LONDON - Posisi Perdana Menteri Britain ibarat satu ‘sumpahan’ kepada sesiapa yang memegang jawatan itu kerana pemimpin tersebut pasti berdepan kemelut dalaman parti. Terbaharu, Liz Truss pula bergelut untuk mengekalkan kedudukannya... Klik di sini untuk terus membaca

LONDON - Posisi Perdana Menteri Britain ibarat satu ‘sumpahan’ kepada sesiapa yang memegang jawatan itu kerana pemimpin tersebut pasti berdepan kemelut dalaman parti.

Terbaharu, Liz Truss pula bergelut untuk mengekalkan kedudukannya yang semakin lemah apabila khabar angin tentang beberapa anggota Parti Konservatif cuba untuk menyingkirkannya mula tersebar secara meluas.

Truss kini perlu mendapatkan sokongan menteri kabinet di pejabat No.10 dan mengadakan pertemuan dengan anggota Tory sebelum membentangkan belanjawan seterusnya dalam tempoh dua minggu.

Strategi ekonomi Truss yang cacamarba melibatkan 'pemotongan cukai terbesar' dalam tempoh lima dekad yang diumumkan pada 23 September lalu akhirnya memakan dirinya sendiri.

Ia jelas menunjukkan tiada perancangan rapi apabila Perdana Menteri wanita ketiga Britain itu bertindak memecat Menteri Kewangan, Kwasi Kwarteng pada Jumaat demi untuk 'menyelamatkan dirinya' yang semakin tergugat akibat pergolakan politik terbaharu tersebut.

Pemecatannya menjadikan Kwarteng sebagai Canselor Perbendaharaan paling singkat dalam sejarah pernah memegang jawatan itu.

Truss, 47, kemudiannya melantik bekas Menteri Luar, Jeremy Hunt dan turut mengadakan mesyuarat krisis tentang pelan fiskal baharu pada Ahad.

"Ada kesilapan dalam pelan pemotongan cukai yang menyasarkan golongan berpendapatan tinggi sebelum ini. Terdapat keputusan yang sukar dibuat. Kesemua jabatan kerajaan akan menghadapi sekatan perbelanjaan termasuk kebajikan, kesihatan dan pertahanan.

"Sebahagian cukai tidak akan dipotong pada kadar segera seperti dituntut orang ramai dan ada cukai yang akan dinaikkan,” kata Hunt yang cuba mempertahankan kedudukan Truss dengan ‘pelan baharu’ mereka.

Beberapa jam selepas memecat Kwarteng, Truss mengumumkan satu lagi langkah pusingan U drastik bajet mini yang telah menyebabkan kegawatan pasaran dan turut berikrar untuk mengekalkan kenaikan cukai syarikat.

Kwarteng (kiri) yang kini digantikan oleh Jeremy Hunt menjadi Canselor Perbendaharaan paling singkat pernah memegang jawatan itu dalam sejarah Britain.

HILANG SOKONGAN BESAR

Ketika ini, desakan untuk menyingkirkan Truss semakin meningkat dalam kalangan ‘anggota penentang’ Konservatif walaupun beliau baru memegang jawatan tersebut selama enam minggu.

Susulan krisis politik yang semakin meruncing, Downing Street memberi amaran penyingkiran Truss berpotensi mencetuskan Pilihan Raya Umum setelah pendahulunya, Boris Johnson juga kehilangan sokongan besar anggota Konservatif dek skandal parti sosial ketika lockdown yang mencalarkan imejnya.

Kempen penentangan terhadap Truss dicetuskan oleh ahli Parlimen, Crispin Blunt yang menjadi anggota Tory pertama membuat tuntutan itu.

Pengerusi Jawatankuasa 1922, Sir Graham Brady bagaimanapun menolak gesaan tersebut kerana berpendapat Trus dan Hunt berhak diberi peluang bagi mengemukakan strategi untuk ekonomi bajet baharu yang akan dibentangkan pada 31 Oktober ini.

Tetapi, sumber pejabat No.10 mendedahkan lebih 100 anggota Konservatif bersiap sedia mahu menghantar surat tidak percaya terhadap kepimpinan Truss sebagai usaha untuk mendesak Brady.

Beberapa menteri muda juga dikatakan telah berbincang tentang ‘gelombang penjajaran’ seperti yang menyebabkan Johnson akur untuk meletak jawatan.

"Truss telah kehilangan sokongan yang besar. Kita perlu pulihkan kepimpinan tertinggi parti dan kebanyakan anggota sebulat suara untuk menyingkirkannya pada minggu ini.

"Game is over (permainan sudah tamat),” kata salah seorang anggota Konservatif yang terlibat kempen penentangan terhadapnya.

Sementara itu, salah seorang anggota kanan Tory yang menyokong Truss mengesahkan beliau juga hilang sokongan dalam kalangan sekutunya kerana siri pusingan U yang semakin ‘memeningkan’.

"Keputusan menaikkan cukai dan membelakangkan pertumbuhan ekonomi adalah satu kesilapan besar. Ia bertentangan dengan agenda kempen asal beliau. Beliau telah kehilangan mandat,” ujarnya.

Terdapat juga khabar angin yang menyatakan akan berlaku perpecahan dalam parti pemerintah tersebut jika pesaing utama Truss sebelum ini, Rishi Sunak dilantik sebagai penggantinya.

Ia pastinya menjadikan ‘drama politik’ Britain menjadi lebih dramatik di tengah-tengah kemelesetan ekonomi yang diramalkan bermula pada akhir tahun ini dan berlarutan sepanjang 2023.

Di bawah peraturan Tory, pemimpin baharu tidak boleh menghadapi cabaran kepimpinan untuk tempoh 12 bulan selepas beliau memegang jawatan itu.

Tetapi, Bendahari Jawatankuasa, Sir Geoffrey Clifton-Brown memberitahu peraturan itu boleh diubah hanya jika terdapat majoriti besar dalam kalangan anggota Konservatif yang membuat desakan untuk berbuat demikian. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca