WASHINGTON - Angkasawan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Nicole Aunapu Mann mencipta sejarah menjadi wanita Orang Asli Amerika Syarikat (AS) atau Red Indian pertama dihantar ke orbit susulan pelancaran roket SpaceX ke Stesen... Klik di sini untuk terus membaca

WASHINGTON - Angkasawan Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Nicole Aunapu Mann mencipta sejarah menjadi wanita Orang Asli Amerika Syarikat (AS) atau Red Indian pertama dihantar ke orbit susulan pelancaran roket SpaceX ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 5 Oktober lalu.

Roket tersebut membawa kumpulan angkasawan dikenali sebagai Crew-5 untuk menjalankan misi saintifik selama hampir enam bulan di ISS.

Mann, 45, dari suku Round Valley Indian di Mendocino County, California Utara dilantik mengetuai misi tersebut dan bertanggungjawab untuk semua fasa penerbangan bermula dari perjalanan ke ISS hingga kembali ke bumi.

"Sudah tentu saya berasa bangga dan berharap dapat menginspirasikan generasi muda terutama daripada komuniti saya.

"Saya juga berharap selepas ini ramai anak muda Red Indian berminat menjadi angkasawan kerana sebelum ini, anak-anak Red Indian berfikir amat mustahil untuk mereka pergi ke angkasa lepas disebabkan halangan tertentu dan diskriminasi pada masa silam,” kata wanita kelahiran Petaluma ini.

Mann (dua kiri) mengetuai Crew-5 bagi menjalankan misi saintifik di ISS selama enam bulan.

Untuk rekod, lelaki Red Indian pertama dihantar ke angkasa lepas ialah John Herrington bagi misi saintifik di ISS pada 2002.

Ekspedisi ke ISS kali ini adalah penerbangan luar angkasa pertama Mann sejak menjadi angkasawan pada 2013 selepas terpilih dalam kumpulan angkasawan NASA ke-21.

KARIER DALAM TENTERA

Sebelum menjadi angkasawan, Mann terlebih dahulu berkhidmat dalam pasukan tentera AS sebagai juruterbang.

Beliau mempunyai pengalaman luas dalam menerbangkan pelbagai pesawat semasa dalam Kor Marin.

Malah, ibu kepada seorang cahaya mata ini telah dianugerahkan enam pingat untuk jasanya semasa dikerah ke Iraq dan Afghanistan.

Mann juga pernah menjadi juruterbang ujian bagi jet tempur F/A-18 Hornet dalam skuadron VFA-106 di pangkalan udara NAS Oceana di Virginia.

Beliau adalah lulusan Akademi Tentera Laut AS, Universiti Stanford.

ANGKASAWAN NASA

Pada 2013, Mann telah dipilih sebagai salah seorang daripada lapan angkasawan dalam Kumpulan Angkasawan Nasa ke-21.

Mann melengkapkan latihan angkasawannya pada 2015 dan sejak itu telah berkhidmat sebagai Pegawai Keselamatan dan Latihan T-38 Talon dan merupakan Penolong Ketua Eksplorasi.

Nicole Aunapa Mann

Beliau terlibat dalam pembangunan kapsul Orion tanpa pemandu, Sistem pelancaran Angkasa Lepas dan Sistem Penerokaan Tanah.

Pada Ogos 2018, Mann telah ditugaskan ke Boe-CFT iaitu kru penerbangan ujian pertama Boeing CST-100 Starliner.

Bagaimanapun, pada Oktober 2021 beliau telah dipindahkan untuk tugasan baharu iaitu mengetuai penerbangan bagi misi Crew-5 SpaceX sebagai komander kapal angkasa.

Ketika ini, Mann juga terlibat dalam latihan untuk Program Artemis I dan merupakan pesaing untuk menjadi wanita pertama di bulan.

Program Artemis I ialah penerokaan manusia ke bulan yang dirancang dilaksanakan seawal 2025. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca