DI KALANGAN pemimpin UMNO sekarang, antara yang menjadi sebutan dan perbualan ramai ialah tentang kedudukan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin — di mana beliau akan bertanding menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti. Jumaat lalu... Klik di sini untuk terus membaca

DI KALANGAN pemimpin UMNO sekarang, antara yang menjadi sebutan dan perbualan ramai ialah tentang kedudukan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin — di mana beliau akan bertanding menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Jumaat lalu di Kuala Lumpur, KJ — sebagaimana beliau dikenali — sendiri apabila ditanya para pemberita tidak dapat memberi jawapan dengan pasti. "Jika saya tahu di mana saya akan bertanding...saya tidaklah perlu risau. Buat masa ini, kita perlu tunggu dan lihat...” ujarnya.

KJ yang telah menjadi Ahli Parlimen Rembau selama tiga penggal berturut-turut terpaksa mengosongkan kerusi tersebut berikutan keputusan Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding kerusi Parlimen.

Mat Hasan sebelum ini ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau iaitu salah satu kerusi dalam Parlimen Rembau.

Keputusan Mat Hasan itu logik dan semula jadi memandangkan beliau kini telah menyandang jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO. Kedudukan itu dengan sendirinya menuntut beliau untuk beralih ke peringkat pusat dan nasional.

Sebelum ini, beliau bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri kerana beliau ialah Menteri Besar Negeri Sembilan.

Bagaimanapun selepas Negeri Sembilan jatuh ke tangan Pakatan Harapan, dengan sendirinya senario politik pun berubah.

Dalam konteks waktu ini, jika Mat Hasan bertanding kerusi Rembau dan menang dan ditakdirkan Barisan Nasional (BN) pun menang dalam PRU15, sudah tentulah secara konvensyennya kerusi Timbalan Perdana Menteri adalah milik beliau.

Malah jika ditakdirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak dapat menjadi Perdana Menteri atas sebab-sebab teknikal, sudah tentu pula, Mat Hasan merupakan calon Perdana Menteri berasaskan kedudukannya dalam hierarki parti.

Ini semua adalah gambaran atau senario yang boleh berlaku. Malangnya yang menjadi ‘mangsa’ keadaan ialah KJ.

KJ kini kelihatan seperti ‘dikorbankan’ atau wajarkah dikatakan menjadi ‘mangsa korban’ senario politik semasa? Semuanya gara-gara kerana beliau berkongsi satu kawasan politik dengan seorang lagi gergasi dalam UMNO iaitu Mat Hasan?

Belalang sendiri dimaklumkan, sehingga Isnin lalu, nama KJ tidak ada pun dalam senarai calon-calon untuk Negeri Sembilan. Jika itu benar, di manakah KJ akan ditempatkan?

Maka tidak hairanlah beliau patut berasa gusar. Dalam situasi di mana PRU15 hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi untuk diumumkan, beliau bukan sahaja tidak ada tempat, malah masih belum tahu di mana akan diletakkan.

Sesungguhnya senario ini bukan sahaja tidak patut, malah tidak adil untuk beliau. Ini kerana pilihan raya memerlukan persiapan yang rapi. Menjadi calon paracut tidak mudah walaupun untuk seorang yang sudah ada nama besar.

Logistik, jentera, bala tentera, bilik gerakan, kakitangan sehinggalah kepada wakil calon yang memerlukan orang tempatan — semuanya perlu diambil kira.

Pun begitu, kita percaya dan berkeyakinan penuh bahawa KJ yang pernah menerajui sayap Pemuda partinya pasti mempunyai rangkaian yang besar dan kukuh.

Belalang - hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk Saudara KJ.

Klik di sini untuk terus membaca