SHAH ALAM - Hanya Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) boleh buat keputusan sama ada Pakatan Harapan akan menjalinkan sebarang kerjasama sama ada dengan Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA) bagi menewaskan BN, pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, secara dasarnya beliau bersetuju dengan pandangan Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa cara terbaik untuk menewaskan BN dalam PRU15 adalah menerusi kerjasama PH, PN dan GTA.
Bagaimanapun, penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena itu menyerahkan kepada Majlis Presiden PH untuk membuat keputusan sama ada pakatan pembangkang wajar bergabung dengan PN dan GTA untuk menentang BN, pada PRU15 nanti.
"Secara peribadi saya melihat seruan dan cadangan Dr Mahathir itu baik. Semua pihak mengakui bahawa strategi itu adalah terbaik bagi menewaskan BN sekali lagi pada PRU. Namun, kita perlu akur semua pihak meletakkan pelbagai syarat tersendiri yang tidak baik untuk masa depan.
"Malah, semua parti dilihat tidak ikhlas dan mempunyai agenda tersendiri untuk membentuk satu gabungan besar bagi menewaskan BN/UMNO.
"Jika PH mahu bergabung dengan PN dan GTA, kita kena ada perjanjian secara bertulis dan benar-benar ikhlas, jangan pula selepas menang lain pula jadinya (seperti berlaku selepas PRU14 lalu)," katanya kepada Sinar Premium.
Bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia semasa PH memerintah selama 22 bulan itu berkata demikian ketika mengulas cadangan dikemukakan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang Tanah Air (Pejuang) supaya semua parti pembangkang melupakan permusuhan sesama sendiri bagi menghadapi PRU15 nanti.
Sementara itu, Pengarah Strategik Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil, ketika dihubungi Sinar Premium pula secara peribadi menjangka kerjasama antara PH, PN dan GTA sukar dilaksanakan kerana tarikh PRU15 terlalu dekat.
Beliau berkata, ketika ini PH tetap dengan pendirian tidak akan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana gabungan parti politik sama ada PN dan GTA mahu pun BN.
"Saya melihat dalam keadaan sekarang amat sukar kerana Majlis Presiden PH dan PKR sendiri sudah menegaskan bahawa kami tidak akan menjalinkan kerjasama untuk menghadapi PRU15 dengan mana-mana gabungan parti politik dalam masa terdekat," katanya.
Bagaimanapun, Fahmi tidak menolak kemungkinan bahawa PH dan PKR akan menjalinkan kerjasama dengan gabungan atau parti lain selepas keputusan PRU15 diumumkan kelak.
"Malah, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri pernah menyebut apa guna kita bersatu sebelum (membentuk gabungan) sebelum PRU jika akhirnya PH dikhianati" katanya.
Klik di sini untuk terus membaca