PENCEMARAN alam sekitar tidak hanya mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat, malah turut menjejaskan kelangsungan aktiviti ekonomi negara. Lazimnya, penurunan kualiti alam sekitar disebabkan oleh kepesatan pembangunan dan... Klik di sini untuk terus membaca

PENCEMARAN alam sekitar tidak hanya mengancam keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat, malah turut menjejaskan kelangsungan aktiviti ekonomi negara.

Lazimnya, penurunan kualiti alam sekitar disebabkan oleh kepesatan pembangunan dan aktiviti perindustrian.

Ini merupakan cabaran kepada negara dalam memastikan kualiti alam sekitar terjaga selari dengan peningkatan kualiti hidup masyarakat.

Justeru, pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) yang memperuntukkan denda tidak kurang RM5,000 dan maksimum RM10 juta bagi kesalahan melibatkan pencemaran air, pelepasan minyak, pelepasan buangan di perairan Malaysia serta pelupusan haram buangan terjadual sangat wajar.

Selain itu, tambahan hukuman penjara mandatori tidak lebih lima tahun juga boleh dikenakan bagi kesalahan pelupusan haram buangan terjadual, pencemaran air dan pematuhan keperluan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Penalti sehingga maksimum RM10 juta itu dicadangkan dengan mengambil kira kos pembersihan yang tinggi apabila berlakunya pencemaran.

Kompaun sedia ada sebanyak RM2,000 gagal menjadikan industri atau syarikat gentar kerana mereka mampu membayarnya, sedangkan kos memulihkan berlipat kali ganda jauh lebih tinggi daripada itu.

Sebagai contoh, insiden pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac 2019 melibatkan kos RM6.4 juta untuk pembersihan sungai dan pelupusan buangan terjadual.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) turut membelanjakan RM10 juta sepanjang 2016 hingga 2020 bagi menjalankan aktiviti pembersihan sungai akibat pencemaran.

Selain kos pembersihan yang tinggi, pencemaran sumber air mentah di beberapa sungai penting di Selangor menyebabkan loji rawatan air (LRA) utama iaitu LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) serta LRA Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran minyak, bahan kimia dan efluen dilepaskan industri.

Bahkan, kebanyakan kesalahan kerap kali dilakukan syarikat yang sama iaitu kesalahan berulang melibatkan pembuangan bahan terlarang ke dalam sungai dan tasik.

Antara sebab mereka membuang bahan terlarang ke sungai adalah bagi menjimatkan kos kerana ingin mengelak daripada sistem kawalan pencemaran.

Lantaran itu, kesemua pindaan tersebut sangat penting bagi membolehkan hukuman lebih tegas dikenakan kepada pesalah dan penjenayah alam sekitar.

Ia turut bertujuan memastikan syarikat terbabit serik untuk mengulangi kesalahan, dalam masa sama memastikan mereka menjaga alam sekitar dengan tidak sewenang-wenangnya membuang bahan terlarang ke sungai.

Paling utama, pendirian tegas itu bagi memastikan kelangsungan fungsi alam sekitar dapat dikekalkan dalam menjamin kestabilan alam sekitar menjalankan fungsi dan perkhidmatannya dalam membekalkan sumber makanan, jaminan bekalan air bersih, bekalan oksigen serta menyimpan stok karbon yang penting dalam mengimbangi perubahan iklim dunia.

Namun, di sebalik tindakan perundangan dan penguatkuasaan, kaedah paling ampuh bagi memelihara dan melindungi alam sekitar ialah dengan memperkasa pendidikan mengenai penjagaan alam sekitar.

Hakikatnya, pencemaran terhadap alam sekitar dapat diatasi melalui pendidikan yang efektif dan berkesan kerana ia berupaya meningkatkan kesedaran dan kepekaan individu masyarakat terhadap perkara tersebut.

Jika hukuman hanya sekadar bayaran denda, penjenayah alam sekitar pasti akan mengulangi kesalahan sama.

Hukuman tersebut tidak memberikan kesan kepada mereka.

Hanya melalui pendidikan berterusan sahaja kesedaran alam sekitar yang tinggi dan membudayakan self regulation dapat dipupuk.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia Dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca