REVOLUSI Perindustrian Keempat (IR 4.0) atau Industri 4.0 berkonsepkan perubahan pantas dalam teknologi, industri dan corak pemprosesan pada abad ke-21 disebabkan peningkatan kesalinghubungan serta automasi pintar. Ia menerangkan trend ke... Klik di sini untuk terus membaca

REVOLUSI Perindustrian Keempat (IR 4.0) atau Industri 4.0 berkonsepkan perubahan pantas dalam teknologi, industri dan corak pemprosesan pada abad ke-21 disebabkan peningkatan kesalinghubungan serta automasi pintar.

Ia menerangkan trend ke arah automasi dan pertukaran data dalam teknologi serta pemprosesan bagi industri pembuatan termasuk Internet of things (IoT), Internet industrial of things (IIoT) dan Sistem Fizikal Siber (CPS).

Istilah Revolusi Perindustrian Keempat diperkenalkan oleh sarjana berbangsa German, Klaus Schwab pada 2015, kemudian menjadi agenda utama ketika Forum Ekonomi Dunia pada 2016.

IR 4.0 melibatkan teknologi baharu, muncul dalam bidang seperti robotik, artificial intelligence (AI), nanoteknologi, pengkomputeran kuantum, bioteknologi, teknologi Wireless Generasi Kelima , percetakan 3D dan kenderaan automasi sepenuhnya.

Fenomena itu adalah kesinambungan kepada tiga revolusi perindustrian terdahulu. Revolusi Perindustrian Pertama (1760 -1840) berlaku di Eropah – perubahan daripada kaedah pengeluaran tangan kepada mesin yang menggunakan kuasa wap dan kuasa air.

Revolusi Perindustrian Kedua (1871-1914) – ‘revolusi teknologikal’ yang telah menghasilkan rangkaian kereta api dan telegraf, membolehkan pemindahan manusia dan barangan serta informasi dengan lebih pantas. Ia juga telah membawa kepada penemuan kuasa elektrik.

Revolusi Perindustrian Ketiga, dikenali juga sebagai ‘revolusi digital’ (akhir abad ke-20) - melibatkan penggunaan komputer dan teknologi komunikasi secara meluas dalam proses pengeluaran serta jentera.

Persoalannya, sejauh mana Malaysia bersedia menghadapi dan menyahut cabaran IR 4.0? Apakah usaha yang telah dilakukan?

Kerajaan Malaysia sedar pentingnya IR 4.0, justeru Dasar 4IR Negara telah digubal dan ia adalah sejajar dengan Dasar Kebangsaan Sains, Teknologi dan Inovasi (DSTIN) 2021-2030, bertujuan membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Sebenarnya usaha meningkatkan proses digitalisasi telah bermula sejak 1996 dengan penubuhan Multimedia Super Corridor yang menggalakkan penyertaan pakar-pakar dari dalam dan luar negara.

Kepentingan ketersambungan melalui digitalisasi dan teknologi moden menjadi lebih ketara apabila berlakunya pandemik Covid-19. Aktiviti harian seperti perniagaan, persekolahan dan mesyuarat diadakan secara atas talian.

POTENSI

Malaysia berpotensi menjadi hab digital di ASEAN. Teknologi seperti AI dan 5G mempengaruhi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Teknologi Komunikasi dan Informasi Malaysia telah merangkumi kira-kira 20.6 peratus daripada KDNK pada 2020 dan angka itu dijangka meningkat pada masa akan datang.

Kerajaan melalui Jalinan Digital Negara (Jendela) telah mempertingkatkan ketersambungan digital dan akses tanpa wayar bagi jalinan 4G ke 5G.

Selain itu, Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia atau Malaysia Digital Economy Blueprint (MyDIGITAL) adalah rancangan untuk menyediakan ekonomi negara ke arah ekonomi digital sejajar dengan hasrat menjadi negara berpendapatan tinggi dan meningkatkan kualiti kehidupan.

Antara syarikat telekomunikasi utama yang membantu Malaysia mencapai objektif digitalisasi ialah Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd, sebuah syarikat teknologi multinasional China beribu pejabat di Shenzhen, Guangdong. Huawei sudah beroperasi selama 21 tahun di Malaysia.

Aktiviti Huawei di Malaysia termasuk memperkenalkan teknologi baharu seperti 5G bandar pintar, perkhidmatan e-kerajaan dan lawatan pintar dengan meningkatkan ketersambungan serta membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) tempatan mengembangkan potensi perniagaan mereka.

Malah, Huawei Malaysia telah bekerjasama dengan operator telekomunikasi, meneroka peluang baharu untuk teknologi dan perniagaan 5G. Huawei mempunyai kerjasama dengan Telekom Malaysia (TM) untuk membina infrastruktur End-to-End Cloud dan AI milik Malaysia bagi menangani kedaulatan data.

Ia turut bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia untuk meningkatkan piawaian keselamatan siber, khasnya pengiktirafan kepada My5G oleh Network Equipment Security Assurance Scheme (NESAS) iaitu standard antarabangsa bagi keselamatan jalinan peralatan telekomunikasi.

Huawei Malaysia juga bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi tempatan bagi memupuk kesedaran dan melatih generasi baharu kepentingan teknologi digital.

Ia adalah sebahagian daripada usaha untuk menganalisis impak IR 4.0 dalam bidang pertanian, pembuatan perkhidmatan dan sosioekonomi serta isu-isu yang berkaitan termasuk keselamatan siber dan perlindungan.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca