SHAH ALAM - Menu penyediaan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah perlu mengandungi nutrisi lengkap dan seimbang bagi menyokong tumbesaran kanak-kanak. Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Menu penyediaan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah perlu mengandungi nutrisi lengkap dan seimbang bagi menyokong tumbesaran kanak-kanak.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Nurul Shazini Ramli sehubungan itu berkata, penyedia makanan yang terlibat perlu memahami keperluan tersebut bagi mengimbangi hidangan sihat.

"Paling penting pengusaha kantin perlu memastikan menu disediakan mengandungi sumber karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral.

"Perlu diingatkan, nutrisi lengkap penting untuk kesihatan badan dan jumlah untuk kanak-kanak berlainan jika dibandingkan dengan orang dewasa dan warga emas,” jelasnya kepada Sinar Ahad.

Nurul Shazini berkata, keperluan kalori harian setiap kanak-kanak juga berbeza namun bagi penyediaan menu RMT, ia disajikan mengikut keperluan nutrisi yang disyorkan KKM.

"Mungkin kanak-kanak bila makan di rumah tidak cukup protein, tak makan sayur, tiada pelbagai sumber. Tetapi dalam menu makanan RMT, ia merupakan antara cara untuk memastikan mereka terutamanya yang tiada peluang mendapatkan nutrisi lengkap, menerima manfaat tersebut,” katanya.

Sementara itu, pakar sekuriti makanan, Profesor Madya Dr Nor Ainy Mahyudin mengingatkan pengusaha kantin supaya sentiasa memastikan makanan yang disediakan selamat untuk dimakan oleh murid sekolah.

Ini kerana, katanya, kanak-kanak mudah dijangkiti penyakit berkait makanan sekiranya tidak bersih.

"Aspek kebersihan bermula dari proses penyediaan makanan. Semasa makanan itu dihantar ke kantin, pastikan juga kenderaan yang digunakan dalam keadaan bersih agar makanan tidak mudah terdedah kepada bakteria.

"Suhu negara kita panas, amat mudah untuk bakteria membiak. Cara pembungkusan dan penyimpanan makanan sebelum dihantar kepada murid perlu dipastikan bersih bagi mengawal pembiakan bakteria,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca