KONFLIK Ukraine yang berterusan lazimnya dikaitkan dengan pertempuran melibatkan penggunaan aset-aset fizikal seperti kereta kebal, roket, peluru berpandu dan pesawat udara. Apa yang mungkin kurang diberi perhatian ialah perang siber yang... Klik di sini untuk terus membaca

KONFLIK Ukraine yang berterusan lazimnya dikaitkan dengan pertempuran melibatkan penggunaan aset-aset fizikal seperti kereta kebal, roket, peluru berpandu dan pesawat udara.

Apa yang mungkin kurang diberi perhatian ialah perang siber yang sebenarnya sudah tercetus sebelum sebutir pun peluru artileri atau bom dilepaskan kedua-dua pihak yang berseteru di Ukraine pada 24 Februari lalu.

Fakta ini mungkin antara sebab mengapa Rusia atau Presiden Vladimir Putin merasakan mereka telah diancam dan salah satu cara untuk menghentikannya ialah dengan melancarkan perang secara fizikal.

Lebih membimbangkan Putin, perang siber yang dilancarkan terhadap Rusia bukan semata-mata dilakukan pihak penggodam awam yang bersimpati dengan Ukraine, tetapi merupakan satu usaha terancang yang dilaksanakan musuh utamanya, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Amerika Syarikat.

Pihak mana yang sebenarnya memulakan perang siber ini adalah sesuatu yang subjektif kerana sukar pihak bertanggungjawab mengakui merekalah yang bertindak agresif terlebih dahulu.

Pada pertengahan Januari, Ukraine mendakwa ketua pengarah operasi Regional Gas Company bertanggungjawab membekalkan gas kepada pihak awam negara tersebut dan satu serangan siber telah dilakukan terhadap firmanya.

Pada 10 Februari, pihak Barat percaya pasukan perisikan Rusia telah menyerang sekurang-kurangnya 21 firma yang terlibat dalam penghasilan, pengeksportan dan pengedaran gas cecair asli di Ukraine.

Seminggu sebelum serangan fizikal dilakukan Rusia, laman sesawang kementerian pertahanan negara tersebut serta dua buah bank utama telah dilumpuhkan.

Sikap agresif Putin terhadap Ukraine kerap dicanang media Barat melalui laporan serangan siber yang disebutkan. Bagi Putin pula, serangan yang dilancarkan Rusia adalah bersifat defensif kerana bimbangkan langkah agresif aktiviti perang siber pihak NATO dan Amerika Syarikat.

Apa yang tidak didedahkan media ialah dari Januari lalu, sebelum tercetusnya perang, Setiausaha NATO, Jeneral Jens Stoltenberg mengeluarkan kenyataan tidak rasmi bahawa pasukan tentera siber (cybertrooper) NATO telah berkongsi maklumat dengan pegawai-pegawai Ukraine.

Malah, terdapat pasukan cybertrooper NATO membantu tentera Ukraine di lapangan dan akhirnya kedua pihak bersetuju untuk bekerjasama melalui satu perjanjian dimeterai.

Antara terma yang dipersetujui ialah membenarkan Ukraine berkongsi data dan mengambil maklumat dari NATO berkaitan platform perisian hasad (malware).

Selain kerjasama perang siber dengan NATO, Amerika Syarikat turut memberikan bantuan melalui unit siber tenteranya dikenali sebagai Cybercom melalui satu inisiatif dinamakan hunt forward atau pemburuan hadapan.

Pengarah Cybercom, Jeneral Paul Nakasone dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya terlibat dalam pelbagai operasi siber.

Cybercom telah melancarkan 28 operasi merangkumi kesemua spektrum termasuk serangan, pertahanan dan informasi yang turut melibatkan Ukraine.

Apakah operasi-operasi siber ini telah menyerang institusi, sistem kewangan, firma pembekalan tenaga mahupun jaringan komunikasi elektronik Rusia sebelum Putin mengambil keputusan untuk menyerang Ukraine, tidak dapat dipastikan.

Perang siber hari ini tidak terhad kepada serangan sistem jaringan elektronik strategik dan ketenteraan, tetapi juga untuk menguasai minda dan sokongan masyarakat awam global.

Dari sudut penyebaran informasi, sememangnya taktik dan teknik operasi informasi diguna pakai NATO dan Cybercom berjaya menguasai persepsi masyarakat dunia terhadap Rusia menerusi saluran media awam antarabangsa.

Penggunaan saluran media utama global seperti CNN, BBC, New York Times, The Guardian dan AP akan memaparkan cerita dan grafik yang meruntun emosi serta psikologi pihak awam yang menatap atau membaca laporan konflik Ukraine.

Umpamanya, kematian hanya seorang kanak-kanak, Liza Dmitrieva di Ukraine diberikan liputan meluas dengan foto, kisah hidup, cerita suka duka dan kekejaman pihak Rusia terhadapnya dan keluarga di semua media utama Barat.

Namun kematian empat kanak-kanak Palestin iaitu Mahmud Sus, Adel Ibrahim, Mahdi Ladadweh dan Ahmad Daragmah yang ditembak tentera Israel di Tebing Barat, tidak pula mendapat tempat utama di mana-mana akhbar mahupun media elektronik.

Demikianlah implikasi bagaimana perang siber kini digunakan oleh kuasa-kuasa tertentu untuk meraih simpati serta menyokong agenda mereka, walaupun mereka sebenarnya mungkin berada di pihak yang salah.

Ia juga membuktikan bahawa perang bersenjata dan siber tidak lagi boleh dipisahkan sebagai dua konflik berasingan.

* Muhammad Fuad Mat Noor ialah penganalisis pertahanan dan pernah menerima anugerah wartawan terbaik oleh Kementerian Pertahanan Malaysia pada tahun 2003, 2004, 2006 dan 2007.

Klik di sini untuk terus membaca