SHAH ALAM - Keputusan kerajaan menaikkan kadar makanan bermasak bagi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah rendah memberi peluang kepada pengusaha kantin terlibat untuk menambah variasi menu yang disediakan.
Pengusaha kantin di sebuah sekolah di Sekinchan, Selangor, Muhamad Alif Roslan berkata, walaupun kenaikan hanya RM1, pihaknya akan cuba mempelbagaikan jenis masakan terutama sayuran.
"Saya telah menyediakan set makanan sihat pada harga RM2.50 mengikut perjanjian tender bersama pihak sekolah dan dipersetujui perlu ada menu wajib lengkap sumber karbohidrat, protein, sayur dan buah.
"Kenaikan harga RMT daripada RM2.50 kepada RM3.50 adalah satu bonus dan secara tidak langsung memberi peluang kepada kami untuk menambah baik menu sedia ada.
"Mungkin selepas ini saya akan variasikan masakan sayur seperti kacang panjang tumis atau kubis tumis,” katanya kepada Sinar Ahad.
Muhamad Alif bagaimanapun berkata, buat masa ini menu sedia ada akan dikekalkan.
"Untuk menambah menu baharu, saya fikir belum sampai masanya lagi memandangkan banyak kekangan seperti kenaikan harga barangan yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Pengusaha kantin di Gambang, Pahang, Nurul Iziaty Zainal Azeman pula berpandangan, kenaikan RM1 bagi menu RMT tidak memberi sebarang perubahan terlalu ketara kepada menu yang disediakan kepada murid sekolah.
"Kenaikan tersebut ibarat pulang modal terdahulu ketika menu berharga RM2.50. Sebagai contoh, kami perlu menyediakan menu asas seperti nasi, ayam, air dan buah.
"Modal untuk satu hidangan nasi adalah RM1, lauk untuk sepotong ayam juga RM1, air berperisa atau mineral 50 sen dan jumlahnya sudah mencecah RM2.50. Kami perlu sediakan sepotong buah,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca