raya di mana berlakunya pertandingan tiga penjuru di Parlimen Setiawangsa antara PH, BN dan Pas. Bagaimanapun, saya tetap memperoleh undi popular sekitar 56 peratus yang bermakna undi majoriti.
Namun, saya tidak ambil mudah sebagaimana disebut bahawa kerusi Setiawangsa ini merupakan kerusi UMNO tidak pernah kalah dalam pilihan raya sehinggalah tahun 2018. Mereka pernah kalah di Titiwangsa tetapi kemudian memperoleh semula pada tahun 2013 sebelum pilihan raya umum (PRU) 2018 yang lalu.
Saya telah meluahkan hasrat secara terbuka dalam acara awam, mesyuarat parti di peringkat cabang dan kepada pimpinan parti tentang hasrat saya untuk mempertahankan Setiawangsa. Saya juga telah menjadi ketua cabang buat penggal kedua bagi Cabang Setiawangsa, tetapi keputusan akhir terserah kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan saya di mana.
Sekiranya saya diberi peluang untuk mempertahankan Parlimen Setiawangsa, ia bagi saya memang sedikit mencabar mengukur kepada prestasi dari tahun 2018 sehingga 2022 disebabkan ada banyak ranjau onak dan duri. Bermula tahun 2018 sehingga 2020, saya sebahagian daripada kerajaan dan pada tahun 2020 kita ada Langkah Sheraton serta pandemik Covid-19. Pada waktu itu, ada suatu ketika kita tidak mendapat satu sen pun peruntukan. Ketika Covid-19 itu tentulah adanya permintaan untuk bantuan, sumbangan dan kita juga ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang mana bantuan kerajaan tidak mencukupi.
Bagaimanapun, kesukaran tersebut kita dapat bantu dengan meluas sama ada ketika PKPD di kawasan-kawasan PPR dan seluruh Parlimen Setiawangsa. Pada masa sama kita juga menjuarai isu-isu pembangunan lebih lestari dan mampan di sini. Misalnya kita ada beberapa isu perancangan bandar melibatkan penduduk dan mereka telah mempersoalkan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta kita memberikan sokongan dan platform kepada mereka.
Terbaharu ialah soal pembangunan di Bukit Dinding yang mana saya rasa meskipun tanah itu milik swasta sekian lama dan pelan pembangunan asal diluluskan pada tahun 2004 tetapi isu yang masih tidak terjawab ialah bagaimana keselamatan cerun di kawasan Bukit Dinding dan puncak Setiawangsa selain kawasan-kawasan ini sering berlaku tanah-tanah runtuh malah peristiwa paling besar berlaku ketika hujan lebat pada Disember 2021.
Isu-isu lain yang kita bawakan ialah soal pemberdayaan kepada masyarakat di PPR. Di sini, kita ada banyak PPR dan mereka ini golongan miskin bandar daripada orang Melayu, Cina dan India tetapi kita telah berjaya melaksanakan beberapa program. Bagaimanapun ia tidak mencukupi kerana soal miskin bandar ini cukup besar. Sekiranya sekali lagi diberi peluang berada di sini, saya nak pastikan perkara-perkara ini terus diperjuangkan.
Di samping itu, isu reformasi DBKL adalah suatu isu yang sebenar. Bagi saya, DBKL harus dekat dengan rakyat. Rakyat menaruh harapan agar DBKL mempertahankan kepentingan mereka. Dalam interaksi saya bersama pegawai atau kakitangan DBKL, memang itu yang mereka lakukan. Tetapi, ada beberapa kelemahan yang harus diatasi. Kita berdepan kelewatan projek yang sangat menyusahkan penduduk di sini. Sudah tentulah kita nak melihat DBKL berada di kelas dunia dalam kalangan PBT-PBT bukan sahaja di Malaysia, malah di rantau ini.
- Difahamkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang kini menjadi lawan kepada UMNO atau BN akan meletakkan calon muda dan wanita untuk kerusi Parlimen Setiawangsa serta sudah pasti ia akan mewujudkan pertembungan banyak penjuru. Adakah ini satu kerugian dan peratusan bagi parti-parti yang menentang UMNO juga akan dilihat tipis?
Saya fikir memang sudah lama Perikatan Nasional (PN) menyatakan pendirian bahawa dalam pilihan raya mereka akan bergerak bersendirian dan tidak akan bersama UMNO. Mungkin yang samar-samar sedikit ialah pendirian Pas. Tetapi Bersatu itu sudah terang lagi bersuluh. Bagi saya, ini sebahagian daripada demokrasi. Kalau betul mereka meletakkan calon muda dan wanita, saya ucapkan tahniah.
- Pada Khamis, PKR mengumumkan penyertaan Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff yang juga pengasas Bersatu. Mengapa beliau diterima masuk dan apa penilaian kriteria dimiliki beliau menyebabkan parti menerimanya?
Sesiapa sahaja boleh memohon untuk menjadi anggota. Malah, kita ada permohonan menggunakan telefon menerusi aplikasi ADIL. Tentang soal latar belakang, parti dan sebagainya itu bagi saya satu perkara terbuka untuk dinilai. Saya tahu ada yang setuju dan tidak setuju. Terpulang kepada penilaian masing-masing.
Saya kenali beliau 10 tahun lalu. Beliau merupakan pelajar Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA). Kakak saya merupakan pensyarah beliau dan kebetulan kami sama-sama minat Liverpool. Selepas Langkah Sheraton, ada satu acara di rangkaian televisyen untuk meraikan kemenangan Liverpool di Liga Perdana Inggeris. Walaupun parti berbeza tetapi kami duduk di platform sama. Bagi saya, itu menunjukkan ramai orang berminat menyertai PKR. Tentulah sebagai anggota, beliau akan dinilai anggota lain dan akar umbi yang ada serta saya ucapkan selamat berjaya kepadanya.
- Adakah beliau akan ditawarkan tempat untuk bertanding dalam PRU15 nanti?
Wallahualam. Saya tidak tahu. Setakat ini, saya tidak dimaklumkan. Saya duduk dalam jawatankuasa saringan calon dipengerusikan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli yang mana selepas itu beliau akan kemuka cadangan nama, penilaian prospek-prospek calon kepada presiden. Tetapi keputusan akhir untuk memberikan watikah ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- PH setuju bekerjasama dengan Muda untuk PRU15 dan kemungkinan peluang Muda sertai PH sebagai parti komponen nampak positif. Apa pandangan YB tentang perkembangan ini? Bagaimana pemimpin muda dalam Angkatan Muda Keadilan (AMK) sendiri?
Saya berada dalam jawatankuasa yang berbincang dengan Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM). Setakat ini, yang diputuskan ialah kerjasama politik. Bermakna kita berbincang mungkin beberapa kerusi kita akan bekerjasama dengan beberapa syarat tertentu seperti menyokong calon Perdana Menteri PH dan dasar-dasar PH. Tentang penyertaan (Muda) ke dalam PH itu tidak timbul bagi saya. Bukan sahaja dalam PKR, kalau kita lihat dalam Parti Amanah Negara (Amanah), malah segelintir anak-anak muda DAP juga tidak senang jika Muda mahu memasuki PH. Saya faham sentimen itu. Selepas kita melalui Langkah Sheraton, pengalaman di Johor dan Melaka itu menyebabkan ramai sangsi. Bagaimanapun, kerjasama politik adalah suatu perkembangan yang baik. Dahulu, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) juga menunggu satu tahun sebelum diberi masuk dalam PH. Muda ini sangat baharu. Kenyataan tahun lepas masih terlalu panas dan keras antara kedua-dua parti iaitu PH dan Muda.
Lebih baik kita tumpu kepada kerjasama politik ini dan saya ingat kita juga kena berlaku adil kepada AMK, Amanah mahupun Dapsy yang mana mereka berasakan tidak mahu dilihat ini seolah-olah pengiktirafan bahawa PH tidak ada orang muda. Sedangkan kita tahu, dalam DAP dan PKR, anak-anak muda sering ditonjolkan.
Dalam PKR, saya merupakan satu contoh bukti selain Rafizi, Nurul Izzah dan Datuk Seri Amirudin Shari. Dalam DAP, Anthony Loke Siew Fook antara testimoninya. Bagi saya, kita tidak boleh ketepikan sentimen itu. Tetapi pada masa sama kita juga ada kepentingan lebih besar untuk pilihan raya ini. Kerjasama ini merupakan satu kompromi yang rasional. Mereka tidak masuk (PH) tetapi kita ada satu kerjasama pakatan atau kerjasama politik.
- Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini, berlaku pertindihan kerusi antara PH dan Muda. Apa nasihat YB agar perkara seumpama itu tidak lagi berlaku pada PRU15?
Bagi saya, pendekatan yang kita ada pada hari ini di mana ada satu kerjasama politik antara PH dengan Muda jauh lebih baik. Kita tidak pergi sebagai satu parti individu tetapi kita pergi sebagai PH dan kita berunding dengan Muda secara langsung. Bagi saya, itu satu petanda bahawa dengan adanya dokumen kerjasama politik ini, maka kerjasama dijalinkan lebih stabil, baik dan sihat berbanding apa yang kita saksikan di Johor tempoh hari.
Difahamkan PH selesai pengagihan hampir semua kerusi Parlimen dalam kalangan parti gabungan.
- Dengan berita terbaharu kerjasama dengan Muda ini, adakah akan ada adjustment bagi pengagihan kerusi untuk Muda dan berapa banyak diperuntukkan untuk parti ini?
Saya tidak duduk dalam jawatankuasa rundingan kerusi. Bagaimanapun, tentulah ada sedikit sebanyak adjustment tetapi saya fikir tidak banyak. Saya pun maklum tentang beberapa wishlist yang mereka ada, tetapi pada masa sama kami perlu berlaku adil kepada akar umbi kami yang telah meletakkan nama dan sebagainya.
Kita akan lihat dari segi prospek siapa yang mempunyai jentera lebih baik, kebolehan untuk menang dan sebagainya di kawasan-kawasan tersebut sebagai satu perkiraan di dalam menilai sama ada kerusi itu hendak kita kekalkan dalam PH atau mahu serahkan kepada Muda.
- Baru-baru ini ada pucuk pimpinan Amanah Wilayah Persekutuan melahirkan kekecewaan dengan mendakwa agihan kerusi Parlimen antara parti itu dengan komponen PH seperti PKR dan DAP tidak menepati semangat dan asas pembahagian kerusi yang telah dibincangkan bersama di peringkat Parlimen tersebut. Apa pandangan YB mengenai perkara ini?
Saya fikir tidak ada orang yang berpuas hati soal pembahagian kerusi. Saya adalah Pengerusi PKR Kelantan dan Terengganu dan saya berhubung dengan beberapa ketua cabang, malah pimpinan di kedua-dua negeri dan ini adalah orang yang saya lantik tetapi mereka tidak mendapat kerusi yang mereka hendak.
Itu orang kata lumrah dalam politik. Saya faham masing-masing mahukan yang terbaik untuk parti. Tetapi akhirnya yang lebih penting adalah yang terbaik untuk PH dan rakyat. Perbincangan itu ada prosesnya dan kadang-kadang kita selesai di peringkat negeri tetapi bila sampai peringkat Pusat kita terpaksa lepaskan sesuatu yang kita telah selesai di negeri untuk mendapat yang lain.
Kalau melibatkan diri saya, tipulah saya kata tak sedih, tak marah dan sebagainya. Tetapi, kita juga kena bergerak ke hadapan sebab pilihan raya nak tiba. Rakyat kadang-kadang dia terhibur tetapi lama-lama dia menyampah juga. Kita fokus kepada isu rakyat. Tidak payah panjangkan isu ini lagi-lagi di ruangan awam. Kalau rakyat sudah muak dan marah, nanti kita yang terima bahana daripada masalah ini.
- Ramai penganalisis politik meramalkan tidak ada satu parti pun akan mendapat majoriti mudah bagi menubuhkan kerajaan selepas PRU15. Jika kemungkinan ini berlaku, apa yang mungkin PKR akan lakukan?
Pada tahun 2018, ramai penganalisis dan peramal politik berkata PH tidak boleh menang tanpa Pas tetapi sebaliknya berlaku. Bila sudah menang, dia tulis pula kenapa PH menang PRU14. Tentang soal pilihan raya ini, saya yakin momentum bersama dengan PH. Kita tengok ramai orang dan penonton dalam ceramah. Baru-baru ini, saya ada buat siaran langsung menerusi YouTube pada malam pembubaran Parlimen dan jumlah tontonannya cukup tinggi. Maknanya momentum itu ada.
Kita lihat barisan kepimpinan. Apabila DAP membuat pemilihan dan tokoh-tokoh seperti Anthony Loke menjadi Setiausaha Agung. Dalam PKR gandingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan seorang anak muda, Rafizi Ramli. Saya ada membuat analisis Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berumur lebih 65 tahun di dalam partinya berserta naib-naib presiden lain lingkungan umur purata 65 hingga 66 tahun berbanding purata umur kami di PKR yang rata-rata 47 tahun.
Bagi saya, rakyat nampak perubahan ini. Saya tidak mengatakan pilihan raya ini mudah. Tetapi kalau kena gayanya, kita kerja kuat, insya-ALLAH kita boleh menang. Prospek-prospek lain itu saya tak nak ulas sebab ia pramatang dan bagi saya kita kena bekerja untuk menang.
- Berbanding parti lain, PKR dan PH pada ketika ini telah meningkatkan kempen menerusi ceramah-ceramah di setiap negeri. Apa komen YB?
Dalam PKR, kita ada sedikit lonjakan momentum selepas pemilihan parti. Jadi, semangat itu nampak berkobar-kobar dengan Ayuh Malaysia, Rapat Mega dan sebagainya. Itu perkembangan positif. Cuma, baru beberapa bulan kita betul-betul buat 100 peratus. Kalau lihat keputusan dalam PRN Melaka dan Johor, kita berada di tahap minimum pada ketika itu.
Saya tidak mengambil mudah. Kalau kita kerja kuat, insya-ALLAH kita ada peluang untuk menang. Tetapi kita tidak boleh berasakan perkara ini akan datang secara automatik. Sebaliknya, ia datang daripada usaha. Jadi, tidak mengapa kita teruskan. Mungkin bagi parti lain mereka dalam keadaan yang berasakan kuat. Kita yang tidak kuat ini, kita sedar diri dan kita lihat Melaka dan Johor. Kita tidak ada opsyen tetapi untuk terus buat program, bekerja dan berjumpa dengan rakyat.
Dari segi itu, kita nampak positif. Tetapi akhirnya ialah apa reaksi rakyat. Itu yang penting. Kadang-kadang kita tidak boleh terlalu cepat nak ‘syok’ sendiri tetapi untuk membina momentum, mood, keyakinan, saya rasa program-program kita sudah mencapai ke arah itu. Dari segi untuk memastikan kemenangan, saya rasa kita semakin positif, tetapi kita tidak boleh mengambil mudah perkara ini.
- Melihat kepada senario semasa negeri-negeri di bawah pentadbiran PH dan PN tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selari dengan Parlimen. Situasi ini akan menyebabkan berlaku kerja dua kali bagi setiap parti. Bagaimana YB melihat perkara ini?
Perkara ini sememangnya ada dalam perlembagaan negeri dan sebab itu kita boleh lakukan. Maknanya tidak semestinya PRU dan PRN dilakukan serentak. Kalau di Sarawak sudah menjadi perkara normal dari dahulu. Kita lihat di beberapa buah negeri sebelum ini apabila berlaku kejatuhan kerajaan negeri dan pembubaran. Kita ada PRN di Melaka, Johor dan Sabah yang berlaku di luar waktu pilihan raya biasa.
Ini bagi saya perkara yang dibenarkan dan dibolehkan. Kita boleh bahas panjang seperti wajar, tidak wajar dan sebagainya tetapi ia selari dengan mesej yang cuba kita sampaikan bahawa kerajaan menyusahkan rakyat (dengan pembubaran Parlimen) yang berdepan musim banjir dan di Kuala Lumpur, banjir kilat juga ada.
- Sekurang-kurangnya berapa kerusi PKR akan bertanding untuk Parlimen?
Seperti saya kata, saya bukan di dalam Jawatankuasa Pembahagian Kerusi. Tetapi saya fikir jumlah itu jumlah yang besar. Yang lebih penting bagi saya bukan hanya jumlah kerusi, tetapi kualiti kerusi tersebut. Pilihan raya ini saya tidak anggap mudah. Tetapi saya rasa kalau kita betul-betul buat kerja, kita boleh lakukan satu kejutan dalam pilihan raya kali ini.
- Untuk PRU15 ini, siapa ‘poster boy’ bagi PH? Adakah Datuk Seri Anwar Ibrahim?
Bagi saya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden PKR dan Pengerusi PH memang ada kuasa dan pengaruh yang jelas. Saya rasa tidak ada orang boleh persoalkan. Tetapi kita juga ada Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli dan beberapa pimpinan muda dalam parti. Ini saya fikir ‘poster boy’ atau ‘poster girl’ untuk parti, sesuai menarik pengundi keluar mengundi.
- Bagaimana dengan manifesto PH? Apa janji-janji PH dalam manifesto untuk PRU15 nanti?
Saya mengetuai kumpulan PKR untuk perbincangan manifesto PH dan kita dalam proses akhir untuk menyiapkannya. Ada beberapa isu dan saya ingat isu yang paling utama ialah soal gaji dan kenaikan kos sara hidup. Perkara-perkara itu kita berikan perhatian yang khusus dalam manifesto.
Klik di sini untuk terus membaca