DEMAM pilihan raya kembali terasa. Setiap parti politik menyusun strategi untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerusi yang dipertandingkan. Jentera parti digerakkan semaksimum mungkin untuk merayu, memancing dan mengumpan undi kumpulan... Klik di sini untuk terus membaca

DEMAM pilihan raya kembali terasa. Setiap parti politik menyusun strategi untuk mendapatkan sebanyak mungkin kerusi yang dipertandingkan. Jentera parti digerakkan semaksimum mungkin untuk merayu, memancing dan mengumpan undi kumpulan sasaran, demi untuk mendapatkan kemenangan yang diharapkan.

Wanita adalah separuh daripada bilangan rakyat Malaysia yang layak mengundi. Setiap kali pilihan raya, wanita dijanjikan pelbagai tawaran yang menarik, kononnya untuk menunjukkan solidariti dan keprihatinan kepada permasalahan yang dihadapi wanita selama ini.

Kesaksamaan dan kesamarataan gender dijulang dan dilaungkan dalam manifesto, menjanjikan situasi lebih adil bagi wanita untuk mengambil tempat dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Semenjak dahulu lagi, wanita dianggap kumpulan sasaran mudah untuk dipengaruhi, dikuasai dan dimanipulasi bagi mendapatkan undi untuk mengangkat pemimpin politik ke Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Trend, corak dan pola pengundian wanita dikatakan banyak dipengaruhi emosi dan perasaan. Rasa terhutang budi, taat setia yang tidak berbelah bahagi dan rasa hormat yang menebal adalah antara emosi wanita yang sering dimanipulasi.

Selain itu, wanita mudah termakan janji dan ditakut-takutkan dengan momokan yang mengancam zon selesa mereka. Kebanyakan wanita masih mempunyai kerangka fikir terbelenggu, tahap pendidikan sederhana dan pendedahan terbatas yang menyebabkan kedangkalan tahap kecelikan politik mereka.

Bagi wanita Malaysia yang bergiat aktif dalam kancah gerak kerja politik kepartaian, sumbangan mereka yang paling ketara adalah sebagai jentera kempen pilihan raya atau foot soldiers yang mengetuk pintu rumah pengundi untuk merayu undi setiap kali pilihan raya diadakan.

Namun di peringkat pembuatan keputusan dan pucuk pimpinan kebanyakan parti, penglibatan wanita terlalu sedikit dan hampir tidak ketara. Ini antara sebab utama mengapa perwakilan wanita dalam politik tanah air masih pada tahap rendah.

Setelah 65 tahun merdeka, jumlah kepimpinan wanita dalam badan legislatif tidak pernah melebihi 15 peratus iaitu 14.86 peratus di Dewan Rakyat, 11.42 peratus di Dewan Negara dan 11.57 peratus di DUN.

Dalam kabinet sebelum pembubaran Parlimen, terdapat 15.6 peratus sahaja menteri wanita, dan hanya 10.5 peratus untuk timbalan menteri. Kedudukan Malaysia bagi kepimpinan wanita dalam badan legislatif di Inter-Parliamentary Union (IPU) dan Global Gender Gap Index juga amat mendukacitakan.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini, wanita Malaysia tidak mahu lagi menjadi peserta pasif proses pendemokrasian negara. Dengan penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi digital, pendedahan politik meluas dan penyertaan aktif dalam semua peringkat eksekutif dan kehakiman negara, wanita Malaysia menuntut lonjakan peningkatan ketara wanita dalam bidang legislatif pula.

Wanita Malaysia tidak mahu lagi ketinggalan, di mana suara mereka tidak diwakili dan kebajikan mereka tidak diperjuangkan sepenuhnya.

Malahan sudah terbukti bagaimana gaya dan ciri kepimpinan bercirikan kewanitaan (feminin) telah berjaya mengharungi cabaran getir pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

Dalam satu artikel Harvard Business Review (HBR) berjudul Feminine Values Can Give Tomorrow’s Leaders an Edge yang ditulis oleh John Gerzema pada tahun 2013, lapan daripada sepuluh kompetensi utama pemimpin masa kini yang disenaraikan oleh 64,000 orang responden dalam satu kajian yang melibatkan banyak negara di dunia, adalah merupakan karakteristik bercirikan feminin (ekspresif, merancang untuk masa depan, munasabah, setia, bersifat anjal, sabar, intuitif dan suka berkolaboratif) sementara hanya dua sahaja karakteristik bercirikan maskulin (tegas membuat keputusan muktamad dan keliutan/resilience).

KESAKSAMAAN GENDER

Tidak banyak perubahan dari sudut penonjolan calon wanita berkaliber yang boleh dijangkakan daripada beberapa parti politik berasaskan perkauman dan agama di negara ini, yang masih lagi menggunakan kerangka naratif lama tentang kepimpinan wanita.

Namun, bagi parti politik yang mahu dianggap lebih progresif dan melaungkan sokongan kepada kesamarataan dan kesaksamaan gender dalam manifesto masing-masing, haruslah terlebih dahulu membuktikan komitmen tersebut dengan memastikan calon-calon wanita berkaliber mereka bertanding di kawasan selamat iaitu di kubu pertahanan mereka, supaya calon wanita tersebut berjaya diangkat ke peringkat Parlimen dan DUN.

Sebaliknya, jika calon wanita kompeten dan berkaliber yang menjadi barisan pimpinan sayap wanita parti tersebut hanya diletakkan bertanding di kubu kuat pihak lawan, di kawasan suam kuku atau sekadar untuk ‘menebas lalang’ sahaja, nyatalah slogan dan manifesto parti tersebut hanya retorik semata-mata.

Pucuk pimpinan dan ahli lelaki dalam parti yang masih menganggap wanita sebagai warga kelas kedua yang tidak layak untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki dalam memimpin negara, adalah liabiliti nyata kepada parti tersebut.

Selagi budaya patriarki atau dominasi lelaki tidak dihapuskan dan keupayaan wanita memimpin tidak diiktiraf sebagai sama penting, hasrat melihat lebih ramai pemimpin wanita yang berkaliber dan berwibawa terlibat sama dalam legislatif Malaysia masih lagi samar-samar.

Ketidakseimbangan perkongsian kuasa antara gender dalam parti ini mesti diselesaikan segera. Naratif baharu yang membuka ruang seluas-luasnya kepada penglibatan aktif wanita dalam parti dan kerajaan, memerlukan perjuangan melawan sifat keangkuhan dan keegoan yang masih menebal dalam kalangan lelaki.

Tahap kesedaran sivik dan kecelikan berpolitik yang tinggi dalam kalangan wanita Malaysia pastinya menuntut satu perubahan besar berlaku dalam landskap politik tanah air dalam PRU15 kali ini.

Wanita Malaysia tidak akan membiarkan peluang keemasan dalam menjalankan tanggungjawab sebagai warganegara yang patriotik, berlalu sia-sia.

Wanita tahu apa yang mereka mahu untuk diri sendiri, keluarga dan masa depan anak cucu cicit mereka. Wanita Malaysia hari ini lebih berani dan berkeyakinan untuk membuat perubahan dengan mengubah apa yang ada dalam diri mereka sendiri terlebih dahulu.

Bila wanita memilih, dia memilih untuk masa hadapan, bukan untuk agenda kepentingan peribadi. Suara dan pendapat wanita adalah penentu keramat, undi wanita tidak ternilai harganya.

*Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengasas Akademi Dr Har

Klik di sini untuk terus membaca