SHAH ALAM - Veteran politik parti berpandangan, tidak perlu ada had umur maksimum untuk menjadi wakil rakyat selagi pemimpin itu masih sihat dan boleh berkhidmat. Bagaimanapun, mereka bersetuju setiap parti perlu melakukan saringan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Veteran politik parti berpandangan, tidak perlu ada had umur maksimum untuk menjadi wakil rakyat selagi pemimpin itu masih sihat dan boleh berkhidmat.

Bagaimanapun, mereka bersetuju setiap parti perlu melakukan saringan kesihatan, mental dan integriti kepada calon yang bertanding serta menyifatkan usia ideal bagi wakil rakyat adalah antara 25 hingga 60 tahun.

Veteran Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr Syed Husin Ali berkata, wakil rakyat yang masih sihat dan waras perlu diberi peluang untuk berkhidmat tanpa mengira usia.

"Secara peribadi, saya lebih suka jika lebih ramai orang muda bertanding tetapi kalau yang sudah berusia dan masih boleh menyumbang, mereka boleh terus berkhidmat. Kalau nak undur diri, biarlah atas kesedaran mereka sendiri.

"Saya sendiri, apabila merasakan sudah tua dan tiga kali bertanding, akhirnya ambil keputusan undur diri.

"Bagi yang sudah berusia macam Tun Dr Mahathir Mohamad, boleh bertanding andai beliau masih sihat dan waras kerana individu tersebut berkemungkinan ada alasan tersendiri,” katanya ketika dihubungi.

Beliau yang kini menjadi ahli Biro Politik dan ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menjelaskan, secara teori, pemimpin muda lebih bersemangat tetapi pemimpin berusia mempunyai banyak pengalaman.

Dari segi pemikiran pula katanya, pemimpin berusia mungkin lebih baik kerana pengalamannya, sekali gus perlu menjadi pertimbangan parti untuk bertanding.

"Wakil rakyat yang berusia 60 tahun ke atas, dari segi kudratnya sudah semakin berkurangan. Tapi ia masih dibolehkan dan berkecuali bagi yang masih fit, boleh memberi idea dan sumbangan serta sihat,” jelasnya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub juga berpandangan sama dan merasakan sukar untuk melaksanakan had umur bertanding dalam pilihan raya di negara ini.

Malah katanya, tiada negara yang menetapkan had umur untuk wakil rakyat.

"Di Malaysia, memang tiada had umur cuma yang ada hadkan tempoh jawatan. Begitu juga seperti di Amerika Syarikat, presidennya dihadkan kepada dua penggal.

"Kalau nak katakan, cadang had umur, ia sukar untuk dilaksanakan di negara ini. Tidak perlu hadkan umur tetapi perjawatan mereka,” ujar beliau.

Bagaimanapun, beliau bersetuju sekiranya saringan kesihatan, mental dan integriti dilakukan untuk menyaring wakil-wakil rakyat agar hanya yang sihat boleh bertanding.

Klik di sini untuk terus membaca