SHAH ALAM - Pakar perubatan berpandangan umur lingkungan 70 hingga 75 tahun adalah had maksimum sesuai bagi individu menyandang jawatan ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negara ini.
Ketua Kluster Perubatan dan Sains Kesihatan, Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Tan Sri Dr Mohd Amin Jalaludin berkata, wakil rakyat dalam lingkungan umur tersebut dilihat masih berupaya memimpin sekiranya kesihatan mengizinkan.
Menurutnya, dalam konteks politik, faktor umur bukanlah satu perkara serius perlu diambil kira.
"Sebaliknya, kewibawaan, ketokohan dan kemampuan memimpin merupakan agenda utama yang perlu diberi perhatian.
"Secara teknikalnya, faktor umur tidak boleh diambil kira kerana pemimpin berusia dilihat bersifat lebih matang, namun yang penting adalah kesihatan pemimpin itu sendiri.
"Wakil rakyat sama ada muda atau berusia juga mesti menjalani pemeriksaan kesihatan bagi mengelak Pilihan Raya Kecil terpaksa diadakan sekiranya berlaku perkara tidak diingini ke atas pemimpin berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Ujar beliau, arena politik negara memerlukan gabungan kerjasama pemimpin muda dan veteran yang matang dari segi umur serta pemikiran.
"Jika wujud percampuran antara generasi muda dan veteran, politik akan jadi lebih matang, sekali gus mampu mencorakkan negara ke arah lebih baik,” jelasnya.
Mengulas mengenai bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Dr Mohd Amin berkata, sudah tiba masanya untuk calon bagi kerusi Parlimen Langkawi itu ‘berehat’ daripada dunia politik.
Jelasnya, meskipun Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu matang dalam politik, kesihatannya yang tidak stabil akan menyukarkan beliau untuk menerajui negara.
Tetapkan kuota untuk komposisi lebih seimbang
Sementara itu, Malaysia boleh bergerak ke arah penetapan kuota calon pilihan raya sebagaimana amalan di sesetengah negara bagi memastikan komposisi lebih seimbang dari segi umur dan jantina.
Ketua Kluster Governans dan Integriti Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, ia lebih realistik berbanding penetapan had umur maksimum.
Namun katanya, bagi sesetengah negara maju, mereka mengamalkan had dua penggal untuk ketua kerajaan seperti presiden dan Malaysia sedang menuju ke arah itu.
"Menggubal satu peraturan baharu untuk tetapkan had minimum boleh tetapi peraturan untuk maksimum agak sukar sebab tiada negara yang buat.
"Tetapi di Indonesia, mereka ada kuota tertentu seperti berapa calon wanita yang perlu diletakkan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam politik. Jadi, kita mungkin boleh bergerak ke arah itu.
"Berbeza dengan Thailand, mereka lebih unik kerana menetapkan had minimum dan kelayakan pendidikan sekurang-kurangnya ada ijazah.
"Bagi saya, apa yang kita nak buat (tetap had maksimum), perlu lihat kepada amalan (negara lain),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Jelas Ahmad Marthada, definisi ‘fit’ atau cergas adalah terlalu subjektif dan perlu ada pe-ngukuran lebih saintifik.
"Contohnya, ‘fit’ dalam politik boleh bermaksud lagi lama berada dalam politik akan menjadi lebih matang dan rasional.
"Bila nak buat kriteria, tapi kriteria itu mestilah juga berdasarkan kajian saintifik. Kita tak boleh senang-senang kata orang tua tak boleh jadi wakil rakyat sebab dah berumur.
"Mungkin kita nak orang muda tetapi kematangan berfikirnya tak mencapai lagi sebagaimana diharapkan. Disebabkan itu, ada sesetengah negara laksanakan had minimum,” ujar beliau.
Tambahnya, penetapan seseorang calon itu bukan sekadar faktor fizikal semata-mata tetapi perlu melihat kepada tahap kesihatan dan kemampuan untuk berkhidmat.
"Kita kena ingat wakil rakyat adalah lawmaker yang perlu kepada kematangan dan membuat keputusan berkaitan dengan polisi,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca