SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menafikan terdapat perbincangan mengenai pembubaran Parlimen dalam mesyuarat kabinet seperti didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Bekas Ahli Parlimen Mersing itu mendedahkan, mesyuarat tersebut hanya membincangkan beberapa perkara termasuk persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Monsun Timur Laut serta Bajet 2023.
Justeru katanya, beberapa kenyataan dalam ucapan Ismail Sabri ketika program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran BN di Bagan Datuk pada Isnin lalu tidak tepat dan mengelirukan.
"Seingat saya, (hanya) tiga kali dibincangkan (mengenai PRU15), cuma Ismail Sabri tidak pernah meminta mandat dari kabinet mengenai tarikh pembubaran Parlimen.
"Kabinet PM9 terdiri daripada pelbagai parti, tidak seperti sebelumnya. Kabinet hanya bincang perkara dasar dan polisi untuk rakyat. Kita tidak bincang hal-hal politik berparti,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini Naib Presiden UMNO itu dilapor berkata, isu pembubaran Parlimen sepatutnya tidak dipersoalkan kerana hasrat itu turut dimaklumkan secara isyarat bayangan dalam mesyuarat kabinet terakhir.
Dalam pada itu Abdul Latiff turut meluahkan kekecewaan dengan ucapan Naib Presiden UMNO itu yang berseloroh untuk memecat anggota kabinet sekiranya mengetahui lebih awal terdapat 12 menteri yang mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong, bagi menolak PRU15 diadakan tahun ini.
"Memang kita tahu Perdana Menteri ada kuasa hire and fire. Kami pun ada maruah, tak perlu pecat, kami boleh letak jawatan lebih awal,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca