INDONESIA telah melaksanakan Sistem Mata Wang Tempatan atau LCS sejak tahun 2018 dengan melibatkan beberapa buah negara ketika berdagang tanpa bergantung atau menggunakan dolar Amerika Syarikat (AS) kerana dianggap mampu mengukuhkan nilai rupiah.
Ketika ia dilaksanakan pada tahun itu, tentera Rusia masih belum lagi menyerang Ukraine dan perang di negara tersebut hanya berlaku pada 24 Februari lalu manakala nilai dolar AS pula tidak mengukuh dengan kuat seperti yang berlaku ketika ini.
Bagaimanapun, berikutan perang tersebut, Turkiye bersetuju bahawa 25 peratus bekalan gas ke negara tersebut daripada Rusia dibayar dalam mata wang rouble pada bulan lalu dan bukannya dolar AS.
Pada April lalu, empat negara di Eropah juga bersetuju untuk membayar dalam mata wang Rusia itu bagi mendapatkan bekalan gas manakala sepuluh buah syarikat dari benua tersebut didakwa telah membuka akaun di Gazprombank bagi menggunakan rouble dalam perdagangan dengan negara itu.
Sekurang-kurangnya dua buah syarikat penapis minyak di India sebelum ini telah menyelesaikan beberapa urus niaga dengan menggunakan dirham Emiriah Arab Bersatu (UAE) ketika berurusan dengan Rusia bagi mengantikan dolar AS sebagai satu cara untuk meminimumkan kesan sekatan Barat ke atas negara berkenaan, baru-baru ini.
Pelaksanaan LCS itu setakat ini melibatkan negara-negara seperti Malaysia, Thailand, Singapura, Filipina.
Jepun dan China sudah memiliki kesepakatan kerja bagi menggunakan mata wang tempatan sekali gus tidak menggunakan dolar AS dalam perdagangan barangan serta pelaburan.
Menurut Bank Indonesia, pengembangan LCS akan menyokong kestabilan rupiah dengan mengurangkan pergantungan kepada mata wang tertentu dalam pasaran pertukaran asing domestik kerana sektor perniagaan boleh menikmati kos penukaran yang lebih rendah.
Pengarah Eksekutif Pengembangan Pasar Kewangan Bank Indonesia, Donny Hutabarat ketika bercakap kepada para peserta Forum Bisnis Indonesia-China di Guangzhou pada hujung bulan lalu bahawa pihaknya menyosialisasikan penggunaan mata wang lokal untuk penyelesaian transaksi kepada para peniaga dari negara komunis tersebut.
Dengan menggunakan mata wang tempatan iaitu yuan atau rupiah ahli-ahli perniagaan dari kedua-dua negara tidak perlu lagi membuat tukaran asing ke dalam mata wang dolar AS seperti sebelum LCS dilaksnakan pada tahun 2021.
Bank Indonesia melaksanakan LCS itu dengan tujuan untuk mengembangkan pasaran kewangan dan mengurangkan turun naik nilai tukaran rupiah selain meningkatkan efisiensi pasaran, kata Pengarah Eksekutif Pengembangan Pasar Kewangan bank berkenaan.
Ia menyebabkan negara terbesar di Asia Tenggara itu bimbang dengan trend peningkatan nilai dolar AS yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
INFLASI
Sejak awal tahun ini, Rizab Persekutuan AS telah melakukan beberapa siri kenaikan kadar faedah yang dramatik untuk menangani kenaikan inflasi tinggi sekali gus menjadikan mata wang dolar lebih menarik minat para pelabur yang mencari keuntungan.
Dolar yang kukuh membantu mengekang inflasi di negara 'uncle Sam itu' kerana ia menurunkan harga barangan import tetapi boleh memberi kesan negatif kepada negara-negara yang lebih miskin khususnya kerana ia meningkatkan kos import dan bebanan hutang.
Sebenarnya, nilai tukaran rupiah dengan dolar AS melemah 4.97 peratus dari akhir tahun 2021 hingga 21 September 2022 namun melalui pelaksanaan LCS itu kebergantungan dterhadap dolar itu akan menjadi berkurang, kata Timbakan Gabenor Bank Indonesia, Destry Damayanti baru-baru ini.
Pengukuhan nilai dolar AS itu juga menyebabkan Presiden negara 'Uncle Sam' itu, Joe Biden menolak risiko kenaikan nilai mata wang tersebut namun beliau menyalahkan kesilapan dasar di bahagian lain dunia kerana mengheret masalah ekonomi global.
"Saya tidak bimbang tentang kekuatan dolar, saya bimbang tentang seluruh dunia. Ekonomi kita sangat kukuh," kata Biden kepada pemberita pada Sabtu lalu seperti dilaporkan Bloomberg semasa kempen pilihan raya pertengahan penggal di Portland, Oregon.
Beliau berkata, inflasi berlaku di seluruh dunia dan keadaannya adalah lebih teruk daripada di AS kerana masalahnya ialah kekurangan pertumbuhan ekonomi serta dasar yang kukuh di negara-negara lain.
Komen Biden mengenai inflasi itu telah dikritik oleh netizen di media sosial apabila ada yang memberitahu bahawa beliau memakan aiskrim berharga AS$37(RM174.51) berbanding AS$3 (RM14.15) setahun yang lalu.
Trend kekuatan nilai mata wang AS itu yang tidak menunjukkan sebarang penurunan berbanding mata wang asing lain menyebabkan pelaksanaan LCS dilihat berkesan bagi menangani masalah kenaikan dolar Amerika secara mendadak.
Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati pernah berkata bahawa jika LCS boleh dilaksanakan di peringkat global yang lebih luas, ia boleh mewujudkan jaringan keselamatan kewangan di kalangan negara-negara sekali gus boleh mengurangkan risiko yang disebabkan oleh ketidakstabilan ekonomi dan kewangan global.
Menerusi LCS, kos urus niaga akan menjadi lebih rendah kerana para usahawan atau pelabur tidak perlu menukar mata wang setiap negara kepada dolar AS, katanya. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca