EMPAT tahun lalu apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Rabu, 9 Mei sebagai hari mengundi, yang merupakan hari kerja, ia telah mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat. Ada yang mendakwa keputusan itu dibuat bagi... Klik di sini untuk terus membaca

EMPAT tahun lalu apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari Rabu, 9 Mei sebagai hari mengundi, yang merupakan hari kerja, ia telah mencetuskan kemarahan besar dalam kalangan rakyat.

Ada yang mendakwa keputusan itu dibuat bagi mengurangkan peratusan keluar mengundi, sekali gus bagi memihak kepada kemenangan BN. BN dengan segera menafikan pihaknya mempengaruhi keputusan SPR dalam membuat ketetapan itu.

Dalam meredakan kemarahan orang ramai, kerajaan memutuskan untuk mengisytiharkan hari mengundi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebagai cuti kelepasan am tambahan bagi membolehkan rakyat keluar mengundi.

Pengisytiharan itu dibuat berdasarkan Seksyen 8 Akta Hari Kelepasan 1951 bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Bagi Sabah dan Sarawak, kerajaan-kerajaan negeri mengisytiharkan hari kelepasan am tambahan pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing.

Tanggal 9 Mei menyaksikan pengundi mula beratur seawal 7.30 pagi di luar pusat mengundi di seluruh negara untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Fenomena luar biasa ketika itu. Peratusan keluar mengundi melebihi 80 peratus.

Dalam laporannya dua tahun lalu, Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), yang mana saya sebahagian daripada barisan ahli, telah mengesyorkan agar negara membuat satu ketetapan agar hari pengundian ditetapkan pada hari Sabtu.

Bermakna pengundian hanya boleh diadakan pada hari Sabtu bagi memudahkan pengundi, tidak kira di mana mereka berada. Kecuali mereka yang memohon agar diberikan kemudahan undi pos.

Cadangan itu, yang merupakan sebahagian daripada 49 syor ERC belum diketahui nasib pelaksanaannya.

Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengumumkan bahawa SPR telah memutuskan untuk memanjangkan waktu mengundi sejam di seluruh negara. Ia satu langkah membina dan wajar dialu-alukan.

Mengenai hari mengundi yang tetap, tiada peruntukan khusus mengenai perkara tersebut. SPR boleh memutuskan sendiri hari yang pihaknya merasakan sesuai.

DILAKSANAKAN DI LUAR NEGARA

Justeru, bagi mengelakkan sebarang persepsi negatif mengenai budi bicara SPR dalam soal penetapan tarikh dan hari mengundi yang kita lihat empat tahun lalu dan pada masa-masa lalu, adalah lebih baik perkara tersebut ditetapkan dalam bentuk peruntukan perundangan demi keselesaan para pemegang taruh.

Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) dalam laporannya dua tahun lalu telah mengesyorkan agar negara membuat satu ketetapan agar hari pengundian ditetapkan pada hari Sabtu.

Misalnya, pengundian hanya boleh dilangsungkan pada hari Sabtu. Ia juga baik untuk SPR.

Sudah sampai masa kita mengambil satu lagi langkah positif. Jadikan ia satu ketetapan dalam peraturan pilihan raya.

Sabtu merupakan hari yang sesuai untuk rakyat di semua negeri. Jumaat adalah hari cuti bagi sebahagian negeri dan ia merupakan hari solat Jumaat manakala hari Ahad pula merupakan hari bekerja bagi negeri-negeri yang cuti mingguan pada hari Jumaat dan Sabtu.

Kita mengambil langkah tengah lagi selamat dengan menjadikan Sabtu sebagai hari yang tetap untuk mengundi. Jadikan ia sebagai mandatori perundangan.

Penetapan satu hari yang seragam telah diamalkan oleh banyak negara. Ini termasuklah Amerika Syarikat (AS) yang memutuskan Selasa pertama bulan November untuk pilihan raya.

Negara perlu mengambil langkah ke arah itu bagi mengelakkan persepsi SPR dipengaruhi oleh kerajaan dan juga demi memudahkan pengundi untuk keluar mengundi dalam jumlah yang tinggi, sekali gus mencapai sasaran tinggi dari segi penyertaan rakyat dalam pilihan raya.

Mengundi pada hari kerja bukan perkara baharu. Hari mengundi pilihan raya pertama, dua tahun selepas merdeka, telah dilangsungkan pada hari Rabu, sama seperti pada tahun 2018.

PRU 2013 berlangsung pada hari Ahad; 2008 (Sabtu), 2004 (Isnin), 1999 (Isnin), 1995 (Isnin dan Selasa), 1990 (Sabtu dan Ahad), 1986 (Sabtu dan Ahad), 1982 (Khamis, Jumaat dan Sabtu), 1978 (antara Sabtu, 8 Julai dan Sabtu, 22 Julai), 1974 (antara Sabtu, 24 Ogos dan Sabtu, 14 September) dan 1969 (Sabtu dan ditangguhkan antara 6 Jun dan 4 Julai ekoran peristiwa 13 Mei).

Demi keselesaan rakyat kita perlu mengkaji semula amalan semasa dalam soal penetapan hari mengundi yang selama ini diputuskan mengikut budi bicara badan pengurusan pilihan raya, dengan menetapkan hari yang tetap iaitu Sabtu.

Langkah itu juga sebahagian daripada usaha memenuhi prinsip amalan pilihan raya demokrasi.

* Dr G Manimaran ialah penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca