MINGGU lalu, saya menulis mengenai pelbagai jenis hantu jembalang yang digunakan untuk merompak dan merosakkan ekonomi serta kewangan negara. Saya ibaratkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai hantu raya yang masih... Klik di sini untuk terus membaca

MINGGU lalu, saya menulis mengenai pelbagai jenis hantu jembalang yang digunakan untuk merompak dan merosakkan ekonomi serta kewangan negara.

Saya ibaratkan hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai hantu raya yang masih merayau-rayau meminta makan walaupun tuannya, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah masuk penjara.

Memang itulah cerita yang kita dengar daripada orang tua-tua mengenai hantu raya. Apabila tuannya sakit teruk, ia merayau-rayau, mengganggu orang itu dan ini. Tuannya pula katanya, susah menghembuskan nafas terakhir.

Ditakdirkan tuannya mati dan tidak ada orang lain mengambil alih, ia akan mengamuk satu kampung. Hendak halau pun bukan mudah.

Malang bagi rakyat Malaysia dan pembayar cukai, hantu raya 1MDB bukan satu-satunya hantu pelesit peninggalan Najib dan kerajaan UMNO/BN.

Ada banyak lagi yang memerlukan peruntukan berpuluh bilion ringgit setiap tahun untuk membayar faedah dan langsaikan hutang.

Minggu ini saya hendak cerita satu lagi hantu raya ciptaan zaman Najib. Hantu raya itu ialah pelaburan Felda dalam syarikat ladang milik sahabat baik Najib di Indonesia, Tan Sri (Kehormat) Peter Sondakh.

Kira-kira setahun sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU4), atas arahan dan persetujuan kerajaan Barisan Nasional (BN), Felda telah ‘dipaksa’ membeli 37 peratus saham Eagle High Plantations Tbk di Indonesia dengan membayar 580 rupiah satu saham atau 95 peratus melebihi harga pasaran.

Jumlah dibayar adalah AS$505.4 juta (kira-kira RM2.26 bilion). Dari awal lagi banyak pihak dalam dan luar negara memberi amaran mengenai urus niaga itu kerana harga dibayar terlalu tinggi dan perniagaan Eagle High yang rugi. Ia lebih kepada urus niaga bagi menyelamatkan Sondakh.

Namun, Mei lalu Felda telah menjual balik saham itu kepada Sondakh dengan melaksanakan perjanjian put option tetapi setakat ini belum ada maklumat sama ada Sondakh bersetuju atau mampu membayar balik kepada Felda.

Cuma ada satu laporan tahun 2019 mengatakan, Kumpulan Rajawali iaitu induk kepada Eagle High bersedia menunaikan tanggungjawab di bawah perjanjian itu asalkan Felda melakukannya dengan betul.

Secara teori, pelaksanaan perjanjian itu akan membolehkan Felda mendapat balik pelaburan AS$505.4 juta dengan kadar faedah enam peratus setahun dari 11 Mei 2017.

Pada 2019, Dewan Rakyat diberitahu Felda menyusutkan nilai pelaburan dalam Eagle High sebanyak RM1.58 bilion atau 71 peratus kerana kejatuhan teruk harga sahamnya di Bursa Saham Indonesia.

Ketika itu, harga saham Eagle High telah jatuh 87.24 peratus berbanding harga yang Felda bayar. Jumaat lalu, harganya 65 rupiah sesaham.

PEMBOROSAN

Untuk mudah faham, penyusutan nilai RM1.58 bilion itu bersamaan kos menanam semula kira-kira 88,000 hektar tanah peneroka.

Ditakdirkan Felda dapat semula duit itu bersama faedah, ia tetap gagal memenuhi matlamatnya menambah keluasan ladang dan membuat keuntungan. Sebaliknya, ia tidak lebih daripada peminjam wang.

Itu belum diambil kira RM6.3 bilion yang kerajaan belanjakan bagi menyelamatkannya pada 2019. Dalam bahasa mudah, tindak-tanduk kerajaan BN telah menyebabkan Felda muflis dan bebannya dipikul rakyat jelata.

Selain 1MDB dan Felda, ada banyak lagi urus niaga yang membebankan negara dengan jumlah hutang besar. Misalnya, hutang RM4 bilion SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan jadi RM9.2 bilion apabila habis dibayar.

Pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) lebih RM25 bilion kepada syarikat kerajaan, Pembinaan PFI Sdn Bhd pada 2015.

Kesimpulannya, pemborosan kerajaan BN zaman Najib ke atas projek-projek mega dan projek ‘duit poket’ terpaksa ditanggung kerajaan selepas itu serta rakyat jelata untuk berpuluh tahun akan datang.

Seperti diberitahu oleh Ketua Audit Negara, Datuk Seri Nik Azman Nik Abdul Majid, bagi setiap satu ringgit hasil yang dijana negara, 16 sen digunakan untuk membayar faedah hutang kerajaan.

Beban bayaran balik hutang kerajaan begitu besar sehingga terpaksa ‘mencuri’ peruntukan pembangunan. Tahun lalu RM1.7 bilion duit cukai dihabiskan untuk bayar faedah hutang 1MDB. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca