SHAH ALAM – "Setiap kritikan yang diterima adalah satu pandangan daripada pelanggan. Kritiklah berdasarkan fakta,” kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud. Menurutnya, kritikan yang diterima... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM – "Setiap kritikan yang diterima adalah satu pandangan daripada pelanggan. Kritiklah berdasarkan fakta,” kata Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud.

Menurutnya, kritikan yang diterima adalah bagi menambah baik perkhidmatan agensi tersebut.

Khairul Dzaimee berkata, sekiranya ada pihak mendakwa dirinya selaku Ketua Pengarah dan jabatan tidak prihatin kebajikan pegawai, itu adalah dinafikan kerana ia bersifat jahat dan tidak benar.

Tambahnya, setiap kritikan boleh diterima sebagai satu pandangan daripada pelanggan.

"Kritikan biarlah berdasarkan fakta. Jika tidak, itu adalah tohmahan. Saya boleh menerima kritikan, tetapi saya terima kritikan sebagai satu pandangan daripada pelanggan,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya baru-baru ini.

Khairul Dzaimee berkata, Jabatan Imigresen sentiasa peka dalam soal kebajikan anggota dan pegawainya.

"Empat program telah dilaksanakan iaitu Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN), khairat kematian, tabung solidariti (banjir) serta Gerobok Rezeki dengan keseluruhan jumlah sumbangan bernilai RM438,660 kepada 378 penerima,” katanya.

Menurutnya, semasa pendemik Covid-19, ramai pegawai imigresen terjejas terutama bagi gred rendah.

"Apa yang saya buat waktu itu, saya lancarkan tabung solidariti di mana semua pegawai imigresen memberi sumbangan.

"Formula saya gunakan mudah, terdapat seramai 14,000 pegawai imigresen dan kalau mereka beri RM1, jumlah terkumpul RM14,000 sebulan,” katanya.

Beliau berkata, jumlah ketika itu yang dapat dikumpul adalah kira-kira RM36,000 dan pihaknya membeli food busket membantu pegawai imigresen yang terpaksa dikuarantin terutama yang bertugas di depot serta terlibat dengan operasi.

"Apabila dengar sahaja pegawai dikuarantin, sumbangan bekalan makanan dan barang keperluan bernilai sehingga RM300 ini akan dihantar kepada mereka yang terjejas,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, Gerobok Rezeki yang ditubuhkan di 17 pejabat Imigresen seluruh negeri juga boleh diambil secara percuma oleh pegawai dan anggota jabatan.

Kata Khairul Dzaimee, beliau telah mengusahakan sumbangan TAPPN kepada pegawai yang meninggal dunia semasa menjalankan tugas.

Khairul Dzaimee (tengah) ketika menziarahi keluarga anggota Imigresen Negeri Sembilan, Allahyarham Abdul Syafiq Mohammad yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 29 Disember 2021.

"Ada kriteria yang ditetapkan dan alhamdulillah setakat ini bantuan bernilai RM66,000 telah diberikan kepada tiga pegawai. Mereka diiktiraf sebagai perwira kerana meninggal dunia ketika menjalankan tugas.

"Dari segi khairat kematian, apabila seseorang itu meninggal dunia, Majlis Sukan dan Kebajikan Imigresen Malaysia (Maksim) akan mengeluarkan RM3,000 untuk membantu urusan pengebumian selain bantuan kenderaan bagi membawa jenazah dari hospital ke rumah sehingga ke tempat pengebumian,” ujarnya.

Tambah beliau, bukan itu sahaja, dari segi kebajikan pegawai yang ditukarkan selepas dinaikkan pangkat turut mendapat perhatian.

"Apabila seseorang anggota atau pegawai dinaikkan pangkat, mereka perlu ditukarkan bagi memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) iaitu penggiliran kerja. Tetapi saya faham bagi pegawai rendah yang naik gred daripada KP19 ke KP22 atau ke KP26, perbezaannya tidak banyak.

"Jadi saya keluarkan peraturan di mana mereka ini memadai ditukarkan di dalam zon yang sama. Kalau dahulu ada yang ditukarkan dari utara ke selatan, Sabah dan Sarawak ke semenanjung.

"Peraturan yang baharu contohnya jika di selatan, tukarkan mereka di sekitar selatan sahaja. Jika di Sabah, tukarkan di daerah bersebelahan. Ini dibuat bagi memastikan moral dan kebajikan pegawai terpelihara dan saya berusaha untuk menaikkan gred mereka,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca