AKHIRNYA teka-teki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah terjawab pada Isnin lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beliau telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Pembubaran Parlimen berlaku tiga... Klik di sini untuk terus membaca

AKHIRNYA teka-teki Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah terjawab pada Isnin lalu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan beliau telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pembubaran Parlimen berlaku tiga hari selepas pembentangan Bajet 2023 dan beberapa hari selepas Al-Sultan Abdullah mendapat taklimat mengenai keadaan banjir di Malaysia.

Walaupun ramai tidak menyukai idea PRU15 pada musim Monsun Timur Laut kerana khuatir berlaku banjir besar, namun pentadbiran Ismail Sabri yang dihimpit oleh kemelut politik akibat pelbagai fraksi dalam parti dan kerajaan tidak mempunyai banyak pilihan.

Pada hemat saya, antara perkara besar dalam pemikiran Ismail Sabri, sama ada beliau akan mendapat sokongan mencukupi untuk meluluskan Bajet 2023.

Walaupun bajet itu sangat komprehensif untuk berdepan ‘ancaman’ kemelesetan tahun depan, politik fraksi dan kepuakan selalunya akan mengambil kira lebih jauh daripada sekadar kepentingan rakyat serta negara.

Walaupun dinafikan Perdana Menteri tetapi umum mengetahui bahawa beliau sendiri berdepan tekanan daripada beberapa pemimpin UMNO agar PRU15 diadakan segera sebaik sahaja Bajet 2023 dibentangkan.

Selain faktor UMNO, parti dalam kerajaan campuran itu juga sudah menunjukkan sedikit permusuhan susulan kegagalan rundingan mengadakan kerjasama PRU antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).

Serangan dan sindiran terbuka telah bermula. Justeru, Ismail Sabri tidak boleh mengambil risiko pengundian Bajet 2023 akan berdepan sabotaj kerana ‘mood PRU’ dalam kalangan parti kerajaan campurannya.

Ditambah lagi dengan Pakatan Harapan (PH) turut meningkatkan serangan terhadap kerajaan, adalah tidak mustahil mereka akan cuba menggagalkan Bajet 2023.

Jika Bajet 2023 gagal diluluskan, kerajaan terpaksa juga mempertimbangkan pembubaran Parlimen, namun ketika itu kita sudah memasuki bulan Disember dan negara berada di puncak musim tengkujuh yang selalunya berdepan banjir besar.

Yang di-Pertuan Agong dalam kenyataan memperkenankan pem-bubaran Parlimen turut menunjukkan keberatan tetapi setelah mempertimbangkan semua keadaan dan melihat ketidakstabilan politik, maka Seri Paduka bersetuju PRU perlu diadakan.

Walaupun kerajaan campuran banyak juga memberi faedah kepada rakyat, namun terlalu banyak politik menyukarkan usaha memajukan negara. PRU15 harus berkenaan masa depan kita. Dunia diramal berdepan kemelesetan tahun depan. Ia telah diramal pemimpin dunia dan Tabung kewangan Antarabangsa (IMF).

TENAGA BURUH

Ancaman kemelesetan boleh menjejaskan kesejahteraan rakyat. Negara memerlukan sebuah kerajaan stabil dan mampu meneruskan usaha memulihkan negara ini.

Sama ada suka atau tidak, di sebalik pandangan skeptikal sebahagian orang mengenai kemampuan Ismail Sabri memimpin negara berhadapan masalah ekonomi, data-data menunjukkan negara berada di landasan pemulihan yang sangat meyakinkan.

Dalam tempoh hanya setahun di bawah kepimpinannya, pasaran tenaga buruh negara kembali pada tahap guna tenaga penuh. Kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut dari 4.8 peratus pada Julai 2021 kepada 3.7 peratus, Julai lalu.

Di sebalik dakwaan pelabur asing tidak berminat dengan Malaysia, Pelaburan Langsung Asing (FDI) turut mencatatkan peningkatan ketara pasca pandemik. Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, kita mendapat RM47.4 bilion berbanding sepanjang 2021 hanya RM48.1 bilion.

Jumlah perdagangan negara juga meningkat 33.1 peratus kepada RM1.87 trilion bagi tempoh Januari–Ogos 2022, berbanding RM1.41 trilion pada tahun sebelum ini.

Lebih penting, dalam berdepan unjuran kemelesetan ekonomi dunia tahun depan, kerajaan pimpinan Ismail Sabri membentangkan satu bajet bernilai RM372.3 bilion yang meningkatkan bantuan kepada rakyat berpendapatan rendah dan perbelanjaan pembangunan.

Kerangka bajet itu bukan sahaja menjaga kebajikan rakyat, malah akan membantu meneruskan momentum pemulihan ekonomi negara. Kini terserah kepada pengundi sama ada mahu meneruskan momentum pemulihan ini atau mengundi parti lain bagi membuat satu lagi percubaan demokrasi selepas PRU14.

* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca