SHAH ALAM - Ibu bapa berharap pengusaha kantin menitikberatkan kuantiti dan penyajian menu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada murid.
Nurul Hidayah Anuar, 35, berkata, pengusaha kantin perlu memastikan makanan disediakan adalah mengenyangkan supaya produktiviti pelajar di sekolah dapat dipertingkatkan.
"Sebelum ini anak saya beritahu makanan RMT agak sedikit, tak cukup dan tak kenyang. Kita pula terpaksa beri duit poket tambahan untuk dia membeli makanan lain.
"Kebanyakan murid termasuk anak saya tidak akan ambil menu itu dan membeli makanan lain," katanya kepada Sinar Ahad.
Kamarul Nizam Razak, 43, pula berkata, kenaikan kadar RMT meskipun dilihat sedikit, namun ia tetap dapat membantu ibu bapa khususnya B40.
Menurutnya, sudah tentu pengusaha kantin dapat meningkatkan mutu dan kualiti dalam penyediaan makanan kepada pelajar.
"RMT ini sangat membantu, khususnya B40. Begitu juga pengusaha kantin, mereka akan lebih rasional untuk menyediakan makanan yang lebih sihat dan berkualiti kepada murid,” katanya.
Kamarul Nizam berkata, anaknya layak menerima RMT kerana menghidap disleksia dan merupakan pelajar pendidikan khas.
Sementara itu, Saadiah Ismail, 43, berkata, anaknya amat menyukai menu RMT yang disifatkan menyelerakan.
"Walaupun harganya RM2.50, pelajar masih menggemari menu RMT, inikan pula RM3.50. Sudah pasti kami berpuas hati dengan keputusan kerajaan itu.
"Anak saya selalu puji makanan RMT yang disediakan sedap sampai saya sediakan bekal pun dia menolak sebabkan ‘penangan’ RMT.
"Setakat ini, semua makanan RMT yang pihak pengusaha kantin sediakan mencukupi dari segi karbohidrat, protein serta nutrien,” katanya.
Suhaili Hassan, 45, pula berkata, pihak pengusaha kantin perlu memberi perhatian bagi meningkatkan lagi kuantiti dan kualiti menu RMT.
Selain itu, katanya, ini juga secara tak langsung dapat meringankan beban ibu bapa khususnya B40.
Klik di sini untuk terus membaca