AMERIKA Syarikat (AS) dilaporkan akan mengkaji semula hubungannya dengan Arab Saudi selepas negara beraja itu bersama anggota-anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC ) bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak... Klik di sini untuk terus membaca

AMERIKA Syarikat (AS) dilaporkan akan mengkaji semula hubungannya dengan Arab Saudi selepas negara beraja itu bersama anggota-anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC ) bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah sebanyak dua juta tong sehari di pasaran dunia mulai bulan depan.

Malah, Presiden AS, Joe Biden menyatakan dalam temu ramah dengan stesen penyiaran berita CNN baru-baru ini bahawa Riyadh akan menerima padah kerana bersetuju mengurangkan pengeluaran minyak mentah tersebut.

Namun, beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut tentang padah yang akan diterima oleh Arab Saudi akibat pemotongan tersebut.

AS seolah-olah tidak mahu mendengar penjelasan daripada negara beraja tersebut yang menyatakan bahawa keputusan itu dibuat sebulat suara oleh anggota OPEC berdasarkan kepada pertimbangan ekonomi semata-mata dan bukannya dibuat bagi menentang AS atau menyebelahi Rusia dalam perang Ukraine.

Moscow pula merupakan anggota OPEC dan pemotongan pengeluaran minyak mentah tersebut bakal melonjakkan harga bahan api itu di pasaran dunia, sekali gus akan menyebabkan Rusia memperoleh keuntungan hasil daripada jualan 'emas hitam' berkenaan di pasaran global.

Bagaimanapun, padah yang dijangka diterima Arab Saudi adalah kemungkinan AS akan memotong sokongan ketenteraannya kepada Riyadh dan mengajar OPEC melalui pengenalan undang-undang Tiada Akta Kartel Pengeluaran dan Pengeksportan Minyak (NOPEC) di Kongres negara Uncle Sam itu.

Rumah Putih berkata, Biden akan berunding dengan Kongres AS tentang cara-cara untuk mengurangkan kawalan OPEC ke atas harga minyak mentah.

Jawatankuasa Senat AS telah meluluskan rang undang-undang NOPEC itu pada bulan Mei lalu tetapi untuk menjadikannya sebagai undang-undang, ia masih perlu melalui Senat dan Dewan Perwakilan AS serta ditandatangani oleh Biden.

PELABURAN MINYAK

Namun, Penyelidik Kanan di Pusat Dasar Tenaga Global Universiti Columbia, AS, Dr Karen Young berkata kepada CNN bahawa undang-undang tersebut jika dilaksanakan akan menyebabkan semua usaha sama dan pelaburan dengan syarikat minyak AS menjadi lebih kompleks.

Terdapat juga kebimbangan bahawa menghapuskan had pengeluaran akan menyebabkan harga minyak menjadi begitu rendah sehingga industri minyak AS boleh gulung tikar.

Arab Saudi mempunyai kos pengekstrakan minyak terendah di dunia mengakibatkan ia boleh terus mengaut keuntungan pada harga minyak yang sangat rendah.

Justeru, persoalannya adakah Biden berani melakukannya?

Terdapat juga cadangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Hubungan Luar Senat AS mewakili Parti Demokrat, Senator Bob Menendez yang menyeru untuk membekukan kerjasama dengan Arab Saudi termasuk sebarang penjualan senjata dan kerjasama keselamatan dengan negara tersebut.

Penduduk AS bakal menghadapi kenaikan harga minyak bulan depan.

Bagaimanapun, jika AS tidak menjual senjata kepada Arab Saudi, negara berkenaan kemungkinan mengalihkan pembelian kepada negara-negara lain.

Ia akan merugikan Washington kerana menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm pada tahun 2021, negara beraja tersebut menyumbang 24 peratus daripada semua jualan senjata AS.

Tiga orang wakil rakyat daripada Parti Demokrat baru-baru ini mahu memperkenalkan rang undang-undang untuk menamatkan perlindungan AS kepada sekutu-sekutunya di rantau Teluk dengan mengundurkan tentera dari Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) serta di sebuah negara anggota kartel OPEC .

Namun, pengunduran tentera AS tidak mungkin akan berlaku kerana ia akan meninggalkan ruang vakum di rantau berkenaan yang boleh diisi oleh musuh AS seperti Iran, China dan Rusia.

Walau apa pun, tindakan yang mahu diambil oleh Biden itu cuba memadamkan usaha baik yang telah dilakukan oleh Arab Saudi dalam Perang Ukraine.

AS seolah-olah tidak memandang langsung tindakan Arab Saudi yang menyokong usul mengutuk tindakan Rusia memperluaskan kuasanya di empat wilayah Ukraine pada Rabu lalu.

Jika Arab Saudi menyebelahi Rusia, kenapakah ia mengundi menyokong usul tersebut setelah Moscow menjadikan empat wilayah berkenaan sebagai haknya menerusi pungutan suara yang diadakan pada bulan lalu?

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman juga menjadi pengantara bagi membebaskan seramai 10 tawanan perang asing yang ditangkap di Ukraine oleh Rusia pada hujung bulan lalu.

Cumanya, Biden yang sebelum menjadi Presiden AS telah berikrar untuk meminggirkan Arab Saudi berhubung pembunuhan wartawan akhbar Washington Post, Jamal Khashoggi di pejabat konsulat negara beraja tersebut di Istanbul, Turkiye, sebaliknya berdampingan dengan Putera Mohammed itu pada Julai lalu di Jeddah dalam lawatannya ke Timur Tengah.

Janji Biden itu tidak ditepatinya dan lawatan tersebut gagal untuk menurunkan harga minyak mentah dunia ketika AS berdepan dengan inflasi.

Klik di sini untuk terus membaca