PELBAGAI isu negara kini timbul dan dibicarakan di khalayak awam. Bualan yang kadangkala menjadi panas, bukan sahaja memenuhi media sosial, malah turut dibincangkan pelbagai pihak di mana-mana sahaja.
Apatah lagi apabila Parlimen telah dibubarkan bagi membolehkan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, menyebabkan gegak gempitalah seluruh negara.
Yang berkedudukan dalam parti sudah mula menggerakkan agenda masing-masing untuk terpilih menjadi calon PRU15. Parti-parti politik juga telah menzahirkan minat bertanding di kerusi-kerusi tertentu dan bermulalah saingan perebutan kerusi.
Malang bagi kita, tidak ramai bercakap tentang usaha meningkatkan kecemerlangan dan pembangunan negara secara berstrategi. Marilah rakyat Malaysia, kita sama-sama membangunkan negara dengan idea-idea tuntas dan bermanfaat.
Kita mempunyai ramai anak watan berkaliber dan mahir mentadbir, tidak kurang cerdik pandai dan agamawan yang dapat membantu membangun negara. Namun, jika kemelut demi kemelut sebegini tidak dirungkaikan segera, kita tidak mempunyai masa untuk memikirkan tentang pembangunan negara dan bangsa.
Perpecahan rakyat dalam aspek politik sangat ketara, begitu juga berkaitan ras dan antara agama. Hatta perkara ‘intra agama pun’ acap kali menimbulkan perbalahan dalam kalangan penganutnya.
Nampaknya kita lebih mahu mencari perbezaan berbanding persamaan. Walaupun perbezaan itu sedikit sahaja, kita mengetepikan persamaan yang telah lama wujud antara kita semua. Kita tidak menghargai persamaan antara kita yang boleh menjadi pemangkin kepada penyatuan rakyat Malaysia.
PRU15 akan menjadi medan ujian negara. Calon pelbagai parti dan bebas akan menawarkan diri menjadi wakil rakyat. Kita sebagai pengundi, pilihlah calon berkaliber dan mampu menegakkan agama, bangsa serta tanah air.
Saya tidak terlibat dengan mana-mana parti politik, namun tidak bermakna tidak mengikuti perkembangan politik negara. Bagi saya, calon mestilah menginsafi sejarah negara, memahami jati diri watan dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan.
Pengimportan nilai-nilai universal yang tidak sesuai dengan norma tempatan pula hendaklah diketepikan. Atas nama demokrasi, kita lihat hari ini pelbagai perkara baik dan buruk berlaku di dalam negara
Setelah wakil rakyat dipilih, adakah semua keputusan diletakkan kepada wakil rakyat mereka untuk mengundi di dewan legislatif? Sangat nadir kita mendengar wakil rakyat berunding dengan pengundi mereka bagaimana untuk berbahas atau mengundi di Parlimen.
DEMOKRASI
Yang sering kita dengar adalah wakil rakyat mengundi di Parlimen mengikut arahan parti masing-masing. Oleh itu, usaha merakyatkan demokrasi masih lagi jauh panggang daripada api.
Atas nama demokrasi juga, kita lihat norma lazim kita sudah mula mahu diubah kerana mendakwa memiliki suara terbanyak di Parlimen. Isu-isu yang suatu ketika dahulu tiada kompromi seperti LGBT, komunis, liberal, hak asasi terlampau dan banyak lagi mahu dinormalisasi kini.
Natijahnya, negara akan bergerak lebih ke kiri menanggalkan pakaian budaya, menyemai nilai asing dan mementingkan hak diri berbanding hak awam. Atas nama demokrasi, kita merasai saban hari rakyat mula resah dan khuatir. Dahulu kita sudah sama-sama memupuk perpaduan dan berganding bahu memajukan negara tetapi kini setiap hari kita mencari salah orang lain.
Kudrat yang ada tidak lagi ditumpukan kepada kemajuan negara tetapi objektifnya hanyalah untuk mengekalkan kuasa. Sesungguhnya pemimpin yang dipilih itu bukanlah diberikan suatu tasyrif (kemuliaan) tetapi suatu taklif (kebertanggungjawaban). Hakikat inilah perlu disedari pemimpin kita.
Pilihan raya bukan memberikan persetujuan umum untuk semua isu kepada wakil rakyat. Tidak ada mekanisme pengundi sesebuah konstituen memecat wakil rakyat yang mereka telah pilih.
Mungkin sudah sampai masanya melihat semula demokrasi dalam konteks PRU. Ahli legislatif yang dipilih hendaklah benar-benar membawa aspirasi rakyat merasai denyut nadi pengundi dan memperjuangkannya selepas berunding dengan mereka.
Pengundi perlu bijak mengundi wakil rakyat mereka. Ambillah kesempatan ini untuk menyoal dan berinteraksi dengan calon sebelum mengundi pada PRU15.
* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
Klik di sini untuk terus membaca