SEJAK tentera Rusia menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu, hubungan antara Moscow dengan Israel mulai tegang kerana Tel Aviv memberikan sokongan kepada Kiev dalam konflik yang kini berlanjutan sehingga lebih tujuh bulan. Sebelum perang... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK tentera Rusia menceroboh Ukraine pada 24 Februari lalu, hubungan antara Moscow dengan Israel mulai tegang kerana Tel Aviv memberikan sokongan kepada Kiev dalam konflik yang kini berlanjutan sehingga lebih tujuh bulan.

Sebelum perang Ukraine meletus, Moscow di bawah kepimpinan Presidennya, Vladimir Putin memberikan sokongan kepada para pejuang Palestin dan mengkritik tindakan rejim Zionis yang melancarkan serangan tiga hari ke atas Gaza baru-baru ini.

Pada tahun lalu, Putin pernah memberi amaran bahawa peningkatan pertempuran antara Israel dan Palestin memberi ancaman langsung kepada keselamatan Rusia selepas rejim Zionis melancarkan serangan ke atas Hamas pada Mei 2021 sehingga mengakibatkan lebih 200 penduduk Palestin terkorban.

Pergeseran hubungan antara Moscow dengan Tel Aviv kemudian berterusan lagi apabila pada Mei lalu, Presiden Israel, Isaac Herzog menuntut Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov memohon maaf berikutan dakwaan yang dibuatnya mengenai Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy yang berketurunan Yahudi dan kaitannya dengan Nazisme.

Herzog juga menuntut Lavrov memohon maaf kerana membuat kenyataan bahawa pemimpin Jerman semasa Perang Dunia Kedua, Adolf Hitler mempunyai darah Yahudi tetapi isu tersebut akhirnya diselesaikan selepas media Israel melaporkan Putin memohon maaf kepada Perdana Menteri negara haram ketika itu, Naftali Bennett berikutan kenyataan Menteri Luar Rusia itu.

Ketegangan antara kedua-dua pihak turut meningkat pada Mei lalu berikutan kenyataan jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova semasa diwawancara dengan Radio Sputnik apabila beliau berkata bahawa askar-askar upahan Israel sedang bertempur di Ukraine bersama-sama dengan pejuang-pejuang Batalion Azov yang dianggap sebagai salah satu pasukan penentang tentera Rusia yang paling sengit.

AMARAN

Bagaimanapun, pada Isnin lalu, Rusia memberi amaran baharu yang melibatkan masa depan hubungan Moscow dengan Israel menerusi kenyataan Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan negara itu, Dmitry Medvedev yang dibuat melalui aplikasi Telegram.

Medvedev yang juga bekas Presiden dan Perdana Menteri Rusia itu menyatakan rancangan penghantaran sistem senjata canggih Israel ke Ukraine akan memusnahkan hubungan antara Moscow dan Tel Aviv dan menganggap ia adalah langkah yang sangat melulu.

Kenyataan itu dibuat selepas Hal Ehwal Diaspora Israel, Nachman Shai membuat ciapan di Twitter pada Ahad lalu bahawa rejim Zionis sepatutnya mula membekalkan bantuan ketenteraan ke Ukraine setelah Iran dilaporkan memindahkan peluru-peluru berpandu balistik ke Rusia.

Rusia memberi amaran baharu kepada Israel berhubung isu Ukraine. - Foto AFP

Pihak berkuasa Ukraine telah mendesak kepada Israel sejak beberapa minggu kebelakangan ini untuk menghantar senjata-senjatanya ke negara tersebut selepas Amerika Syarikat (AS) berbuat demikian bagi menghadapi serangan tentera Rusia.

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada bulan lalu turut mengulas bahawa beliau tidak mengetahui apa yang berlaku kepada Israel dan terkejut kerana tidak faham mengapa ia tidak dapat memberikan bantuan pertahanan udara.

Zelenskyy telah meminta penghantaran senjata-senjata itu sejak perang di negaranya bermula pada Februari lalu dengan menyebut sistem pertahanan udara Iron Israel yang sering digunakan untuk memintas roket-roket Palestin dari Gaza.

Israel telah pun membekalkan Ukraine dengan bantuan yang tidak mampu membawa maut di negara tersebut.

Sebelum Medvedev membuat kenyataan mengenai masa depan hubungan negaranya dengan Israel, Moscow turut menimbulkan konflik dengan mendakwa Agensi Yahudi di Rusia melanggar undang-undang dan kerajaan percaya ia digunakan untuk mengumpul data peribadi secara haram.

Sehubungan itu, Kementerian Kehakiman Rusia membuat permintaan di mahkamah untuk menutup pejabat agensi tersebut di Rusia.

Agensi Yahudi ialah organisasi global yang membantu penduduk berketuruanan Yahudi berhijrah ke Israel dan sejak kejatuhan Kesatuan Soviet, pertubuhan tersebut telah membantu lebih daripada satu juta kaum itu kembali ke negara haram tersebut.

Rusia dan Israel menjalin hubungan diplomatik sejurus selepas kejatuhan Kesatuan Soviet namun Moscow memutuskan hubungan dengan Tel Aviv selepas Israel melancarkan peperangan terhadap Mesir, Jordan dan Syria pada Jun 1967.

Ia tidak mewujudkan semula hubungan dengan Tel Aviv sehingga seminggu sebelum perpecahan negara sosialis itu pada Disember 1991.

Gertakan bekas Presiden dan Perdana Menteri Rusia itu menyebabkan kenyataan bekas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pada tahun 2019 tentang hubungan Moscow dan Tel Aviv diingati semula.

Pada tahun itu, Netanyahu mendedahkan Putin telah memberitahunya bahawa kedua-dua pihak akan berperang jika bukan kerana hubungan rapat yang telah terjalin antara Israel dan Rusia. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca