PERSATUAN Perubatan Islam Malaysia (PPIM) atau kini dikenali sebagai Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) telah ditubuhkan pada tahun 1990. Sewaktu kami ahli-ahli Jawatankuasa (JK) Penajanya memohon pendaftaran PPIM, wujud tiga... Klik di sini untuk terus membaca

PERSATUAN Perubatan Islam Malaysia (PPIM) atau kini dikenali sebagai Islamic Medical Association of Malaysia (IMAM) telah ditubuhkan pada tahun 1990.

Sewaktu kami ahli-ahli Jawatankuasa (JK) Penajanya memohon pendaftaran PPIM, wujud tiga senario.

Pertama, sebahagian umat Islam Malaysia mendakwa ‘rawatan moden’ di hospital dan klinik tidak Islamik.

Mereka berpuas hati dengan ruqyah syar‘iyyah dan rawatan kerohanian ‘rawatan Islam’.

Kedua, walaupun pihak Pendaftar Pertubuhan ketika itu membenarkan permohonan pendaftaran persatuan kami dengan singkatan PPIM, singkatan IMAM tidak dibenarkan kerana istilah ‘imam’ sangat sensitif pada masa itu.

Ketiga, sekumpulan doktor pakar muda lepasan universiti di dalam dan luar negara bertekad untuk menubuhkan sebuah persatuan perubatan berteraskan Islam.

Kami percaya bahawa rawatan Islam mestilah merangkumi kesepaduan kesemua ranah biofizikal, psikologikal, sosial dan spiritual.

Antara penulisan yang menekankan kesepaduan ini ialah buku saya yang ditulis bersama-sama kumpulan doktor pakar psikiatri mantan pelajar saya.

Ia berjudul Medical Wisdom & Ar-Ruqyah Ash-Shar‘iyyah terbitan Universiti Islam Malaysia, Cyberjaya pada 2018.

Sebuah buku baharu kami dalam bahasa Melayu berjudul Perubatan Moden dan Ruqyah Syar‘iyyah sedang di peringkat suntingan akhir untuk penerbitan pada tahun 2023 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur.

Pada April 1991, PPIM telah mengirim Dr Mohd Hatta Ramli dan saya (tajaan sendiri) ke Iraq (mangsa Perang Teluk) melalui Jordan untuk mengiringi bantuan serta perkakas perubatan yang dihadiahkan oleh kumpulan rakyat dan syarikat Malaysia.

Kami telah menerima kerjasama daripada Kementerian Kesihatan Malaysia serta Sistem Penerbangan Malaysia.

Pengalaman itu telah saya tulis dalam buku yang berjudul Sorrow Behind the Smiles: Notes on a Humanitarian Journey in Iraq, Kosovo, Afghanistan and Iran terbitan DBP tahun 2006.

Kini ahli-ahli IMAM terdiri daripada para profesional yang datang dari pelbagai bidang perubatan, pergigian, farmasi serta profesional sains kesihatan bersekutu.

Konferens Saintifik Tahunan ke-23 Persatuan Perubatan Islam Malaysia di sebuah hotel di Putrajaya pada 8 dan 9 Oktober 2022 dihadiri secara hibrid oleh mereka termasuk pelajar perubatan dari dalam dan luar negara.

Pada konferens itu, Ar-Razi Lifetime Achievement Award 2022 dianugerahkan kepada Dr Ishak Mas‘ud.

Bagi tahun 2021 penerima anugerah ini Fadzilah Abdul Hamid (matron bersara) pengurus Rumah Solehah seliaan IMAM sejak tahun 1998. Rumah Solehah ialah tempat latihan untuk para residen wanita yang dijangkiti HIV.

Forum yang bertajuk During My Time melibatkan tiga mantan presiden (Dr Ishak Mas‘ud, Dr Lokman Saim dan saya sendiri) dan dipengerusikan oleh mantan presiden, Dr Jeffrey Abu Hassan.

Sebagai dekan pengasas Fakulti Perubatan Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS, kini Universiti Cyberjaya), saya sempat bertemu dengan pelajar-pelajar perubatan tahun akhir dan juga seorang dokor pakar muda dari kumpulan perintis.

IMAM ialah sebuah daripada lebih 40 persatuan perubatan Islam pelbagai negara dalam gabungan Federation of Islamic Medical Associations (FIMA) yang telah berkhidmat kepada insan tanpa mengira keturunan atau kepercayaan selama 32 tahun, Alhamdulillah.

Pada bulan Oktober 2023 nanti, konferens antarabangsa FIMA akan berlangsung di Putrajaya, Malaysia, insya-ALLAH.

Senarai Presiden IMAM yang terdiri daripada doktor pakar dan profesor adalah seperti berikut.

1. Ishak Mas‘ud (1990-1994)

2. Lokman Saim (1994-1996)

3. Mohd Hatta Ramli (1996-1998)

4. Mohamed Hatta Shaharom (1998-2000)

5. Musa Mohd Nordin (2000-2004)

6. Abdul Latiff Mohamed (2004-2008)

7. Abdul Rashid Abdul Rahman (2008-2012)

8. Abdul Rahim Mohamad (2012-2016)

9. Jeffrey Abu Hassan (2016-2020)

10. Muhammad Yusri Musa (2020-2024)

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah psikiatris, penulis dan aktivis masyarakat

Klik di sini untuk terus membaca